Sifat Terpenting Guru yang Baik
1. Apakah sifat terpenting yang harus dimiliki seorang guru yang baik?
1 Apakah yang membolehkan kita menjadi seorang guru Bible yang baik? Pendidikan? Pengalaman? Bakat semula jadi? Sebenarnya, guru yang baik perlu menunjukkan kasih. Sifat ini menggenapi segenap Taurat, menjadi tanda pengenal pengikut Yesus, dan merupakan sifat Yehuwa yang terutama dan terunggul.—Yoh. 13:35; Gal. 5:14; 1 Yoh. 4:8.
2. Mengapakah kita harus mengasihi orang lain?
2 Mengasihi Orang: Guru Agung, iaitu Yesus memperlihatkan kasih kepada orang dan hal ini menggerakkan mereka untuk mendengarkannya. (Luk. 5:12, 13; Yoh. 13:1; 15:13) Jika kita mengambil berat terhadap orang, kita akan memberikan kesaksian pada setiap kesempatan. Kita tidak akan berputus asa biarpun orang menganiaya kita atau bersikap tidak endah. Kita akan menunjukkan minat yang ikhlas kepada orang dan menyesuaikan penyampaian kita dengan minat mereka. Kita akan meluangkan masa yang secukupnya, bukan sahaja untuk mengajar, tetapi untuk membuat persediaan terlebih dahulu.
3. Bagaimanakah kasih untuk kebenaran Bible membantu kita menginjil?
3 Mengasihi Kebenaran Bible: Yesus juga mencintai kebenaran Bible dan menganggapnya seperti harta karun. (Mat. 13:52) Cinta terhadap kebenaran membolehkan kita bercakap dengan bersemangat, dan hal ini akan mempengaruhi pendengar kita. Kasih sedemikian akan membantu kita bertumpu pada maklumat bernilai yang mahu kita sampaikan dan bukannya pada kelemahan sendiri. Kita pun tidak begitu gentar dalam kerja penyebaran.
4. Bagaimanakah kita dapat memupuk kasih?
4 Pupuklah Kasih: Bagaimanakah kita dapat memupuk kasih untuk orang? Dengan merenungkan kasih Yehuwa dan Yesus serta keperluan rohani orang di sekeliling kita. (Mrk. 6:34; 1 Yoh. 4:10, 11) Pembelajaran peribadi dan perenungan yang tetap akan memperdalam kasih kita terhadap kebenaran Bible. Kasih merupakan satu aspek buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22) Maka kita dapat memohon Yehuwa untuk daya aktif-Nya dan untuk mengembangkan kasih kita. (Luk. 11:13; 1 Yoh. 5:14) Ya, pendidikan, pengalaman, atau bakat tidak menjadi kayu ukur. Sebaliknya, kita boleh menjadi guru Bible yang berkesan jika kita menunjukkan kasih.