SURAT DARIPADA YUDAS
1 Yudas, seorang hamba kepada Yesus Kristus dan saudara kandung kepada Yakobus,+ menulis surat ini kepada mereka yang dipanggil+ dan dikasihi oleh Tuhan, Bapa kita, dan yang dijaga kerana mereka milik Yesus Kristus:+
2 Semoga kamu dikurniai belas kasihan, kedamaian, dan kasih yang melimpah.
3 Saudara-saudara yang dikasihi, pada mulanya aku teringin sekali menulis tentang penyelamatan yang kita kongsi bersama.+ Namun sekarang, aku berasa bahawa aku perlu menulis kepada kamu untuk memberikan nasihat berikut: Kamu harus berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kepercayaan+ yang diberikan sekali untuk selama-lamanya kepada umat suci Tuhan. 4 Aku berbuat demikian kerana sesetengah orang sudah menyelinap ke dalam kalangan kamu. Sejak dahulu lagi, Ayat-Ayat Suci sudah menubuatkan bahawa orang sedemikian akan dihukum. Mereka tidak menghormati Tuhan kita dan menjadikan kebaikan hati-Nya yang unggul sebagai alasan untuk melakukan perbuatan yang buruk tanpa rasa malu.*+ Mereka tidak setia kepada satu-satunya pemilik dan Tuan kita, Yesus Kristus.+
5 Meskipun kamu memang mengetahui semua ini, aku mahu memberikan peringatan berikut kepada kamu: Walaupun Yehuwa* pernah menyelamatkan umat-Nya dari Mesir,+ Dia kemudiannya membinasakan mereka yang tidak menunjukkan iman.+ 6 Dia juga membelenggu malaikat-malaikat yang meninggalkan tugas asal dan tempat tinggal mereka.+ Malaikat-malaikat itu dibelenggu dalam kegelapan yang pekat dengan rantai yang kekal, sehingga hari besar untuk menghakimi mereka tiba.+ 7 Begitu juga, penduduk Sodom dan Gomora serta kota-kota di sekitarnya asyik menjerumuskan diri dalam perbuatan seks yang tidak bermoral* dan memuaskan keinginan tubuh yang salah.+ Kota-kota itu dan penduduknya telah dihukum dengan api yang kekal dan hal itu menjadi amaran bagi kita.+
8 Namun begitu, orang yang menyelinap ke dalam kalangan kamu itu juga sangat suka berkhayal. Mereka menajiskan tubuh orang lain, memandang hina terhadap pemerintah, dan mencela orang yang dimuliakan oleh Tuhan.+ 9 Semasa ketua malaikat,+ iaitu Mikhael,+ bertikai dengan Iblis tentang mayat Musa,+ dia tidak berani menggunakan kata-kata hinaan untuk menghakimi Iblis.+ Dia cuma berkata, “Biarlah Yehuwa* yang menegur kamu.”+ 10 Namun mereka menghina semua perkara yang sebenarnya tidak difahami oleh mereka.+ Tetapi bagi semua perkara yang difahami oleh mereka, mereka memahaminya secara naluri seperti binatang yang tidak berakal.+ Mereka terus melakukan perkara-perkara itu sehingga merosakkan akhlak sendiri.
11 Alangkah malangnya mereka! Mereka mengikut jejak Kain+ dan terburu-buru menempuh haluan sesat Bileam+ kerana menginginkan ganjaran. Mereka telah dimusnahkan kerana mengucapkan kata-kata yang menentang orang yang berkuasa atas mereka,+ seperti yang dilakukan oleh Korah.+ 12 Semasa mereka menikmati jamuan* bersama kamu,+ mereka seperti batu yang tersembunyi di bawah permukaan air. Mereka seperti gembala yang hanya memikirkan perut sendiri tanpa rasa malu.+ Mereka seperti awan yang ditiup angin ke sana sini tetapi tidak membawa hujan.+ Mereka seperti pokok yang tidak berbuah pada musim luruh, yang mati sama sekali, dan yang dicabut dengan akarnya. 13 Mereka seperti ombak ganas di laut yang membuihkan perbuatan yang memalukan.+ Mereka seperti bintang yang tidak bergerak mengikut peredarannya, dan mereka akan ditempatkan dalam kegelapan yang paling pekat buat selama-lamanya.+
14 Henokh,+ keturunan ketujuh daripada Adam, juga bernubuat mengenai mereka dengan berkata, “Lihatlah! Yehuwa* datang bersama puluhan ribu malaikat-Nya yang suci+ 15 untuk mengadili semua orang,+ dan untuk menyatakan kesalahan semua pendosa yang tidak menghormati-Nya. Tuhan berbuat demikian kerana mereka melakukan bermacam-macam kejahatan dan kerana mereka melemparkan kata-kata celaan terhadap-Nya.”+
16 Orang sebegini suka merungut+ dan tidak puas dengan apa yang dimiliki mereka. Mereka bertindak menurut nafsu,+ bercakap besar, dan mengampu orang lain demi kepentingan sendiri.+
17 Tetapi saudara-saudara yang dikasihi, ingatlah apa yang pernah dikatakan* oleh rasul-rasul Tuan Yesus Kristus. 18 Mereka sering berkata kepada kamu, “Pada waktu terakhir, akan muncul orang yang suka memperolokkan hal-hal yang betul dan yang mengikut nafsu jahat sendiri.”+ 19 Orang sebeginilah yang menyebabkan perpecahan,+ yang bersikap seperti binatang,* dan yang tidak dibimbing oleh kuasa suci* Tuhan.* 20 Namun saudara-saudara yang dikasihi, binalah iman kamu yang suci dan berdoalah menurut pimpinan kuasa suci Tuhan.+ 21 Dengan demikian kamu akan tetap berada di bawah naungan kasih Tuhan,+ sementara kamu menantikan belas kasihan Tuan Yesus Kristus, yang akan membuka jalan agar kamu menerima hidup kekal.+ 22 Selain itu, teruslah berbelas kasihan+ terhadap mereka yang ragu-ragu.+ 23 Tariklah mereka keluar daripada api untuk menyelamatkan mereka.+ Teruslah berbelas kasihan kepada orang lain. Namun, kamu harus berhati-hati semasa berbuat demikian. Jauhkanlah diri kamu daripada pakaian mereka yang dicemari perbuatan jahat.+
24 Tuhan dapat melindungi kamu supaya kamu tidak tersandung. Dia dapat membawa kamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita yang besar dan tanpa cela.+ 25 Menerusi Tuan kita, Yesus Kristus, semoga kemuliaan, keagungan, kekuatan, dan kuasa, menjadi milik satu-satunya Tuhan, Penyelamat kita, dari dahulukala hingga sekarang, dan untuk selama-lamanya. Amin.
Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Lihat Kamus.
Lihat Lampiran A5.
Harfiah, “jamuan kasih sayang.”
Lihat Lampiran A5.
Atau “dinubuatkan.”
Atau “orang jasmani.”
Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.
Atau “tidak peka terhadap hal-hal rohani.”