Ketabahan Diperlukan dalam Kerja Penyebaran
1 Hawari Paulus menikmati kerjaya yang memuaskan sebagai penyebar berita baik untuk lebih daripada 30 tahun. Seperti mana-mana usaha yang bermanfaat, kerja penyebaran dia tidak terkecuali daripada cabaran. (2 Kor. 11:23-29) Namun, Paulus tidak patah semangat. (2 Kor. 4:1) Dia sedar bahawa Yehuwa merupakan sumber kekuatannya untuk terus menjalankan aktiviti penyebaran dengan tabah. (Flp. 4:13) Oleh sebab ketabahan dan kesetiaannya, Paulus boleh berkata, “Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus.”—1 Kor. 11:1.
2 Tabah Menghadapi Cubaan Hari Ini: Setiap hari, ramai saudara saudari kita dipersendakan, ditentang, atau menghadapi ketidakacuhan daripada ahli keluarga, rakan sekerja, atau rakan sekolah. (Mat. 10:35; Yoh. 15:20) Mungkin anda juga menghadapi cubaan yang sama atau perlu berjuang melawan masalah kesihatan. Barangkali anda perlu bergelut setiap hari untuk menolak hal-hal yang menyimpangkan perhatian dan godaan yang menguji kepercayaan dan ketabahan anda. Kita boleh mendapat kekuatan dengan merenungkan teladan hamba-hamba setia dahulu kala dan rakan-rakan Kristian hari ini yang telah menghadapi dan mengatasi cabaran.—1 Ptr. 5:9.
3 Kita boleh memperoleh kekuatan untuk tetap teguh dalam aktiviti penyebaran dengan memastikan bahawa kita telah ‘memakai seluruh perlengkapan senjata daripada Tuhan.’ (Ef. 6:10-13, 15) Amatlah penting untuk berdoa agar kita dapat bertahan. Tuhan memberikan daya aktif-Nya supaya kita dapat tabah menghadapi cubaan. (2 Kor. 6:4-7) Jika kita ingin berjaya dalam perang rohani, kita mesti mendengarkan peringatan-peringatan Tuhan untuk memperbaharui semangat kita. (Mzm. 119:24, 85-88) Jika kita membaca Bible setiap hari, seperti seorang anak yang berulang kali membaca surat daripada bapanya yang penyayang, hubungan kita dengan Yehuwa akan dipererat. Pembelajaran peribadi yang tetap memberi kita kebijaksanaan untuk menghadapi cubaan dengan jayanya. Dengan demikian, kita mengizinkan fikiran Tuhan untuk memperkukuh integriti kita dan membimbing kita semasa membuat keputusan.—Ams. 2:10, 11.
4 Ketabahan Membawa Berkat: Seperti Paulus, kita dapat menggembirakan hati Yehuwa dan membawa berkat kepada diri kita mahupun orang lain jika kita menjalankan aktiviti penyebaran dengan tabah dan setia. (Ams. 27:11) Semoga kita bertekad untuk cekal hati dalam aktiviti penyebaran. Usaha ini akan membuktikan bahawa kepercayaan kita tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Kepercayaan yang utuh ini jauh ‘lebih berharga daripada emas yang dapat rosak meskipun diuji dengan api.’—1 Ptr. 1:6, 7.