Isnin, 28 Julai
Dia yang bersatu dengan kamu itu lebih besar daripada dia yang bersatu dengan dunia.—1 Yoh. 4:4.
Jika anda takut, renungkan harapan yang dijanjikan Yehuwa semasa Syaitan dihapuskan. Di konvensyen serantau 2014, sebuah demonstrasi menunjukkan seorang bapa membincangkan 2 Timotius 3:1-5 dengan keluarganya dan ubah ayat-ayat itu untuk berbunyi, “Di dunia baharu nanti, akan ada hari-hari yang amat bahagia. Manusia akan mengasihi satu sama lain, mencintai hal-hal rohani, rendah hati, tidak angkuh, dan suka memuji Tuhan. Mereka akan mentaati ibu bapa, tahu berterima kasih, setia, menyayangi ahli keluarga, sudi dibawa berbincang, sentiasa bercakap baik tentang orang lain, mampu mengawal diri, lemah lembut, dan mencintai kebaikan. Mereka juga boleh dipercayai, tidak keras kepala, tidak sombong, dan mencintai Tuhan, bukannya kesenangan. Mereka juga berusaha untuk hidup selaras dengan ibadat mereka. Hampirilah orang sebegini.” Adakah anda bincang tentang hidup di dunia baharu dengan keluarga atau rakan seiman? w24.01 6 ¶13-14
Selasa, 29 Julai
Aku berkenan kepadamu.—Luk. 3:22.
Bible menyatakan, “Yehuwa berkenan kepada umat-Nya.” (Mzm. 149:4) Hal itu pasti melegakan kita. Namun, sesetengah penyembah Yehuwa ada kalanya berasa begitu tawar hati sehingga berfikir, “Adakah Yehuwa berkenan kepada saya?” Sebilangan hamba Yehuwa pada zaman Bible pun pernah berasa begitu. (1 Sam. 1:6-10; Ayb. 29:2, 4; Mzm. 51:11) Bible menjelaskan bahawa manusia yang tidak sempurna boleh mendapat perkenan Yehuwa. Bagaimana? Kita mesti beriman kepada Yesus Kristus dan dibaptis. (Yoh. 3:16) Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan kepada orang ramai bahawa kita sudah bertaubat dan berjanji kepada Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. (Kis. 2:38; 3:19) Apabila kita mengambil beberapa langkah ini agar dapat menjadi sahabat Yehuwa, Dia berasa sangat gembira. Selagi kita berusaha sedaya upaya untuk menunaikan ikrar pembaktian kita, Yehuwa akan berkenan kepada kita dan menganggap kita sebagai sahabat akrab-Nya.—Mzm. 25:14. w24.03 26 ¶1-2
Rabu, 30 Julai
Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.—Kis. 4:20.
Tirulah murid-murid Yesus dengan terus menginjil biarpun dilarang oleh pihak berkuasa. Kita boleh berdoa agar Yehuwa memberi kita keberanian dan kebijaksanaan untuk menginjil serta menghadapi masalah dengan tabah. Kita yakin Yehuwa pasti membantu kita. Ramai antara kita menghadapi masalah fizikal atau emosi, masalah keluarga, penganiayaan, kematian orang tersayang, atau cabaran lain. Hal ini mungkin bertambah berat akibat pandemik atau peperangan. Maka curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa sepertimana anda meluahkannya kepada seorang kawan rapat. Yakinlah Yehuwa “akan bertindak bagi pihakmu.” (Mzm. 37:3, 5) Dengan tekun berdoa, kita dapat ‘bertabah hati semasa ditimpa kesengsaraan.’ (Rm. 12:12) Yehuwa tahu apa yang dilalui umat-Nya, dan Dia berjanji bahawa “apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar lalu menyelamatkan mereka.”—Mzm. 145:18, 19. w23.05 5-6 ¶12-15