Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan
Rakan-rakan Seiman yang Dikasihi,
Kami sungguh berbesar hati untuk menulis kepada saudara saudari sekalian yang kini berjumlah lebih daripada tujuh juta orang. Apabila anda menemui seorang rakan seiman dari negara lain, anda merasai ikatan kasih yang istimewa dengan serta-merta. (Yoh. 13:34, 35) Sudah pasti anda juga akan merasai ikatan kasih ini semasa membaca Buku Tahunan kita, yang menceritakan tentang saudara saudari di negara lain yang menunjukkan iman dan kesetiaan yang menakjubkan.
Laporan di sekitar dunia menunjukkan bahawa ramai antara anda mengadakan program Penyembahan Keluarga secara tetap. Bagi anda yang mempunyai anak kecil, anda telah menggunakan pelbagai cara yang menarik untuk memupuk minat mereka. (Ef. 6:4) Program rohani ini juga mempererat ikatan perkahwinan suami isteri. (Ef. 5:28-33) Sememangnya, program untuk mengkaji Firman Tuhan secara mendalam ini membawa manfaat kepada keluarga dan individu.—Yos. 1:8, 9.
Baru-baru ini, ada antara anda menjadi mangsa bencana alam dan kami turut bersedih atas penderitaan anda. Kami ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana. (Kis. 11:28-30; Gal. 6:9, 10) Tambahan lagi, di setiap sidang ada antara anda yang sedar akan keperluan kebendaan rakan seiman dan mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan. Seperti Dorkas dalam Bible, anda “melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin.” (Kis. 9:36) Sudah pasti Yehuwa melihat perbuatan anda dan akan memberkati anda.—Mat. 6:3, 4.
Di sesetengah negara, hak asasi anda dirampas oleh mereka yang “mengesahkan perkara yang melanggar hukum.” (Mzm. 94:20-22) Anda menghadapi penganiayaan dengan tabah dan berani, serta bergantung pada Yehuwa kerana anda sedar bahawa Yesus telah menubuatkan hal ini. (Yoh. 15:19, 20) Saudara saudari yang dikasihi, yakinlah bahawa kami sentiasa berdoa untuk anda seraya anda terus “memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki.”—1 Ptr. 3:13-15.
Kami memuji anda semua kerana memelihara kebersihan moral tahun demi tahun, meskipun Syaitan tidak berhenti-henti menggunakan cara yang licik untuk menyebarkan perbuatan yang tidak bermoral. Taraf moral dunia semakin jatuh menjunam, namun anda tetap ‘membina kekuatan dengan kuasa Tuhan.’ (Ef. 6:10) Anda telah ‘memakai seluruh perlengkapan senjata daripada Tuhan’ dan berupaya “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat.” (Ef. 6:11, 12) Yehuwa sedang menggunakan contoh anda untuk memberikan jawapan yang jelas kepada Syaitan yang mencela-Nya!—Ams. 27:11.
Kami bersukacita untuk mengetahui bahawa pada tahun 2011, seramai 19,374,737 orang menghadiri Peringatan kematian Tuan kita. Ramai antara anda menyumbang kepada pencapaian yang menggalakkan ini dengan menyahut seruan untuk menjadi perintis sokongan pada bulan April yang lalu. Jutaan orang di seluruh dunia dapat mendengar pujian yang diberikan oleh Saksi-Saksi Yehuwa kepada-Nya! (Rm. 10:18) Tidak kira sama ada anda salah seorang daripada 2,657,377 perintis sokongan pada bulan itu, atau anda telah berusaha untuk meningkatkan aktiviti penyebaran, kami berasa begitu gembira kerana anda melakukannya dengan rela dan penuh semangat.—Mzm. 110:3; Kol. 3:23.
Pada tahun lalu, seramai 263,131 orang melambangkan pembaktian mereka kepada Yehuwa. Kami bersyukur kepada Yehuwa dan mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang menyertai kami untuk memberikan undangan ini: “‘Marilah!’ Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, ‘Marilah!’ Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya!” (Why. 22:17) Selepas mempelajari beberapa aspek Kerajaan Tuhan pada konvensyen distrik 2011, kita dapat berkata dengan lebih bersemangat, “Datanglah Kerajaan Tuhan!” Yesus berkata, “Aku akan segera datang!” Kita digalakkan oleh janjinya lalu bergabung suara dengan rasul Yohanes yang menjawab, ‘Amin! Datanglah, ya Tuan Yesus!’—Why. 22:20.
Saudara saudari yang tersayang, sementara anda berjaga-jaga menantikan peristiwa yang mendebarkan ini, yakinlah bahawa kami benar-benar mengasihi setiap seorang daripada anda yang membuktikan kasih kepada Yehuwa ‘dengan kebenaran dan perbuatan’!—1 Yoh. 3:18, nota kaki.
Saudara-saudara anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa
[Jadual]
LAPORAN TAHUNAN AKTIVITI PENYEBARAN 2011 BAGI SAKSI-SAKSI YEHUWA DI SERATA DUNIA
(Lihat bahan bacaan untuk sisipan yang berasingan)