Tingkatkan Kemahiran Aktiviti Penyebaran—Menjawab Penghalang Perbualan yang Mungkin Timbul
Mengapa Penting: Bayangkan anda tahu suatu bencana alam akan berlaku. Orang akan mati jika tidak melarikan diri ke tempat yang selamat. Anda pergi ke rumah jiran untuk memberi amaran, tetapi dia mencelah dan kata bahawa dia sibuk. Anda tentu tidak akan terus berputus asa untuk membantunya! Ramai di kawasan penyebaran kita tidak mahu mendengar kerana tidak menyedari kepentingan mesej yang membawa penyelamatan. Semasa dikunjungi, mereka mungkin sibuk. (Mat. 24:37-39) Atau mereka berprasangka disebabkan cerita yang tidak benar. (Mat. 11:18, 19) Mereka mungkin anggap kita seperti agama lain yang menghasilkan perbuatan buruk. (2 Ptr. 2:1, 2) Jika penghuni rumah pada mulanya tidak berminat, janganlah cepat putus asa.
Caranya:
• Sebelum menginjil dari rumah ke rumah, luangkan masa untuk memikirkan penghalang perbualan yang mungkin timbul dan cara untuk menjawab.
• Jika penghuni rumah menolak berita yang kita sampaikan, cubalah beri pujian dengan ramah agar dapat meneruskan perbualan. Contohnya, jika dia kata bahawa dia ada agama sendiri, anda boleh jawab, “Saya sedang mencari orang seperti anda yang berminat dalam hal-hal rohani.” Kadangkala dengan menghormati perasaan atau keadaan penghuni rumah, anda dapat terus memberi kesaksian. Misalnya, jika dia kata dia sibuk, anda boleh jawab, “Saya faham. Sebelum saya beredar, saya ingin berikan ini kepada anda.” Atau jika penghuni rumah kata bahawa dia tidak berminat, anda boleh tanya soalan seperti, “Adakah anda tidak berminat terhadap Bible atau anda tidak berminat terhadap agama secara umumnya?”
• Gunakan pertimbangan yang baik. Ingatlah bahawa Yehuwa tidak memaksa orang untuk mendengar. (Ul. 30:19) Setiap orang harus memikul tanggungjawab rohani sendiri. (Gal. 6:5) Jika penghuni rumah berkeras dengan pendiriannya, adalah baik untuk beredar. Dengan menghormati perasaannya, kita mungkin membuka peluang bagi penyiar lain untuk memberikan kesaksian di masa depan.—1 Ptr. 3:15.
Cubalah Bulan Ini:
• Selepas meninggalkan penghuni rumah yang mengajukan penghalang perbualan, bincang dengan teman menginjil cara anda boleh menjawab penghalang perbualan tersebut dengan lebih baik.