PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bt bab 18 ms. 159-167
  • Orang yang ‘Mencari Tuhan, Pasti Akan Menemui-Nya’

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Orang yang ‘Mencari Tuhan, Pasti Akan Menemui-Nya’
  • ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Mengajar “di Tempat Awam” (Kis. 17:16-21)
  • “Orang Atena Sekalian, Menurut Pemerhatianku . . . ” (Kis. 17:22, 23)
  • Tuhan “Tidak Jauh daripada Kita Masing-Masing” (Kis. 17:24-28)
  • ‘Orang di Merata Tempat Harus Bertaubat’ (Kis. 17:29-31)
  • “Beberapa Orang . . . Menjadi Pengikut Yesus” (Kis. 17:32-34)
  • Apakah Pandangan Anda terhadap Kawasan Penyebaran Anda?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Kesopanan
    Kasihi Orang—Jadikanlah Mereka Pengikut Yesus
‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
bt bab 18 ms. 159-167

BAB 18

Orang yang ‘Mencari Tuhan, Pasti Akan Menemui-Nya’

Paulus mencari titik persamaan dan membuat penyesuaian untuk pendengarnya

Berdasarkan Kisah 17:16-34

1-3. (a) Mengapakah Rasul Paulus berasa sangat geram semasa di Atena? (b) Apakah yang dapat kita pelajari dengan mengkaji contoh Paulus?

KINI Paulus berada di Atena di Yunani, yang merupakan sebuah pusat pendidikan. Ahli falsafah seperti Socrates, Plato, dan Aristotle pernah mengajar di sana. Orang di Atena sangat kuat beragama. Paulus berasa sangat geram semasa melihat begitu banyak berhala di sekelilingnya, seperti di kuil, di tempat awam, dan di jalanan. Hal ini kerana orang di Atena menyembah banyak dewa dewi. Namun, Paulus tahu pandangan Yehuwa, Tuhan yang benar, mengenai penyembahan berhala. (Kel. 20:4, 5) Rasul yang setia ini juga memiliki pandangan Yehuwa dan dia membenci berhala!

2 Apa yang Paulus nampak semasa memasuki agora, atau tempat awam, sangat mengejutkan. Patung-patung yang memaparkan organ seks Dewa Hermes tersusun di sepanjang sudut barat laut, berdekatan pintu masuk utama. Di kawasan itu, terdapat banyak tempat sembahyang. Bagaimanakah rasul yang bersemangat ini akan menginjil kepada orang yang sangat dipengaruhi penyembahan berhala? Dapatkah dia mengawal perasaannya dan mencari titik persamaan dengan pendengarnya? Adakah dia akan berjaya membantu mereka untuk mencari Tuhan yang benar dan menemui-Nya?

3 Ucapan Paulus kepada orang berpendidikan di Atena, yang tercatat di Kisah 17:22-31, menunjukkan bahawa Paulus mahir berbahasa, bijaksana, dan mempunyai daya pengertian. Dengan mengkaji contoh Paulus, kita dapat belajar cara untuk mencari titik persamaan dan membantu pendengar kita untuk mencapai kesimpulan yang betul.

Mengajar “di Tempat Awam” (Kis. 17:16-21)

4, 5. Di manakah Paulus menginjil semasa berada di Atena, dan mengapakah mencabar untuk menginjil kepada orang di sana?

4 Paulus mengunjungi Atena semasa perjalanan mubalighnya yang kedua, kira-kira pada tahun 50 M.a Semasa menunggu ketibaan Silas dan Timotius dari Berea, Paulus “pergi ke rumah ibadat dan mula berbincang dengan orang Yahudi” seperti kebiasaannya. Dia juga pergi ‘ke tempat awam’ supaya dapat berjumpa dengan orang bukan Yahudi di situ. (Kis. 17:17) “Tempat awam” Atena terletak di barat laut Akropolis dan seluas kira-kira lima hektar. Tempat itu bukan sahaja digunakan untuk berjual beli, tetapi juga merupakan dataran kota. Menurut sebuah rujukan, tempat itu merupakan “pusat ekonomi, politik, dan kebudayaan bagi kota itu.” Orang Atena suka berkumpul di sana dan mengadakan perbualan yang merangsang minda.

ATENA​—PUSAT KEBUDAYAAN DUNIA PADA ZAMAN KUNO

Akropolis di Atena ialah kota berkubu yang kuat, bahkan sebelum sejarah kota itu mula dicatatkan pada abad ketujuh SM. Atena menjadi kota utama daerah Attica dan memerintah kawasan seluas kira-kira 2,500 kilometer persegi, serta dikelilingi dengan pergunungan dan laut. Nampaknya, nama kota ini berkaitan dengan dewi pelindungnya, iaitu Atena.

Pada abad keenam SM, penggubal undang-undang Atena bernama Solon telah membawa perubahan kepada sistem sosial, politik, perundangan, dan ekonomi kota itu. Dia telah membantu orang miskin mempunyai hidup yang lebih baik dan membina asas bagi kerajaan demokratik. Sistem demokrasi itu hanya untuk orang bebas, namun sebahagian besar penduduk kota itu terdiri daripada hamba.

Setelah Yunani mendapat kemenangan atas Persia pada abad kelima SM, Atena menjadi ibu kota sebuah empayar kecil yang telah memperluas perdagangan laut dari Italia dan Sisilia di barat hingga Siprus dan Siria di timur. Semasa Atena menjadi pusat budaya dunia pada zaman kuno, kota ini terkenal dengan seni, drama, falsafah, pidato umum serta penulisan, dan sains. Kota ini juga dihiasi dengan banyak bangunan awam dan tempat sembahyang. Dari jauh, kelihatan Akropolis yang terletak di atas sebuah bukit yang tinggi. Di situ, kelihatan Parthenon dan patung Dewi Atena setinggi 12 m yang diperbuat daripada emas dan gading.

Atena pada mulanya ditawan oleh Sparta, kemudian oleh Makedonia, dan akhirnya oleh Roma yang telah merampas kekayaan kota itu. Namun, pada zaman Paulus, Atena masih mempunyai kedudukan istimewa kerana sejarahnya yang terkenal. Kota itu bahkan tidak pernah menjadi sebahagian daripada mana-mana wilayah Roma. Sebaliknya, kota itu dibenarkan menggubal undang-undang untuk penduduknya dan dikecualikan daripada cukai Roma. Walaupun zaman kegemilangannya sudah berakhir, Atena masih menjadi sebuah pusat pengajian tinggi masa itu, iaitu tempat orang kaya menghantar anak-anak mereka untuk belajar.

5 Paulus perlu berdepan dengan pendengar yang mencabar. Antaranya ialah golongan Epikuros dan Stoik, dua aliran falsafah yang saling bersaing.b Golongan Epikuros percaya bahawa kehidupan wujud secara kebetulan. Mengenai kehidupan, mereka membuat kesimpulan berikut: “Tiada sebab untuk takut akan Tuhan; Tiada kesakitan selepas kematian; Nikmat dapat dicapai; Kejahatan dapat diharungi.” Golongan Stoik pula mengutamakan bukti dan logik serta tidak percaya bahawa Tuhan ialah satu Individu. Golongan Epikuros mahupun Stoik tidak percaya pada pembangkitan yang diajarkan oleh murid-murid Yesus. Jelaslah, falsafah kedua-dua golongan ini tidak selaras dengan ajaran agama Kristian sejati yang disampaikan oleh Paulus.

6, 7. Apakah reaksi beberapa orang Yunani yang berpendidikan terhadap ajaran Paulus? Bagaimanakah kita mungkin menghadapi reaksi yang serupa hari ini?

6 Apakah reaksi orang Yunani yang berpendidikan terhadap ajaran Paulus? Beberapa antara mereka mengejek Paulus dengan berkata bahawa dia sedang “membebel,” atau dalam bahasa Yunani bererti “pemungut biji.” (Kis. 17:18) Mengenai ungkapan Yunani ini, seorang cendekiawan menulis, “Pada asalnya, perkataan ini digunakan untuk merujuk kepada seekor burung kecil yang memungut bijirin di merata tempat, dan kemudiannya digunakan untuk merujuk kepada orang yang mengumpulkan sisa-sisa makanan dan barang yang dibuang di tempat awam. Namun belakangan, ungkapan ini juga secara kiasan digunakan untuk menggambarkan orang yang mengumpulkan cebisan maklumat yang tidak berkaitan, terutamanya orang yang tidak dapat memahami maklumat itu.” Maka, orang berpendidikan itu sebenarnya mengatakan bahawa Paulus ialah orang bodoh yang hanya mengulangi kata-kata orang lain. Namun, Paulus tidak berasa tawar hati dengan sindiran mereka.

7 Dewasa ini, sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita juga sering disindir kerana kepercayaan kita yang berdasarkan Bible. Contohnya, sesetengah guru mengajar bahawa evolusi ialah fakta dan berkeras bahawa orang yang bijak akan menerima teori ini. Bagi mereka, orang yang tidak mempercayai teori evolusi ialah orang yang bebal. Orang berpendidikan seperti itu membuat orang lain berfikir bahawa kita sedang “membebel” semasa kita mengongsi ajaran Bible dan bukti yang menunjukkan alam semula jadi diciptakan. Namun, kita tidak akan berasa tawar hati. Sebaliknya, kita bercakap dengan yakin semasa mempertahankan kepercayaan kita bahawa kehidupan di bumi ialah karya daripada Pencipta yang bijaksana, Tuhan Yehuwa.​—Why. 4:11.

8. (a) Apakah reaksi sesetengah orang yang mendengar Paulus menginjil? (b) Apakah itu Areopagus, tempat Paulus dibawa? (Lihat nota kaki.)

8 Sesetengah orang di tempat awam yang mendengar Paulus menginjil mempunyai reaksi yang berbeza. Mereka membuat kesimpulan ini: “Nampaknya dia bercakap tentang dewa dewi bangsa asing.” (Kis. 17:18) Adakah Paulus sedang memperkenalkan dewa dewi baharu kepada orang Atena? Hal ini sangat serius. Beberapa abad sebelumnya, Socrates telah dibicarakan dan dibunuh kerana tuduhan yang serupa. Tidak hairanlah Paulus dibawa ke Areopagus dan diminta untuk menjelaskan tentang ajaran yang kedengaran aneh bagi orang Atena.c Bagaimanakah Paulus akan mempertahankan mesejnya di hadapan orang yang langsung tidak mengenali Ayat-Ayat Suci?

GOLONGAN EPIKUROS DAN STOIK

Golongan Epikuros dan Stoik merupakan dua aliran falsafah yang berbeza. Kedua-duanya tidak mempercayai pembangkitan.

Golongan Epikuros percaya akan kewujudan tuhan-tuhan. Namun, mereka berfikir bahawa tuhan tidak peduli akan manusia dan tidak memberikan ganjaran atau menghukum manusia. Jadi, berdoa atau memberikan korban adalah sia-sia. Bagi golongan Epikuros, keseronokan merupakan keutamaan hidup. Pemikiran dan kelakuan mereka langsung tidak dibimbing oleh prinsip moral. Mereka digalakkan untuk bersikap sederhana, namun hanya untuk mengelakkan akibat buruk daripada kelakuan yang keterlaluan. Mereka mencari pengetahuan sekadar untuk menyingkirkan perasaan takut akan tuhan-tuhan, kematian, dan kepercayaan karut.

Golongan Stoik pula percaya bahawa tuhan merupakan suatu tenaga dan bukannya individu yang mempunyai fikiran dan perasaan. Mereka percaya bahawa segala sesuatu di alam semesta, termasuk jiwa manusia, merupakan sebahagian daripada tuhan ini. Sesetengah daripada golongan Stoik percaya bahawa jiwa akhirnya akan diserap semula oleh tuhan ini. Yang lain pula percaya bahawa jiwa akhirnya akan dimusnahkan bersama alam semesta. Menurut ahli falsafah Stoik, kebahagiaan dapat dinikmati jika seseorang hidup mengikut hukum alam.

“Orang Atena Sekalian, Menurut Pemerhatianku . . . ” (Kis. 17:22, 23)

9-11. (a) Bagaimanakah Paulus mencari titik persamaan dengan pendengarnya? (b) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus dalam kerja penyebaran?

9 Ingatlah, sebelum ini Paulus berasa sangat geram melihat begitu banyak berhala di situ. Meskipun demikian, dia tetap tenang dan tidak melancarkan serangan terhadap penyembahan berhala. Dengan penuh hormat, dia berusaha mencari titik persamaan untuk mencapai hati pendengarnya. Dia bermula dengan berkata, “Orang Atena sekalian, menurut pemerhatianku, kamu semua nampaknya sangat alim dalam segala hal. Berbanding orang lain, kamu lebih takut kepada dewa dewi.” (Kis. 17:22) Paulus seolah-olah berkata, “Saya dapat lihat bahawa kamu kuat beragama.” Dengan bijak, Paulus memuji mereka kerana berminat tentang hal-hal agama. Dia sedar bahawa beberapa orang yang dibutakan oleh kepercayaan palsu mungkin mempunyai hati yang jujur. Sudah tentu, Paulus juga ingat bahawa sebelum ini dia sendiri ‘tidak sedar akan perbuatannya dan tidak beriman.’​—1 Tim. 1:13.

10 Kemudian, Paulus berkata bahawa dia telah memerhatikan tanda jelas yang menunjukkan orang Atena kuat beragama. Di situ, terdapat sebuah mazbah yang dikhaskan “Kepada Tuhan yang Tidak Dikenali.” Menurut sebuah sumber, “orang Yunani dan bangsa lain biasanya mengekhaskan mazbah kepada ‘tuhan-tuhan yang tidak dikenali.’ Mereka takut telah mengabaikan tuhan tertentu dalam ibadat mereka lalu mengundang kemarahan tuhan itu.” Dengan mendirikan mazbah sebegitu, orang Atena mengakui kewujudan Tuhan yang tidak dikenali oleh mereka. Paulus menggunakan mazbah ini untuk memperkenalkan berita baik yang ingin disebarkannya. Dia menjelaskan, “Aku hendak memberitahu kamu semua tentang Tuhan ini, iaitu Tuhan yang kamu sembah tetapi tidak kamu kenal.” (Kis. 17:23) Penjelasan Paulus pasti membuka mata pendengarnya. Tidak seperti tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, dia bukannya mengajar tentang Tuhan yang baharu atau yang aneh. Dia sedang menjelaskan tentang Tuhan yang tidak diketahui oleh mereka, iaitu Tuhan yang benar.

11 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus dalam kerja penyebaran? Jika kita peka, kita dapat lihat tanda-tanda bahawa seseorang kuat beragama, misalnya dengan memerhatikan apa yang dipakainya dan apa yang ada di halaman rumahnya. Kita mungkin berkata, “Saya dapat lihat bahawa kamu ialah seorang yang kuat beragama. Saya berharap dapat bercakap dengan orang yang berminat tentang hal-hal agama.” Apabila kita dengan bijaksana menunjukkan bahawa kita sedar akan pegangan agamanya, kita mungkin dapat mencari titik persamaan untuk melanjutkan perbualan. Ingatlah, tujuan kita bukannya untuk menghakimi orang lain berdasarkan agama yang dianutinya. Lagipun banyak antara rakan seiman kita dahulunya juga pernah mempercayai ajaran agama palsu.

Dalam kelas sains, seorang remaja lelaki bercakap kepada guru dan rakan kelasnya.

Berusahalah mencari titik persamaan untuk membantu orang belajar kebenaran Bible

Tuhan “Tidak Jauh daripada Kita Masing-Masing” (Kis. 17:24-28)

12. Bagaimanakah Paulus menyesuaikan penyampaian untuk pendengarnya?

12 Paulus berjaya mencari titik persamaan. Tetapi, dapatkah dia terus mengekalkannya semasa memberikan kesaksian? Dia tahu bahawa pendengarnya diajar tentang falsafah Yunani dan tidak mengenali Ayat-Ayat Suci. Maka, dia menyesuaikan penyampaiannya dalam beberapa cara. Pertama, dia menyampaikan ajaran Bible tanpa memetik Ayat-Ayat Suci secara langsung. Kedua, kadangkala dia menggunakan perkataan “kita” agar pendengarnya dapat berasa bahawa dia seperti mereka dan memahami mereka. Ketiga, dia memetik maklumat daripada bahan bacaan Yunani untuk menunjukkan bahawa sesetengah perkara yang diajarkannya juga tercatat dalam tulisan mereka sendiri. Sekarang, mari kita mengkaji kata-kata Paulus yang meyakinkan. Apakah kebenaran penting yang disampaikannya tentang Tuhan yang tidak dikenali oleh orang Atena?

13. Apakah yang dijelaskan oleh Paulus tentang asal usul alam semesta, dan apakah mesej yang ingin disampaikannya?

13 Tuhan menciptakan alam semesta. Paulus berkata, “Tuhan yang menjadikan dunia ini dan segala yang ada di dalamnya, Dialah Tuan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam rumah yang dibina dengan tangan manusia.”d (Kis. 17:24) Alam semesta tidak wujud secara kebetulan. Tuhan yang benar ialah Pencipta segala sesuatu. (Mzm. 146:6) Kemuliaan Dewi Atena atau dewa dewi lain bergantung pada kuil, tempat sembahyang, dan mazbah. Namun, rumah ibadat buatan manusia tidak cukup luas bagi Tuhan Yang Berdaulat atas langit dan bumi. (1 Raj. 8:27) Mesej yang ingin disampaikan oleh Paulus sangat jelas: Tuhan yang benar jauh lebih agung berbanding mana-mana berhala buatan manusia yang terdapat di kuil-kuil yang dibina manusia.​—Yes. 40:18-26.

14. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa Tuhan tidak bergantung pada manusia?

14 Tuhan tidak bergantung pada manusia. Para penyembah berhala sering mengenakan pakaian yang mewah pada patung-patung berhala. Mereka juga memberikan hadiah yang mahal atau membawa makanan dan minuman bagi patung-patung itu, seolah-olah patung-patung tersebut memerlukannya! Namun, sesetengah ahli falsafah Yunani yang mendengar ucapan Paulus mungkin percaya bahawa tuhan tidak memerlukan apa-apa daripada manusia. Jika demikian, mereka tentu setuju dengan kenyataan Paulus bahawa Tuhan “tidak perlu dilayani oleh manusia.” Sememangnya, tiada benda yang dapat diberikan oleh manusia kepada Pencipta! Sebaliknya, Tuhanlah yang memberi manusia apa yang diperlukan mereka, iaitu “kehidupan dan nafas serta segala sesuatu,” termasuk matahari, hujan, dan tanah yang subur. (Kis. 17:25; Kej. 2:7) Maka, Tuhan tidak perlu bergantung pada manusia kerana Dia ialah Pemberi dan manusia ialah penerima.

15. Bagaimanakah Paulus membetulkan pandangan orang Atena? Apakah pengajaran penting yang kita peroleh melalui teladannya?

15 Tuhan mencipta manusia. Orang Atena percaya bahawa mereka lebih unggul daripada orang bukan Yunani. Namun, perasaan bangga akan bangsa atau negara bertentangan dengan kebenaran Bible. (Ul. 10:17) Paulus dengan mahir dan bijak menangani isu sensitif ini. Apabila Paulus berkata, “Daripada seorang manusia, [Tuhan] menjadikan semua bangsa,” dia membuat pendengarnya berhenti sejenak dan berfikir. (Kis. 17:26) Dia sedang merujuk kepada kisah di buku Kejadian mengenai Adam, yang merupakan bapa kepada umat manusia. (Kej. 1:26-28) Memandangkan semua orang memiliki nenek moyang yang sama, tiada kewarganegaraan atau bangsa yang lebih unggul daripada yang lain. Pendengar Paulus tentu memahami maksud kata-katanya. Teladannya memberi kita pengajaran yang penting. Kita memang ingin bersikap munasabah dan bijaksana semasa melakukan kerja penyebaran, namun kita tidak mahu mengaburi kebenaran supaya orang mudah menerimanya.

16. Apakah tujuan Pencipta bagi manusia?

16 Tujuan Tuhan adalah agar manusia menghampiri-Nya. Walaupun ahli falsafah dalam kalangan pendengar Paulus mungkin telah lama berdebat tentang tujuan kewujudan manusia, mereka tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan. Namun, Paulus dengan jelas menyingkapkan tujuan Pencipta bagi manusia, iaitu supaya mereka “mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jika mereka berbuat demikian, mereka pasti akan menemui Tuhan, kerana Dia sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.” (Kis. 17:27) Maka, adalah tidak mustahil bagi orang Atena untuk mengetahui tentang Tuhan yang tidak dikenali mereka itu. Dia bahkan tidak jauh daripada orang yang benar-benar mencari-Nya dan ingin belajar tentang-Nya. (Mzm. 145:18) Perhatikan bahawa Paulus menggunakan perkataan “kita.” Hal ini menunjukkan bahawa dia sendiri juga perlu ‘mencari Tuhan dengan bersungguh-sungguh’ seperti para pendengarnya.

17, 18. Mengapakah manusia patut rasa akrab dengan Tuhan? Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Paulus mencapai hati pendengarnya?

17 Manusia patut rasa akrab dengan Tuhan. Oleh kerana Dia, “kita hidup, bergerak, dan wujud,” kata Paulus. Menurut sesetengah cendekiawan, Paulus sedang merujuk kepada kata-kata Epimenides, seorang penyair dari Kreta pada abad keenam SM, yang merupakan “tokoh terkemuka dalam tradisi keagamaan orang Atena.” Kemudian, Paulus memberikan sebab yang lain mengapa manusia patut berasa akrab dengan Tuhan. Dia menyatakan, “Beberapa orang penyair kamu juga berkata, ‘Kita semua ialah anak-Nya.’” (Kis. 17:28) Manusia patut berasa mereka mempunyai hubungan yang akrab dengan Tuhan, kerana Dia ialah Bapa kepada manusia pertama yang menjadi nenek moyang kepada semua orang. Untuk mencapai hati pendengarnya, Paulus dengan bijak memetik tulisan-tulisan Yunani yang dihormati oleh mereka.e Seperti Paulus, ada kalanya kita juga boleh memetik beberapa maklumat daripada sejarah sekular, ensiklopedia, atau rujukan sahih yang lain. Misalnya, dengan mengongsi sumber yang dapat dipercayai, kita mungkin dapat meyakinkan orang bukan Saksi tentang asal usul amalan dan perayaan agama palsu.

18 Setakat ini, Paulus telah menyampaikan kebenaran-kebenaran yang penting tentang Tuhan, dan dengan mahir menyesuaikan penyampaiannya untuk pendengarnya. Selepas orang Atena mendengar maklumat yang penting ini, Paulus ingin mereka melakukan apa? Tanpa berlengah-lengah, dia memberitahu mereka apa yang harus dilakukan.

‘Orang di Merata Tempat Harus Bertaubat’ (Kis. 17:29-31)

19, 20. (a) Bagaimanakah Paulus dengan bijak mendedahkan bahawa menyembah berhala buatan manusia ialah tindakan yang bodoh? (b) Apakah yang harus dilakukan oleh para pendengar Paulus?

19 Kini Paulus menggesa pendengarnya untuk mengambil tindakan. Dengan merujuk semula petikan daripada tulisan-tulisan Yunani, dia berkata, “Memandangkan kita anak-anak Tuhan, kita tidak patut berfikir bahawa Tuhan adalah seperti hasil seni reka manusia yang diperbuat daripada emas, perak, atau batu.” (Kis. 17:29) Sememangnya, jika manusia ialah hasil karya Tuhan, bagaimana mungkin Tuhan akan menjadi patung berhala yang merupakan buatan manusia? Paulus dengan bijak mendedahkan bahawa menyembah patung berhala buatan manusia ialah tindakan yang bodoh. (Mzm. 115:4-8; Yes. 44:9-20) Dengan berkata “kita tidak patut,” Paulus memastikan nasihatnya tidak terlalu menyakitkan hati pendengarnya.

20 Rasul Paulus dengan jelas menyatakan tindakan yang perlu diambil mereka dengan berkata, “Sebelum ini, orang tidak mengenal Tuhan [mereka berfikir bahawa Tuhan berkenan kepada manusia yang menyembah berhala], tetapi Dia tidak menyalahkan mereka. Kini, Dia mengumumkan kepada semua orang di merata tempat bahawa mereka harus bertaubat.” (Kis. 17:30) Sesetengah pendengar Paulus mungkin berasa terkejut semasa mendengar bahawa mereka perlu bertaubat. Namun, kata-katanya yang terus terang jelas menunjukkan bahawa nyawa mereka berasal daripada Tuhan. Maka, mereka bertanggungjawab kepada-Nya. Mereka perlu mencari Tuhan, belajar kebenaran tentang-Nya, dan hidup selaras dengan kebenaran. Bagi orang Atena, hal ini bermaksud mereka perlu sedar bahawa menyembah berhala merupakan dosa dan mereka harus bertaubat.

21, 22. Bagaimanakah Paulus mengakhiri ucapannya dengan kata-kata yang menggugah semangat? Apakah maksud kata-katanya bagi kita hari ini?

21 Paulus mengakhiri ucapannya dengan kata-kata yang menggugah semangat ini: “[Tuhan] sudah menetapkan hari untuk menghakimi seluruh dunia dengan adil melalui seorang lelaki yang telah dilantik-Nya. Dia telah membangkitkan lelaki itu daripada kematian sebagai jaminan kepada semua manusia bahawa hari itu pasti tiba.” (Kis. 17:31) Hari Penghakiman akan datang! Bukankah ini sebab yang kukuh bagi pendengarnya untuk mencari dan menemui Tuhan yang benar? Paulus tidak menyebut nama Hakim yang dilantik itu. Sebaliknya, Paulus menyatakan sesuatu yang mengejutkan tentangnya, iaitu dia telah hidup sebagai seorang manusia, kemudiannya mati, lalu dibangkitkan oleh Tuhan!

22 Kesimpulan itu sangat bermakna bagi kita hari ini. Kita tahu bahawa Hakim yang dilantik oleh Tuhan ialah Yesus Kristus yang dibangkitkan. (Yoh. 5:22) Kita juga tahu bahawa Hari Penghakiman sudah dekat dan akan berlangsung selama seribu tahun. (Why. 20:4, 6) Kita tidak berasa takut untuk menghadapi Hari Penghakiman kerana hal itu akan membawa berkat yang tidak terhingga kepada orang yang setia. Harapan masa depan kita terjamin kerana mukjizat yang paling unggul telah berlaku, iaitu pembangkitan Yesus Kristus!

“Beberapa Orang . . . Menjadi Pengikut Yesus” (Kis. 17:32-34)

23. Apakah reaksi orang selepas mendengar kata-kata Paulus?

23 Pendengar Paulus ada reaksi yang berbeza-beza. “Ada yang mula mengolok-olokkan Paulus” semasa mendengar tentang pembangkitan. Yang lain pula bersikap sopan tetapi tidak sudi bertindak. Mereka berkata, “Kami akan mendengar kamu bercakap tentang hal ini pada kesempatan lain.” (Kis. 17:32) Namun, “beberapa orang telah mengikutnya lalu menjadi pengikut Yesus. Antara mereka termasuk seorang hakim di mahkamah Areopagus yang bernama Dionisius, dan seorang wanita yang bernama Damaris, serta beberapa orang yang lain.” (Kis. 17:34) Hari ini, kita juga menerima reaksi yang serupa dalam kerja penyebaran. Sesetengah orang mungkin mengejek kita, manakala yang lain melayan kita dengan sopan tetapi tidak menunjukkan minat. Namun, kita sangat teruja semasa sesetengah orang menerima berita tentang Kerajaan Tuhan dan menjadi pengikut Kristus.

24. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Paulus di Areopagus?

24 Seraya kita merenungkan ucapan Paulus, kita dapat belajar banyak tentang cara menyampaikan maklumat dengan logik dan meyakinkan, serta membuat penyesuaian untuk pendengar kita. Selain itu, kita dapat belajar tentang pentingnya menunjukkan kesabaran dan kebijaksanaan semasa bercakap dengan orang yang dibutakan oleh ajaran agama palsu. Kita juga belajar tentang hal yang penting ini: Kita tidak mahu mengaburi kebenaran Bible semata-mata untuk menyenangkan pendengar kita. Namun, dengan meniru teladan Rasul Paulus, kita dapat menjadi guru yang lebih mahir dalam kerja penyebaran. Para penyelia di sidang juga dapat mengajar dengan lebih berkesan. Dengan demikian, kita akan dilengkapi untuk membantu orang ‘mencari Tuhan dan menemui-Nya.’​—Kis. 17:27.

a Lihat kotak “Atena​—Pusat Kebudayaan Dunia pada Zaman Kuno.”

b Lihat kotak “Golongan Epikuros dan Stoik.”

c Areopagus terletak di barat laut Akropolis, dan biasanya digunakan sebagai tempat perjumpaan bagi majlis tertinggi Atena. Ungkapan “Areopagus” mungkin merujuk kepada majlis itu atau bukit yang sebenar. Maka, beberapa cendekiawan berpendapat bahawa Paulus dibawa ke bukit itu atau berdekatan dengannya. Ada pula yang mengatakan bahawa dia dibawa ke tempat perjumpaan ahli majlis di lokasi lain, seperti di tempat awam.

d Perkataan Yunani bagi “dunia” ialah koʹsmos. Bagi orang Yunani, perkataan ini merujuk kepada alam semesta. Kemungkinan besar, Paulus menggunakan perkataan “dunia” dalam maksud ini supaya dapat mengekalkan titik persamaan dengan mereka. Namun, biasanya Bible menggunakan ungkapan “dunia” untuk merujuk kepada manusia.

e Paulus memetik daripada puisi astronomi berjudul Phaenomena, karya penyair Stoik bernama Aratus. Kata-kata yang serupa juga dijumpai dalam tulisan-tulisan Yunani yang lain, termasuk Hymn to Zeus, karya penulis Stoik bernama Cleanthes.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi