Dipenjarakan kerana Iman Mereka—Korea Selatan
Pada 26 Oktober 2020, satu keputusan bersejarah telah diumumkan di Korea Selatan. Kerajaan Korea Selatan membenarkan individu yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani untuk melakukan khidmat awam alternatif (ACS). Namun, pihak berkuasa hak asasi manusia mengatakan bahawa program ACS ini bersifat hukuman dan tidak adil. Program ACS berlanjutan selama 36 bulan, iaitu dua kali ganda tempohnya berbanding khidmat tentera. Menurut piawaian antarabangsa, tempoh khidmat alternatif tidak harus melebihi tempoh khidmat tentera sebanyak satu kali setengah. Hal ini hanya diizinkan sekiranya terdapat sebab yang munasabah dan yang tidak dipengaruhi oleh pandangan yang prejudis. Beberapa Saksi-Saksi Yehuwa di Korea Selatan tidak menerima khidmat awam alternatif. Beberapa antara mereka telah membawa kes mereka ke mahkamah. Pada 30 Mei 2024, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan telah membuat keputusan yang tidak berpihak kepada para Saksi. Sebanyak lima daripada sembilan hakim bersetuju untuk menolak permohonan mereka. Maka, semua aduan yang dikemukakan telah ditolak. Walaupun demikian, mahkamah bersetuju bahawa program ACS tersebut sememangnya bersifat hukuman dengan pernyataan ini: “Khidmat alternatif ini menyekat hak kebebasan hati nurani. Ini juga seperti suatu bentuk hukuman terhadap seseorang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nuraninya.”
Byeon Woo-jin yang berumur 29 tahun dan sudah berumah tangga telah ditawarkan program ACS setelah menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Namun, dia telah menolak tawaran itu dengan hormat. Dia menyatakan hasratnya untuk menjalankan khidmat alternatif yang tidak bersifat hukuman. Walaupun demikian, pada 24 Julai 2024, dia dijatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan. Dia merupakan orang pertama di Korea Selatan yang dipenjarakan kerana menolak khidmat alternatif.
Setakat ini, 14 Saksi lelaki telah menolak program ACS, termasuk Byeon Woo-jin. Sebanyak 11 orang daripada mereka juga terlibat dalam perbicaraan kes mahkamah. Bergantung pada keputusan mahkamah, mereka mungkin dikenakan hukuman tertentu atau dipenjarakan. Tetapi, kebanyakan individu yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani memutuskan untuk menjalankan program ACS meskipun bersifat hukuman.
Garis Masa
24 Julai 2024
Byeon Woo-jin dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana menolak khidmat alternatif.
10 November 2022
Byeon Woo-jin mendapat surat untuk mendaftarkan diri bagi khidmat tentera. Kemudian, dia menulis kepada Pejabat Pentadbiran Anggota Tentera untuk menyatakan hasratnya. Dia ingin menolak khidmat tentera dan khidmat awam alternatif atas dasar hati nuraninya.
26 Oktober 2020
Kerajaan Korea Selatan memulakan khidmat awam alternatif untuk individu yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
1 November 2018
Mahkamah Agung Korea Selatan membuat keputusan yang bersejarah. Sebanyak 9 daripada 13 hakim menyatakan bahawa keputusan untuk menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani bukannya suatu jenayah.
28 Jun 2018
Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan menyatakan bahawa satu seksyen Akta Perkhidmatan Tentera adalah bertentangan dengan undang-undang negara. Hal ini kerana tiada program khidmat awam alternatif yang disediakan untuk individu yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
18 Oktober 2016
Mahkamah Rayuan Gwangju buat kali pertama menyatakan keputusan tidak bersalah bagi ketiga-tiga Saksi yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
30 Ogos 2011
Mahkamah Perlembagaan sekali lagi mengesahkan bahawa adalah sah di sisi undang-undang untuk menghukum orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
26 Ogos 2004
Mahkamah Perlembagaan mengesahkan bahawa adalah sah di sisi undang-undang untuk menghukum orang yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.
1975
Kerajaan mewajibkan khidmat tentera dan tidak mengizinkan sesiapa pun menolaknya atas sebarang alasan.
1973
Kerajaan menyeksa Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan. Situasi ini berterusan sehingga sekitar tahun 1995.
1953
Kerajaan memenjarakan Saksi pertama yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani.