Pertanyaan Pembaca
Penulis Amsal 30:18, 19 kata bahawa dia tidak dapat mengerti “tingkah laku seorang lelaki semasa bersama dengan seorang gadis.” Apakah maksudnya?
Ramai orang tertanya-tanya tentang maksud ayat ini, termasuk sesetengah pakar Bible. Dalam Terjemahan Dunia Baharu, keseluruhan ayat ini berbunyi, “Ada tiga perkara yang tidak dapat aku mengerti [atau, “yang terlalu menakjubkan bagiku,” nota kaki], ada empat perkara yang tidak dapat aku fahami: Burung helang yang terbang di langit, ular yang menjalar di atas batu, kapal yang belayar di tengah laut, dan tingkah laku seorang lelaki semasa bersama dengan seorang gadis.”—Ams. 30:18, 19.
Sebelum ini, kita fikir bahawa frasa “tingkah laku seorang lelaki semasa bersama dengan seorang gadis” mempunyai maksud yang negatif. Mengapa? Kerana ayat-ayat lain dalam bab ini menyebut tentang hal-hal negatif yang tidak pernah puas dan tidak pernah berkata, “Cukuplah.” (Ams. 30:15, 16) Ayat 20 juga menyebut tentang “perempuan yang berzina” yang kata bahawa dia tidak berbuat apa-apa yang salah. Maka, kita fikir bahawa ayat ini merujuk kepada hal-hal yang berlaku tanpa diketahui orang lain. Sepertimana burung helang yang terbang di langit, ular yang menjalar di atas batu, atau kapal yang belayar di tengah laut berlaku tanpa disedari orang lain, seorang lelaki mungkin melakukan sesuatu tanpa diketahui orang lain. Jadi, kita menyimpulkan bahawa “tingkah laku seorang lelaki semasa bersama dengan seorang gadis” merujuk kepada sesuatu yang buruk, iaitu seorang pemuda yang licik cuba menggoda seorang gadis yang naif tanpa disedari gadis itu.
Namun, terdapat sebab yang baik untuk menyimpulkan bahawa ayat ini mempunyai maksud yang positif. Sebenarnya, penulis buku Amsal sedang merujuk kepada hal-hal yang membuatnya berasa kagum.
Dalam bahasa Ibrani asal, ayat ini merujuk kepada sesuatu yang baik. Menurut sebuah kamus Kitab Ibrani, ungkapan “tidak dapat aku mengerti” di Amsal 30:18 “merujuk kepada suatu peristiwa yang membuat seseorang . . . fikir hal itu luar biasa dan nampaknya mustahil dilakukan.”
Profesor Crawford H. Toy dari Harvard University di Amerika Syarikat juga membuat kesimpulan bahawa ayat ini tidak merujuk kepada hal yang negatif. Dia berkata, “Penulis buku Amsal sedang menggambarkan hal-hal yang menakjubkan.”
Jadi, memang masuk akal bahawa kata-kata di Amsal 30:18, 19 merujuk kepada hal-hal yang mengagumkan yang tidak dapat kita fahami. Seperti penulis Bible, kita terpesona dengan bagaimana burung helang dapat terbang tinggi di langit, bagaimana ular yang tidak berkaki dapat menjalar di atas batu, bagaimana kapal yang berat dapat belayar di tengah laut, dan bagaimana seorang pemuda dan seorang gadis dapat jatuh cinta dan hidup bahagia.