Sepucuk Surat Daripada Badan Pimpinan
Rakan-rakan sekepercayaan yang dikasihi,
Betapa besarnya penghormatan kita kerana dapat menyandang nama Yehuwa, Pemerintah Alam Semesta yang Berdaulat! Nama ini abadi, sentiasa dikenang, dan tidak tertanding. Yehuwa memberi kita peluang untuk menyandang nama-Nya dan terutamanya sejak tahun 1931, kita telah pun dikenali dengan nama yang begitu istimewa ini. (Yes. 43:10) Kita bangga untuk dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.
Si Iblis tidak henti-henti mencuba memadamkan nama Tuhan. Bangsa-bangsa yang dikuasainya menolak nama Yehuwa. Babilon Besar, empayar agama palsu sedunia, membenci nama Tuhan dan telah menyingkirkannya daripada banyak terjemahan Bible. Sebaliknya, Yesus menjunjung tinggi nama Bapanya. Semasa mengajar muridnya cara berdoa, dia mengutamakan nama Bapanya dengan berkata, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Mat. 6:9, NW) Kemudian, semasa berdoa kepada Bapanya dari lubuk hati, dia berkata, ‘Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepadaku.’ (Yoh. 17:6) Kita ingin mencontohi teladan Yesus, maka kita berazam sepenuh hati untuk menghebahkan nama Yehuwa di seluas bumi.
Ayat tahunan 2009 yang berbunyi “Khabarkan Berita Baik dengan Sepenuhnya” menggalakkan kita untuk menyempurnakan kerja menyebarkan berita baik. (Kis. 20:24) Semestinya Yehuwa telah melimpahkan berkat-Nya ke atas usaha kita pada tahun aktiviti penyebaran yang lalu. Suatu kesaksian yang menyeluruh telah diberikan di seluruh dunia untuk memuliakan dan memartabatkan nama Yehuwa. Kita mempunyai rekod baru untuk angka tertinggi penyiar, iaitu sebanyak 7,313,173 orang yang berganding bahu dalam kerja penyebaran. Mereka juga mengajar orang yang berhati jujur yang sedang mencari penyelesaian kepada banyak masalah yang melanda mereka setiap hari. Sebanyak 18,168,323 orang telah menghadiri sambutan Peringatan kematian Kristus. Hal ini menunjukkan bahawa masih terdapat berjuta-juta orang yang perlu menyeru nama Yehuwa sebelum akhir sistem fasiq ini.
Selagi Yehuwa membenarkannya, kita akan terus mengkhabarkan berita baik Kerajaan Tuhan dengan bersemangat dan menggunakan setiap peluang yang mungkin untuk menghubungi orang dalam kawasan kita. (Mat. 24:14; Mrk. 13:10) Tidak kira sama ada kita memberikan kesaksian dari rumah ke rumah, di tempat awam, menerusi surat atau telefon, atau secara tidak formal, semoga kita berusaha untuk menghebahkan nama Yehuwa dan kehendak-Nya kepada seberapa banyak orang yang mungkin.
Kita mempunyai sebab yang kukuh untuk yakin sepenuhnya bahawa masanya sudah dekat bagi Yehuwa menyucikan nama-Nya. (Yeh. 36:23) Tidak lama lagi, suara-suara yang mengaibkan nama Tuhan akan dibungkam. Betapa gemilangnya masa itu bagi semua hamba Yehuwa yang taat yang telah menghebahkan nama Yehuwa dan menjunjung kedaulatan-Nya sebagai Pemerintah Alam Semesta!
Kasih dan keprihatinan Yehuwa terhadap umat-Nya jelas kelihatan pada Konvensyen Antarabangsa dan Distrik “Berjaga-jagalah!” yang diadakan di hampir seluruh dunia pada tahun 2009. Konvensyen-konvensyen ini menjadi detik penting dalam sejarah teokratik kita dan menggalakkan kita untuk lebih sedar akan pentingnya berjaga-jaga semasa menunggu ketibaan hari Yehuwa.—Mrk. 13:37; 1 Tes. 5:1, 2, 4.
Sememangnya, Yehuwa menjaga kita dengan baik. Dia melimpahi hati kita dengan kegembiraan. Dia membaringkan kita di padang rumput yang hijau dan membimbing kita ke air yang tenang untuk beristirahat.—Mzm. 23:1, 2; 100:2, 5.
Yakinlah bahawa Yehuwa akan terus memberkati anda seraya anda tetap sibuk berkhidmat untuk Kerajaan Tuhan pada bulan-bulan yang akan datang!
Sambutlah salam kasih Kristian kami yang hangat kepada persaudaraan sedunia,
Saudara-saudara anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa