PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 3/09 ms. 3-4
  • Sepucuk Surat Daripada Badan Pimpinan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Sepucuk Surat Daripada Badan Pimpinan
  • Kerja Teokratik Kita—2009
Kerja Teokratik Kita—2009
km 3/09 ms. 3-4

Sepucuk Surat Daripada Badan Pimpinan

Rakan-rakan Sekepercayaan yang Dikasihi,

Kami sungguh berbesar hati kerana dapat menyurati saudara saudari sekalian yang dikasihi! Seperti hawari Yohanes, kami “benar-benar mengasihi” rakan sekepercayaan kami dan sangat gembira kerana anda ‘hidup menurut ajaran Tuhan.’ (2 Yoh. 1, 4) Alangkah besarnya berkat kita kerana memiliki kebenaran! Kebenaran telah membebaskan kita daripada Babilon Besar serta doktrin dan adatnya yang mengaibkan nama Tuhan. Kebenaran Bible telah membantu kita menjadi orang yang penyayang, baik hati, dan berbelas kasihan. Selain itu, kebenaran telah membuka jalan kepada kita untuk menjalin hubungan yang baik dengan Tuhan dan mendapat harapan untuk hidup selama-lamanya.

Kita juga bersyukur kerana dibimbing dan dikuatkan setiap hari oleh daya aktif Yehuwa. Kami yakin bahawa anda telah bersukacita semasa mengkaji pelbagai cara Yehuwa berbuat demikian ketika menghadiri Konvensyen Distrik “Dibimbing oleh Daya Aktif Tuhan.” Memandangkan keadaan dunia ini bertambah buruk, amatlah penting untuk bergantung pada pimpinan daya aktif Yehuwa yang berkuasa semasa kita mengharungi masa genting yang terbentang di hadapan kita.

Kami pasti anda berasa terharu semasa membaca kisah-kisah dalam “Buku Tahunan” (Yearbook) tentang saudara saudari kita yang begitu tabah semasa mengalami banyak penderitaan demi kepercayaan mereka. Mereka tetap memelihara kesetiaan meskipun ramai antara mereka baru sahaja dibaptis atau belum dibaptis semasa kesusahan melanda. Bukankah hal ini sesuatu yang mengagumkan? Kita sungguh mengasihi mereka kerana begitu setia dan teguh demi keadilbenaran! Sememangnya, suri teladan mereka telah memperkuat azam kita agar terus setia kepada Kerajaan Tuhan tidak kira apa jua kesusahan yang menimpa kita.—1 Tes. 1:6-8.

Saudara saudari yang dikasihi, kami sedar bahawa anda perlu menangani banyak masalah seperti masalah kewangan supaya keluarga anda terus bersatu padu dalam ikatan kasih. Mungkin semakin banyak cabaran yang perlu anda atasi untuk menyertai kerja penyebaran dan menghadiri perjumpaan secara tetap. Itulah sebabnya, setelah berkali-kali berdoa dan berbincang, kami telah membuat beberapa perubahan pada jadual perjumpaan bermula 1 Januari 2009. Kami berharap agar anda memanfaatkan sepenuhnya aturan ini dengan meluangkan lebih banyak masa dalam pembelajaran peribadi dan keluarga.

Semasa perhimpunan dan konvensyen yang diadakan pada tahun lepas, ramai orang telah memenuhi syarat untuk dibaptiskan. Hal ini sungguh menggembirakan. Antara mereka yang dibaptis termasuklah kaum muda. Kepada ibu bapa yang mendidik anak-anak anda untuk menghayati kebenaran dan menggalakkan mereka untuk membaktikan diri kepada Yehuwa semasa muda lagi, syabas kami ucapkan! Meskipun anak-anak muda ini menghadapi banyak cabaran di sekolah, mereka masih memenuhi syarat untuk dibaptiskan. Jelaslah bahawa mereka telah dilatih dengan baik di rumah.—Mzm. 128:1-6.

Kami juga ingin menyebut tentang pertambahan yang baik dalam kerja pembelajaran Bible. Para perintis seberang laut dan perintis khas yang tekun telah banyak menyumbang kepada pencapaian ini. Kami yang menganggotai Badan Pimpinan sangat menghargai peranan penting saudara saudari di seluruh dunia yang mengatakan “Marilah!” kepada orang yang berhati jujur dan menjemput semua yang dahaga untuk ‘menerima pemberian air yang memberikan hidup.’ (Pny. 22:17) Kami dengan ramah mengalu-alukan 289,678 orang yang telah melambangkan pembaktian mereka menerusi pembaptisan air pada tahun lepas untuk menyertai persaudaraan sedunia kita!

Kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita tentang kata-kata hawari Yohanes: “Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak [Tuhan], akan hidup selama-lamanya.” (1 Yoh. 2:17) Akhir dunia ini sudah berada di ambang pintu dan kita sedang hidup pada masa yang genting ini! Oleh itu, adalah bijak jika kita menumpukan usaha kita untuk melakukan kehendak Tuhan dan terus ‘berjaga-jaga.’ (Mat. 24:42) Kita tidak akan menyesal sama sekali jika kita berbuat demikian dan kita pasti akan menuai manfaat-manfaat daripada kasih Yehuwa yang setia.—Yes. 63:7.

“Buku Tahunan” 2009 mengandungi kisah-kisah yang menggalakkan dari banyak negara. Kami berharap pengalaman-pengalaman ini akan mendorong anda untuk mengutamakan kepentingan Kerajaan Tuhan dalam kehidupan anda. Yakinlah bahawa anda sentiasa terpahat dalam ingatan kami. Kami sangat mengasihi anda dan sentiasa berdoa untuk anda. Semoga Yehuwa melimpahi anda dengan berkat-berkat-Nya.

Saudara-saudara anda,

Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi