PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w16 Mei ms. 18-22
  • Adakah Bible Masih Mengubah Kehidupan Anda?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Adakah Bible Masih Mengubah Kehidupan Anda?
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PEMIKIRAN YANG MUNASABAH
  • MENGAPAKAH BEGITU SUSAH?
  • BENARKAN FIRMAN TUHAN TERUS MENGUBAH ANDA
  • INGATLAH HARAPAN YANG MENAKJUBKAN
  • “Ubahlah Fikiran Kamu”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2023
  • Robohkan Pelbagai Fikiran yang Bercanggahan dengan Pengetahuan tentang Tuhan!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Anda Dapat ‘Menanggalkan Keperibadian Lama’
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
  • Yehuwa Menghargai Anda!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
w16 Mei ms. 18-22
Seorang lelaki bertengkar semasa berjudi, dia dibaptis, kemudian dia menengking saudara lain di Dewan Perjumpaan

Adakah Bible Masih Mengubah Kehidupan Anda?

“Ubahlah fikiran kamu.”—RM. 12:2.

LAGU: 61, 52

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Mengapakah kita harus terus mengubah kehidupan kita selepas dibaptis?

  • Mengapakah Tuhan menghendaki kita untuk berusaha mengatasi kelemahan kita?

  • Bagaimanakah kita boleh membenarkan Firman Tuhan terus mengubah kehidupan kita?

1-3. (a) Apakah beberapa kelemahan yang mungkin susah diatasi selepas dibaptis? (b) Apabila kita berasa susah untuk membuat perubahan, apakah soalan-soalan yang mungkin timbul? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

APABILA mempelajari kebenaran, Kevin[1] sangat ingin memiliki hubungan yang akrab dengan Yehuwa. Namun selama bertahun-tahun, dia berjudi, merokok, meminum alkohol secara berlebihan, dan menyalahgunakan dadah. Untuk diperkenankan Tuhan, Kevin harus menghentikan semua amalan tersebut. Dia dapat melakukannya dengan bergantung pada Yehuwa dan Firman-Nya.—Ibr. 4:12.

2 Selepas dibaptis, adakah Kevin berhenti membuat perubahan dalam kehidupannya? Tidak. Dia masih perlu berusaha untuk memupuk dan memperbaiki keperibadian Kristiannya. (Ef. 4:31, 32) Contohnya, dia sedar bahawa dia seorang yang panas baran dan susah baginya untuk mengawal kemarahan. Kevin mengakui, “Belajar untuk mengawal kemarahan saya sebenarnya lebih susah berbanding menghentikan amalan buruk saya!” Dengan tekun berdoa dan rajin mempelajari Bible, Kevin berjaya membuat perubahan.

3 Seperti Kevin, banyak antara kita telah membuat perubahan sebelum dibaptis agar dapat hidup selaras dengan prinsip Bible. Selepas dibaptis, kita sedar bahawa kita perlu terus membuat perubahan, termasuk perubahan yang tidak ketara, supaya dapat meniru Tuhan dan Kristus dengan lebih teliti. (Ef. 5:1, 2; 1 Ptr. 2:21) Contohnya, kita mungkin sedar bahawa kita suka mengkritik, takut berhadapan dengan orang semasa menginjil, suka mengumpat, atau memiliki kelemahan yang lain. Adakah kita berasa susah untuk membuat perubahan sedemikian? Jika ya, anda mungkin tertanya-tanya, “Saya sudah membuat perubahan yang besar, jadi mengapa susah bagi saya untuk membuat perubahan yang kecil? Bagaimanakah saya dapat membenarkan Bible untuk terus mengubah kehidupan saya?”

PEMIKIRAN YANG MUNASABAH

4. Mengapakah kita tidak dapat menyenangkan hati Tuhan pada setiap masa?

4 Oleh sebab kita mengenal dan mengasihi Yehuwa, kita ingin menyenangkan hati-Nya. Walaupun keinginan itu kuat, kita tidak sempurna dan tidak dapat menyenangkan hati Tuhan pada setiap masa. Kita berasa seperti Paulus yang berkata, “Walaupun aku mempunyai keinginan untuk berbuat baik, aku tidak dapat melakukannya.”—Rm. 7:18; Yak. 3:2.

5. Apakah perubahan yang harus kita lakukan sebelum dibaptis? Apakah kelemahan yang mungkin masih perlu diatasi?

5 Sebelum menjadi ahli sidang, kita telah menghentikan amalan yang berdosa. (1 Kor. 6:9, 10) Namun, kita masih tidak sempurna. (Kol. 3:9, 10) Kita masih melakukan kesilapan selepas dibaptis atau selepas bertahun-tahun dalam kebenaran. Dari masa ke masa, kita mungkin mempunyai motif dan kecenderungan yang salah serta gagal mengawal kelemahan kita. Sesetengah kecenderungan mungkin akan berterusan selama bertahun-tahun.

6, 7. (a) Mengapakah kita boleh menjadi sahabat Yehuwa walaupun kita tidak sempurna? (b) Mengapakah kita tidak patut teragak-agak untuk mendapat manfaat daripada tebusan?

6 Walaupun kita tidak sempurna, kita masih dapat menikmati persahabatan dengan Yehuwa dan menyembah-Nya. Fikirkan hal ini: Apabila Yehuwa menjemput kita untuk menjadi sahabat-Nya, Dia tahu bahawa kadangkala kita akan berbuat silap. (Yoh. 6:44) Memandangkan Tuhan mengetahui keperibadian dan isi hati kita, Dia sedar akan kelemahan kita. Walaupun demikian, Yehuwa masih ingin kita menjadi sahabat-Nya.

7 Kasih telah mendorong Tuhan untuk menyediakan suatu pemberian yang istimewa, iaitu korban tebusan Yesus. (Yoh. 3:16) Jika kita beriman terhadap tebusan dan meminta pengampunan Yehuwa, kita yakin bahawa kita dapat terus menikmati persahabatan dengan-Nya. (Rm. 7:24, 25; 1 Yoh. 2:1, 2) Adakah kita patut teragak-agak untuk mendapat manfaat daripada tebusan? Tidak! Jika kita teragak-agak, kita boleh diumpamakan seperti orang yang enggan menggunakan air untuk membasuh tangannya yang kotor. Ingatlah bahawa Yesus telah mati untuk pendosa yang bertaubat. Kita bersyukur kerana tebusan membolehkan kita menikmati persahabatan dengan Yehuwa walaupun kita tidak sempurna.—Baca 1 Timotius 1:15.

8. Mengapakah kita tidak harus mencari alasan untuk terus melakukan dosa?

8 Sudah tentu, kita tidak akan mencari alasan untuk terus melakukan dosa. Jika kita ingin menjadi sahabat Yehuwa, kita perlu meniru teladan Tuhan dan Kristus dengan teliti. Kita juga harus berusaha memupuk keperibadian yang diperkenankan mereka. (Mzm. 15:1-5) Selain itu, kita perlu mengawal keinginan yang tidak sempurna dan jika boleh mematikan keinginan itu. Tidak kira kita baru dibaptis atau sudah lama dalam kebenaran, kita harus ‘terus membetulkan fikiran’ kita.—2 Kor. 13:11.

9. Mengapakah mengenakan keperibadian baru merupakan suatu proses yang berterusan?

9 Kita perlu terus berusaha untuk “membetulkan fikiran” dan “mengenakan keperibadian baru.” Paulus memberitahu orang Kristian: “Kamu diajar supaya menanggalkan keperibadian lama yang dibentuk menurut kelakuan kamu dahulu, dan yang sedang dirosakkan oleh keinginan yang menyesatkan. Hendaklah kamu terus membaharui cara kamu berfikir, dan hendaklah kamu mengenakan keperibadian baru yang diciptakan menurut kehendak Tuhan, dan yang selaras dengan apa yang benar dan setia.” (Ef. 4:22-24) Ungkapan “terus membaharui cara kamu berfikir” merujuk kepada suatu proses yang berterusan. Hal ini sangat menggalakkan kerana kita boleh terus memupuk dan memperbaiki keperibadian kita tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa. Ya, Bible dapat terus mengubah kehidupan kita.

MENGAPAKAH BEGITU SUSAH?

10. Apakah yang perlu kita lakukan untuk terus membuat kemajuan dengan bantuan Firman Tuhan? Apakah soalan yang mungkin timbul?

10 Kita harus berusaha untuk membenarkan Firman Tuhan mengubah kehidupan kita. Namun, mengapakah kita perlu mencurahkan banyak usaha untuk melakukan sedemikian? Jika Yehuwa memberkati usaha kita, tidakkah kemajuan rohani sepatutnya menjadi lebih senang? Mengapakah Yehuwa tidak menyingkirkan kecenderungan yang salah supaya kita lebih mudah menunjukkan sifat-sifat baik?

11-13. Mengapakah Tuhan menghendaki kita untuk berusaha mengatasi kelemahan kita?

11 Apabila kita merenung tentang alam semesta, kita sedar bahawa Yehuwa memang berkuasa. Contohnya, matahari dapat menghasilkan banyak haba dan cahaya setiap saat. Namun, hanya sedikit daripada haba dan cahaya itu diperlukan untuk menampung hidupan di bumi. (Mzm. 74:16; Yes. 40:26) Maka, Yehuwa dapat memberikan kekuatan kepada hamba-Nya. (Yes. 40:29) Sebenarnya, jika Tuhan mahu, Dia dapat membantu kita mengatasi setiap kelemahan dan menghentikan keinginan yang salah dengan mudah. Namun, mengapakah Dia tidak melakukannya?

12 Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih. Dengan memilih untuk mentaati Yehuwa dan berusaha untuk melakukan kehendak-Nya, kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dan ingin menyenangkan hati-Nya. Syaitan telah mencabar hak Yehuwa untuk memerintah. Maka, apabila kita berusaha untuk menyokong kedaulatan-Nya dengan rela hati, Bapa kita yang di syurga tentu menghargainya. (Ayb. 2:3-5; Ams. 27:11) Jika kita berusaha mengawal kelemahan kita walaupun hal itu tidak senang, kita menunjukkan bahawa kita ingin setia kepada Tuhan dan menyokong pemerintahan-Nya.

13 Maka, Yehuwa memberitahu kita agar “berusaha sedaya upaya” untuk memupuk sifat-sifat baik. (Baca 2 Petrus 1:5-7; Kol. 3:12) Dia ingin kita berusaha untuk mengawal pemikiran dan perasaan kita. (Rm. 8:5; 12:9) Jika kita berusaha melakukannya, kita akan berasa puas kerana kita sedar bahawa Bible masih mengubah kehidupan kita.

BENARKAN FIRMAN TUHAN TERUS MENGUBAH ANDA

14, 15. Apakah usaha yang perlu kita lakukan untuk memupuk sifat-sifat yang menyenangkan hati Yehuwa? (Lihat kotak “Bible dan Doa Mengubah Kehidupan Mereka.”)

14 Apakah yang perlu kita lakukan untuk memupuk sifat-sifat yang menyenangkan hati Yehuwa? Kita bukan sahaja ingin membuat perubahan dalam diri kita, tetapi kita juga harus berusaha untuk mengikut bimbingan Tuhan. Roma 12:2 berkata, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini, tetapi ubahlah fikiran kamu agar kamu dapat mengetahui kehendak Tuhan yang baik, yang menyenangkan hati-Nya, dan yang sempurna.” Melalui Firman-Nya dan daya aktif-Nya, Yehuwa membantu kita untuk mengetahui kehendak-Nya dan mengubah kehidupan kita supaya selaras dengan kehendak-Nya. Oleh itu, kita haruslah berusaha untuk membaca Bible setiap hari, membuat perenungan, dan berdoa memohon daya aktif. (Luk. 11:13; Gal. 5:22, 23) Kita perlu mengikut bimbingan daya aktif Tuhan dan menyelaraskan fikiran kita dengan pandangan Yehuwa yang terdapat dalam Bible. Dengan demikian, fikiran, kata-kata, dan perbuatan kita akan menyenangkan hati Yehuwa. Namun, kita perlu tetap berwaspada terhadap kelemahan kita.—Ams. 4:23.

Seorang Saksi-Saksi Yehuwa mengulang kaji ayat Bible dan rencana yang dikumpulkan

Mengumpulkan dan mengulang kaji ayat Bible serta rencana tertentu memang bermanfaat untuk melawan kelemahan anda (Lihat perenggan 15)

15 Selain daripada membaca Bible setiap hari, kita juga perlu mempelajari bahan bacaan Bible yang lain untuk meniru sifat-sifat Yehuwa yang indah. Sesetengah orang mendapati bahawa mengumpulkan dan mengulang kaji sesetengah ayat Bible serta rencana Menara Pengawal atau Sedarlah![2] memang bermanfaat. Hal ini telah membantu mereka memupuk sifat-sifat Kristian dan mengatasi kelemahan tertentu.

16. Mengapakah kita tidak patut berasa tawar hati jika kemajuan rohani kita nampaknya lambat?

16 Jika kemajuan rohani anda nampaknya lambat, ingatlah bahawa hal itu memerlukan masa. Memupuk sifat-sifat rohani merupakan suatu proses yang berterusan. Kita harus bersabar sambil berusaha untuk membenarkan Bible terus mengubah kehidupan kita. Pada mulanya, kita mungkin perlu mendisiplinkan diri untuk bertindak selaras dengan apa yang tercatat dalam Bible. Namun, jika kita terus berusaha untuk menyelaraskan fikiran kita dengan fikiran Yehuwa, kita akan berasa lebih mudah untuk berfikir dan bertindak dalam cara yang menyenangkan hati Yehuwa.—Mzm. 37:31; Ams. 23:12; Gal. 5:16, 17.

INGATLAH HARAPAN YANG MENAKJUBKAN

17. Jika kita setia kepada Yehuwa, apakah yang akan kita nikmati pada masa depan?

17 Penyembah Yehuwa yang setia akan menikmati kehidupan abadi dalam keadaan yang sempurna. Pada masa itu, kita tidak lagi berasa susah untuk menunjukkan sifat-sifat yang baik. Sebaliknya, kita akan bersukacita untuk meniru sifat Yehuwa. Buat masa sekarang, kita bersyukur atas korban tebusan yang membolehkan kita menyembah Yehuwa walaupun kita tidak sempurna. Namun kita harus terus menggunakan Firman Tuhan untuk mengubah kehidupan kita.

18, 19. Mengapakah kita boleh berasa yakin bahawa Bible dapat mengubah kehidupan kita?

18 Kevin, yang disebut tadi, telah berusaha untuk mengawal kemarahannya. Dia merenungkan dan menerapkan prinsip Bible, serta menerima bantuan dan nasihat daripada rakan seiman. Selepas beberapa tahun, Kevin telah membuat kemajuan yang baik. Kemudian, dia dilantik sebagai pembantu sidang. Kini, Kevin sudah berkhidmat sebagai seorang penatua selama 20 tahun. Namun, dia sedar bahawa dia masih perlu berwaspada dan berusaha melawan kelemahannya.

19 Pengalaman Kevin menunjukkan bahawa Bible membantu umat Tuhan untuk terus membuat perubahan yang baik dalam kehidupan mereka. Maka, janganlah putus asa. Benarkanlah Firman Tuhan untuk terus mengubah kehidupan kita. Dengan demikian, kita akan mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa. (Mzm. 25:14) Yehuwa akan memberkati usaha kita, dan kita akan nampak dengan jelas bahawa Bible memang dapat mengubah kehidupan kita.—Mzm. 34:9.

^ [1] (perenggan 1) Nama telah diubah.

^ [2] (perenggan 15) Terdapat dalam bahasa Indonesia.

Bible dan Doa Mengubah Kehidupan Mereka

Russell suka mengkritik rakan seimannya. Maria Victoria suka mengumpat. Linda pula berasa takut berhadapan dengan orang apabila menyertai aktiviti penyebaran. Ketiga-tiga orang Kristian ini berasa susah untuk berubah. Namun, mereka telah membuat kemajuan untuk mengatasi kelemahan. Perhatikan apa yang membantu mereka.

Russell: “Berdoa kepada Yehuwa dan membaca Bible setiap hari membantu saya. Merenungkan ayat di 2 Petrus 2:11 dan nasihat peribadi daripada para penatua memberikan kesan yang besar atas diri saya.”

Maria Victoria: “Saya berdoa kepada Yehuwa dengan bersungguh-sungguh supaya dapat mengawal lidah saya. Saya juga sedar bahawa saya perlu berhenti bergaul bersama orang yang suka mengumpat.” Ayat di Mazmur 64:2-5 membuat Maria Victoria sedar bahawa ada orang berdoa supaya dilindungi daripada pengumpat. Maka dia tidak mahu tergolong sebagai pengumpat! Dia sedar jika dia mengumpat, teladan buruknya membawa celaan terhadap nama Yehuwa.

Linda: “Saya membiasakan diri dengan risalah-risalah kita supaya dapat bersedia untuk menawarkannya. Bergaul bersama orang yang gemar menyertai pelbagai aspek aktiviti penyebaran banyak membantu saya. Saya juga sentiasa bergantung pada Yehuwa melalui doa.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi