Lima Cara Mencari Pelajar Bible
1. Jika kita sukar mencari orang yang berminat mempelajari Bible, apakah yang patut dilakukan? Mengapa?
1 Adakah anda sukar mencari orang yang berminat mempelajari Bible? Jangan putus asa. Yehuwa memberkati mereka yang tidak berhenti melakukan kehendak-Nya. (Gal. 6:9) Lima cadangan berikut dapat membantu.
2. Bagaimanakah kita boleh memulakan pembelajaran Bible dengan menggunakan pendekatan langsung?
2 Pendekatan Langsung: Ramai tahu bahawa kita menawarkan majalah dan brosur tetapi mungkin tidak tahu bahawa kita juga menawarkan pembelajaran Bible. Bolehkah anda mencuba menggunakan pendekatan langsung semasa menginjil dari rumah ke rumah atau semasa mengunjungi semula orang yang berminat? Jika mereka menolak, anda boleh terus memupuk minat mereka dengan meninggalkan bahan bacaan. Seorang saudara bertahun-tahun mengunjungi sepasang suami isteri semasa membuat litar majalah. Selepas meninggalkan majalah terkini, dia bertanya kepada mereka sebelum beredar, “Adakah anda mahu belajar Bible?” Tanpa diduga, mereka bersetuju dan kini sudah dibaptis.
3. Patutkah kita membuat andaian bahawa hadirin perjumpaan sedang mempelajari Bible? Jelaskan.
3 Hadirin Perjumpaan: Jangan buat andaian bahawa orang yang selalu datang ke perjumpaan sedang mempelajari Bible. Seorang saudara berkata, “Lebih separuh daripada pelajar saya merupakan hadirin perjumpaan.” Seorang saudari mula bertegur sapa dengan seorang wanita yang pemalu. Anak-anak wanita ini ialah saudari terbaptis dari sidang yang sama. Wanita ini telah menghadiri perjumpaan selama kira-kira 15 tahun dan selalu datang sejurus sebelum perjumpaan bermula dan pulang sebaik sahaja perjumpaan tamat. Dia bersetuju mempelajari Bible dan akhirnya memeluk kebenaran. Saudari kita menulis, “Saya menyesal kerana menunggu 15 tahun sebelum menawarkannya pembelajaran Bible.”
4. Bagaimanakah kita boleh mencari pelajar Bible menerusi orang rujukan?
4 Orang Rujukan: Seorang saudari selalu mengikut penyiar lain ke pembelajaran Bible mereka. Dia meminta izin mereka untuk menanya pelajar di akhir pembelajaran sama ada dia kenal orang lain yang mahu belajar Bible. Semasa menawarkan buku Ajaran Bible kepada kunjungan kembali, anda boleh tanya, “Adakah anda kenal sesiapa yang berminat membaca buku ini?” Adakala, situasi sesetengah penyiar atau perintis menyebabkan mereka tidak dapat mempelajari Bible dengan orang yang berminat. Jadi, maklumkanlah mereka bahawa anda bersedia mengendalikan pembelajaran Bible itu.
5. Mengapakah kita boleh menanya pasangan bukan saksi sama ada mereka mahu belajar Bible?
5 Pasangan Bukan Saksi: Adakah anda mengenal penyiar dalam sidang anda yang mempunyai pasangan tidak seiman? Ada suami atau isteri yang tidak suka bercakap tentang Bible dengan pasangan Kristian mereka tetapi sudi mempelajari Bible dengan orang lain. Berbincanglah dengan pasangan Kristian mereka terlebih dahulu bagi menentukan pendekatan yang terbaik.
6. Seberapa pentingkah doa semasa berusaha mencari pembelajaran Bible?
6 Doa: Jangan meremehkan kuasa doa. (Yak. 5:16) Yehuwa berjanji mendengar permohonan kita jika sesuai dengan kehendak-Nya. (1 Yoh. 5:14) Seorang saudara yang sangat sibuk berdoa untuk mencari pelajar Bible. Isterinya tertanya-tanya sama ada dia mempunyai masa untuk mengendalikan pembelajaran itu, khasnya jika pelajar ada masalah. Jadi dia meluahkan kekhuatirannya kepada Yehuwa semasa berdoa bagi suaminya. Kira-kira dua minggu kemudian, doa mereka dijawab semasa seorang perintis dalam sidang menjumpai lelaki yang ingin belajar dan menyerahkannya kepada saudara itu. Isteri menulis, “Bagi sesiapa yang berasa bahawa mereka tidak berupaya mengadakan pembelajaran Bible, saya syorkan: Berdoalah secara spesifik dan teruslah berdoa. Kami meraih sukacita yang tidak terbayangkan.” Dengan bertekun, anda juga boleh mencari pelajar Bible dan menikmati sukacita kerana membantunya menempuh “jalan yang menghala ke hidup sejati.”—Mat. 7:13, 14.