Daniel
12 “Pada waktu itu, Mikhael,*+ pemimpin agung+ yang bertindak* bagi pihak bangsamu, akan bangkit.* Masa kesusahan akan datang, iaitu masa kesusahan yang tidak pernah terjadi sejak pembentukan bangsa sehingga waktu itu. Pada waktu itu, bangsamu akan melarikan diri.+ Ya, sesiapa yang namanya tertulis dalam kitab akan berjaya melarikan diri.+ 2 Ramai orang yang sudah mati* akan bangkit. Ada yang akan menikmati kehidupan kekal, dan ada pula yang akan dimalukan dan dibenci buat selama-lamanya.
3 “Orang yang mempunyai pengertian akan bersinar terang di ruang angkasa, dan mereka yang memimpin banyak orang ke haluan yang benar adalah seperti bintang, yang akan bersinar buat selama-lamanya.
4 “Hendaklah kamu, Daniel, merahsiakan kata-kata ini, dan memeterai kitab ini sehingga akhir zaman.+ Ramai orang akan mencarinya* dengan teliti, dan pengetahuan yang benar akan berlimpah-limpah.”+
5 Kemudian, aku, Daniel, nampak dua malaikat sedang berdiri, satu di tebing sungai sebelah sini, dan satu lagi di tebing sungai sebelah sana.+ 6 Salah satu malaikat berkata kepada seorang lelaki yang berpakaian linen,+ yang sedang berdiri di atas air sungai, “Berapa lamakah hal-hal yang menakjubkan ini akan berlangsung sehingga semuanya berakhir?” 7 Lelaki yang berdiri di atas air sungai itu mengangkat tangan kanan dan tangan kirinya ke langit, lalu dia bersumpah demi Tuhan yang hidup selama-lamanya.+ Aku mendengar dia berkata, “Semua ini akan berlangsung pada waktu yang telah ditentukan, iaitu satu waktu, dua waktu, dan setengah waktu.* Sebaik sahaja kuasa umat suci dihancurkan,+ semua hal ini akan berakhir.”
8 Aku mendengar semua ini, tetapi aku tidak memahaminya.+ Jadi aku bertanya, “Tuan, apakah kesudahan semua ini?”
9 Dia menjawab, “Pergilah Daniel, kerana kata-kata ini harus dirahsiakan dan dimeterai sehingga akhir zaman.+ 10 Banyak orang akan membersihkan diri dan menyucikan diri, dan mereka akan dimurnikan.+ Orang jahat akan berbuat jahat, dan tiada seorang pun antara mereka yang akan memahaminya. Hanya orang yang berpengertian akan memahaminya.+
11 “Sejak korban harian+ dirampas dan benda jijik yang membawa kemusnahan didirikan,+ 1,290 hari akan berlalu.
12 “Berbahagialah orang yang terus menanti-nanti* sehingga 1,335 hari berlalu!
13 “Tetapi Daniel, hendaklah kamu tetap teguh sampai akhir. Kamu akan berehat, tetapi kamu akan bangkit untuk menerima bahagianmu* pada akhir zaman.”+