Mengadakan Pembelajaran Bible yang Berkesan
1. Apakah tanggungjawab seorang penyiar?
1 Yehuwa “memimpin” orang untuk datang menyembah-Nya. (Yoh. 6:44) Walaupun demikian, para penyiar bertanggungjawab membantu pelajar mereka untuk menghampiri Bapa di syurga. (Yak. 4:8) Hal ini memerlukan persiapan yang rapi. Sekadar membaca perenggan dan menanya soalan yang dicetak tidak mencukupi.
2. Bagaimanakah pembelajaran Bible yang berkesan dapat membantu pelajar Bible kita?
2 Untuk mengadakan pembelajaran Bible yang berkesan, seorang penyiar harus membantu pelajar Bible untuk (1) memahami, (2) menerima, dan (3) menerapkan ajaran Bible. (Yoh. 3:16; 17:3; Yak. 2:26) Hal ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan. Namun, setiap langkah yang diambil oleh pelajar Bible membuktikan bahawa hubungannya dengan Yehuwa semakin rapat dan dia sedang membuat kemajuan untuk membaktikan diri kepada-Nya.
3. Mengapakah guru yang mahir menanya soalan yang sesuai?
3 Apakah yang Difikirkan oleh Pelajar Bible?: Untuk mengetahui jika pelajar Bible benar-benar memahami dan menerima apa yang dipelajarinya, kita tidak perlu banyak bercakap. Sebaliknya, kita ingin menggalakkannya untuk meluahkan isi hati. (Yak. 1:19) Adakah dia memahami ajaran Bible yang dibincangkan? Dapatkah dia menggunakan kata-kata sendiri untuk menerangkan apa yang dipelajarinya? Apakah pandangannya mengenai perkara yang dipelajarinya? Adakah dia percaya bahawa ajaran Bible masuk akal? (1 Tes. 2:13) Adakah dia sedar bahawa apa yang dipelajarinya harus mempengaruhi gaya hidupnya? (Kol. 3:10) Maka, kita perlu menanya soalan yang sesuai agar dapat mengetahui fikirannya. Kemudian kita perlu mendengar dengan teliti.—Mat. 16:13-16.
4. Apakah yang harus dilakukan jika pelajar Bible berasa susah untuk memahami atau menerapkan apa yang dipelajarinya?
4 Memang susah bagi seseorang untuk mengubah tabiat dan cara pemikirannya. (2 Kor. 10:5) Jadi, kita perlu bersabar jika pelajar Bible tidak menerima atau tidak menerapkan apa yang dipelajarinya. Dia mungkin memerlukan masa agar Bible dan daya aktif Tuhan dapat menyentuh hatinya. (1 Kor. 3:6, 7; Ibr. 4:12) Sekiranya dia berasa susah untuk memahami atau menerapkan sesetengah ajaran Bible, adalah baik untuk belajar subjek yang lain dahulu. Jika kita mengajarnya dengan sabar dan penuh kasih, dia akan tergerak untuk membuat perubahan.