BANTUAN UNTUK ORANG YANG BERKABUNG
Pengalaman yang Mendukacitakan
“Sophiaa dan saya sudah berkahwin untuk lebih daripada 39 tahun apabila dia meninggal akibat penyakit. Kawan-kawan saya memberi saya banyak sokongan, dan saya sibuk melakukan pelbagai kegiatan. Tetapi selama setahun, hati saya terasa seperti dihiris. Emosi saya akan naik turun seperti gelora laut. Kini, tiga tahun selepas kematiannya, rasa pilu akan timbul secara tiba-tiba dan menusuk jauh ke dalam hati saya.”—Kostas.
Pernahkah maut merampas orang tersayang anda? Jika ya, anda mungkin dapat memahami perasaan Kostas. Para penyelidik setuju bahawa kematian teman hidup, saudara-mara, atau kawan karib, merupakan antara peristiwa yang paling menyedihkan. Sebuah rencana dalam The American Journal of Psychiatry menyatakan bahawa “kematian merupakan kehilangan yang kekal dan membawa kepedihan yang mendalam.” Maka, mereka yang kehilangan orang tersayang mungkin berfikir, “Sampai bilakah perasaan sebegini akan menghantui saya? Mungkinkah saya akan bahagia lagi? Bagaimanakah saya dapat menemui kelegaan?”
Soalan-soalan itu akan dijawab dalam majalah ini. Rencana berikutnya akan membincangkan hal-hal yang mungkin berlaku sekiranya anda baru sahaja kehilangan orang tersayang. Rencana-rencana selepas itu akan menyatakan sesetengah cara untuk mengurangkan kesedihan anda.
Kami berharap agar maklumat yang disajikan itu dapat membawa kelegaan dan bantuan yang praktikal kepada mereka yang berkabung.
a Sesetengah nama dalam siri rencana ini telah diubah.