Pembaca Bertanya . . .
Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mempunyai Penginjil Wanita?
Ya. Semua Saksi-Saksi Yehuwa ialah penginjil, termasuk beberapa juta wanita. Mereka menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan di seluas dunia. Mazmur 68:11 menyatakan nubuat ini: “Yehuwa memberikan perintah kepada umat-Nya; wanita-wanita yang mengisytiharkan berita baik bagaikan angkatan tentera yang besar.”
Tetapi tugas penginjil wanita Saksi-Saksi Yehuwa sangat berbeza daripada pastor atau pendeta wanita agama lain. Apakah perbezaannya?
Mereka menyebarkan mesej Tuhan kepada kumpulan pendengar yang berbeza. Pastor atau pendeta wanita agama lain, terutamanya gereja Kristian, menginjil khususnya kepada ahli-ahli dalam sidang. Untuk Saksi-Saksi Yehuwa pula, para wanita menginjil kepada orang di luar sidang. Mereka mungkin menemui orang sedemikian semasa menginjil dari rumah ke rumah atau tempat lain.
Satu lagi perbezaan ialah tugas mereka dalam sidang. Pastor atau pendeta wanita biasanya mengambil pimpinan dan mengajar doktrin agama kepada ahli sidang. Penginjil wanita Saksi-Saksi Yehuwa pula tidak mengajar dalam sidang apabila terdapat lelaki yang terbaptis di sana. Hanya lelaki yang dilantik ditugaskan untuk mengajar.—1 Timotius 3:2; Yakobus 3:1.
Bible menyatakan bahawa hanya lelaki yang diberi tugas untuk memimpin sidang. Perhatikan apa yang dikatakan oleh Rasul Paulus kepada Titus, “Aku meninggalkanmu di Kreta supaya kamu . . . melantik para penatua di setiap kota.” Paulus juga memberitahu dia bahawa “lelaki yang dilantik haruslah bebas daripada tuduhan dan hanya mempunyai seorang isteri.” (Titus 1:5, 6) Selain itu, Paulus memberikan arahan yang serupa kepada Timotius. Dia menulis, “Jika seseorang sedang berusaha untuk menjadi seorang penyelia, dia menginginkan pekerjaan yang baik. Seorang penyelia haruslah tidak bercela, mempunyai seorang isteri sahaja, . . . layak untuk mengajar.”—1 Timotius 3:1, 2.
Mengapakah hanya lelaki diizinkan untuk mengambil pimpinan dalam sidang? Paulus berkata, “Aku tidak mengizinkan seorang wanita untuk mengajar atau berkuasa atas seorang lelaki. Dia harus tetap berdiam diri. Hal ini demikian kerana Adam dibentuk terlebih dahulu, kemudian barulah Hawa.” (1 Timotius 2:12, 13) Maka, urutan penciptaan membantu kita faham bahawa Tuhan mahu lelaki mengambil pimpinan.
Walaupun begitu, semua penginjil Saksi-Saksi Yehuwa berusaha mengikut teladan Pemimpin mereka, Yesus Kristus. Lukas menulis, “Yesus pergi dari kota ke kota dan dari pekan ke pekan untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” Kemudian, Yesus mengutus para pengikutnya untuk melakukan kerja yang sama. Lukas menyambung, “Mereka pun bertolak dan pergi dari pekan ke pekan di seluruh kawasan itu. Mereka menghebahkan berita baik.”—Lukas 8:1; 9:2-6.
Hari ini, penginjil Saksi-Saksi Yehuwa, tidak kira lelaki atau wanita, memainkan peranan penting untuk melaksanakan amanah Yesus. Nubuat Bible kata, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”—Matius 24:14.