PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • g16 No. 6 ms. 10-11
  • Desiderius Erasmus

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Desiderius Erasmus
  • Sedarlah!—2016
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • KAJIAN DAN KEPERCAYAAN
  • PERJANJIAN BAHARU DALAM BAHASA GREEK
  • Kandungan
    Sedarlah!—2016
Sedarlah!—2016
g16 No. 6 ms. 10-11

TOKOH PENTING DALAM SEJARAH

Desiderius Erasmus

Desiderius Erasmus

PADA zamannya, Desiderius Erasmus (kira-kira tahun 1469-1536) pernah dianggap sebagai cendekiawan yang paling cerdik di Eropah, tetapi dia kemudiannya dipandang sebagai penakut dan penyebar ajaran sesat. Sewaktu isu agama hangat diperdebatkan, dia berani mendedahkan kesalahan dan penyalahgunaan kuasa dalam gereja Katolik dan dalam kalangan para penyokong reformasi gereja. Kini, dia diakui sebagai tokoh penting yang menyumbang kepada perubahan agama di Eropah. Apakah sumbangannya?

KAJIAN DAN KEPERCAYAAN

Erasmus fasih dalam bahasa Greek dan bahasa Latin. Oleh itu, dia dapat membandingkan terjemahan-terjemahan Bible bahasa Latin, seperti Vulgate bahasa Latin, dengan naskhah kuno Kitab Yunani Kristian, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Baharu. Erasmus yakin bahawa semua orang perlu mengetahui ajaran Bible. Maka dia berpendapat bahawa Kitab Suci harus diterjemahkan ke dalam bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Erasmus mengesyorkan pembaharuan dalam gereja Katolik, kerana dia percaya bahawa ajaran agama Kristian bukan sekadar upacara, tetapi patut membimbing cara hidup orang. Akibatnya, apabila orang mula menuntut reformasi atau pembaharuan dalam Gereja Rom, Erasmus menjadi suspek utama pihak gereja.

Erasmus berani mendedahkan kesalahan dan penyalahgunaan kuasa dalam gereja Katolik dan dalam kalangan para penyokong reformasi gereja

Dalam tulisannya, Erasmus mendedahkan penyalahgunaan kuasa pemimpin gereja, mengkritik gaya hidup mereka yang mewah, dan mengecam paus yang menyokong peperangan. Dia membantah tindakan para pemimpin gereja yang memperalatkan adat istiadat gereja seperti pengakuan dosa, pemujaan santo, puasa, dan perjalanan melawat tempat suci, untuk mengaut keuntungan. Erasmus juga menentang amalan gereja yang menjual surat pengampunan dosa dan melarang anggota gereja yang berpangkat daripada berkahwin.

PERJANJIAN BAHARU DALAM BAHASA GREEK

Pada tahun 1516, Erasmus menerbitkan edisi pertama Perjanjian Baharu dalam bahasa Greek, iaitu Kitab Yunani Kristian pertama yang pernah diterbitkan dalam sejarah. Edisi itu juga mengandungi catatan tambahan dan Perjanjian Baharu bahasa Latin terjemahan Erasmus, yang agak berbeza daripada Vulgate. Selepas itu, Erasmus mengemaskinikan terjemahannya lalu terhasillah edisi yang sangat berbeza daripada Vulgate.

Perjanjian Baharu bahasa Greek yang diterbitkan Erasmus

Perjanjian Baharu bahasa Greek yang diterbitkan Erasmus

Salah satu perbezaannya terdapat di 1 Yohanes 5:7. Dalam Vulgate, terdapat satu ayat yang dipanggil comma Johanneum, yang ditambahkan untuk menyokong ajaran Tritunggal. Ayat itu berbunyi, “Di syurga, terdapat Bapa, Firman, dan Roh Kudus. Ketiga-tiganya ialah satu.” Namun, Erasmus tidak memasukkan ayat itu dalam edisinya yang pertama dan kedua, kerana naskhah-naskhah Yunani yang dikajinya tidak mengandungi ayat itu. Tetapi pihak gereja memaksanya untuk memasukkan semula ayat itu dalam edisinya yang ketiga.

Perjanjian Baharu bahasa Greek yang diterbitkan oleh Erasmus telah menjadi dasar untuk menghasilkan terjemahan Kitab Yunani yang lebih baik dalam bahasa-bahasa Eropah. Martin Luther, William Tyndale, Antonio Brucioli, dan Francisco de Enzinas, telah menggunakan hasil kerja Erasmus untuk menterjemahkan Kitab Yunani ke dalam bahasa Jerman, Inggeris, Itali, dan Sepanyol.

Erasmus hidup pada masa pergolakan agama, dan para penyokong Reformasi Protestan menganggap Perjanjian Baharu bahasa Greek yang diterbitkannya sangat bernilai. Sesetengah orang menganggap bahawa Erasmus juga menyokong reformasi agama. Namun, semasa perdebatan hangat tentang agama tercetus, Erasmus enggan menyebelahi mana-mana pihak. Yang menariknya, lebih daripada 100 tahun yang lalu, seorang cendekiawan yang bernama David Schaff menulis bahawa Erasmus “meninggal tanpa diakui oleh mana-mana agama. Gereja Katolik tidak mengakuinya sebagai anggota gereja; pihak Protestan juga tidak menerimanya.”

FAKTA RINGKAS

  • Pada tahun 1516, Erasmus menerbitkan Perjanjian Baharu dalam bahasa Greek. Dalam edisi itu, teks bahasa Greek dan teks bahasa Latin disusun bersebelahan, dan terdapat juga banyak catatan tambahan.

  • Dalam prakata Perjanjian Baharu yang diterbitkannya, Erasmus menulis, “Saya menentang habis-habisan mereka yang melarang orang biasa membaca Kitab Suci, atau mereka yang tidak membenarkan Kitab Suci diterjemahkan ke dalam bahasa kebanyakan orang.”

  • Buku-bukunya dibakar oleh para pengkritiknya di sesetengah negara Eropah. Selama bertahun-tahun, buku-bukunya juga disenaraikan dalam bahan bacaan yang diharamkan oleh para paus di Rom.

Seorang Selebriti Antarabangsa

Erasmus sesungguhnya cendekiawan yang sangat terkemuka. Dia pernah tinggal dan bekerja di beberapa buah negara Eropah, dan mempunyai sahabat daripada golongan bangsawan dan orang yang berpengaruh di banyak universiti. Cendekiawan dari banyak negara meminta nasihatnya, dan hasil tulisannya dibaca dan dihargai secara meluas. Hal-hal itu membuatnya menjadi begitu terkenal sehingga untuk suatu tempoh masa, tidak kira ke mana dia pergi, dia disambut dengan meriah oleh para tokoh politik, pemimpin agama, dan cendekiawan. Seorang penulis zaman moden memandangnya sebagai “tokoh terkenal masa lalu yang kemasyhurannya setaraf dengan selebriti antarabangsa masa kini.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi