Tunjukkan Kesyukuran terhadap Pemberian Tuhan yang Paling Agung
1. Mengapakah kita amat bersyukur kepada Yehuwa?
1 Antara “pemberian yang baik” daripada Yehuwa, tebusan yang diberi menerusi Anak-Nya ialah pemberian yang agung sekali. (Yak. 1:17) Tebusan ini membolehkan kita menikmati pelbagai berkat, termasuk pengampunan dosa. (Ef. 1:7) Maka, kita sentiasa bersyukur ke atas pemberian ini. Pada musim Peringatan, kita akan meluangkan masa khasnya untuk merenungkan pemberian yang begitu berharga ini.
2. Bagaimanakah kita dapat membantu diri kita dan keluarga agar lebih menghargai tebusan Yesus?
2 Pupuklah Penghargaan: Beberapa minggu sebelum sambutan Peringatan pada 30 Mac, bolehkah anda meluangkan masa sewaktu malam Penyembahan Keluarga untuk mengkaji maklumat tentang tebusan? Dengan ini, anda dapat memupuk penghargaan keluarga anda terhadap pemberian ini. Setiap hari, baca dan bincangkan ayat Bible yang dijadualkan khas untuk Peringatan bersama keluarga anda. Secara peribadi, renungkan bagaimana tebusan Yesus telah membantu anda dan mempengaruhi pandangan anda terhadap Yehuwa, diri sendiri, orang lain, dan masa depan. Anda juga akan mendapat manfaat dengan berlatih menyanyikan dua buah lagu baru yang akan digunakan semasa hari Peringatan, iaitu lagu nombor 5 dan 8.—Mzm. 77:13.
3. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kesyukuran kita?
3 Cara Menunjukkan Kesyukuran: Rasa syukur kita terhadap tebusan mendorong kita untuk memberitahu orang lain tentang Yehuwa dan kasih-Nya yang agung semasa Dia mengutus Anak-Nya ke bumi. (Mzm. 145:2-7) Pada bulan Mac, April, dan Mei, ada keluarga yang menunjukkan kesyukuran mereka dengan mengaturkan agar sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga dapat menjadi perintis sokongan. Jika anda tidak dapat berbuat demikian, bolehkah anda membeli masa untuk bergiat dengan lebih aktif lagi dalam aktiviti penyebaran? (Ef. 5:16) Rasa syukur juga akan mendorong kita untuk membantu orang lain menghadiri Peringatan bersama kita. (Pny. 22:17) Anda boleh mula menyenaraikan kunjungan kembali, pelajar Bible, saudara-mara, rakan sekerja, dan jiran tetangga yang ingin dijemput. Kemudian, berusahalah sebaik yang mungkin dalam kempen mengedarkan surat jemputan bagi sambutan Peringatan.
4. Bagaimanakah kita dapat menggunakan masa pada musim Peringatan dengan bijak?
4 Musim Peringatan memberi kita peluang baru untuk menunjukkan kepada Yehuwa betapa dalamnya penghargaan kita terhadap pemberian-Nya kepada umat manusia. Semoga kita menggunakan masa ini untuk memupuk penghargaan dan menunjukkan kesyukuran kita terhadap tebusan dan “berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus.”—Ef. 3:8.