DAPATKAH BUMI KITA DISELAMATKAN?
UDARA
KITA memerlukan udara, tetapi bukan sahaja untuk bernafas. Udara melindungi bumi kita daripada kebanyakan sinaran matahari yang berbahaya. Tanpa udara, suhu di seluas dunia akan menjadi lebih sejuk daripada tahap beku.
Udara Kita Terancam
Pencemaran udara boleh mengancam kehidupan di bumi. Hanya satu peratus daripada jumlah penduduk di bumi yang mempunyai udara bersih menurut garis panduan keselamatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pencemaran udara boleh menyebabkan penyakit pernafasan, kanser paru-paru, penyakit kardiovaskular, dan menyebabkan kira-kira 7,000,000 kematian setiap tahun.
Bumi—Direka supaya Terus Membekalkan Udara yang Bersih
Bumi kita memiliki kebolehan semula jadi untuk mengekalkan bekalan udara yang bersih untuk setiap kehidupan. Proses semula jadi ini sangat berkesan jika manusia mengehadkan kadar pencemaran. Perhatikan contoh-contoh berikut:
Banyak orang tahu bahawa pokok-pokok boleh menyerap karbon dioksida. Tetapi tidak banyak orang tahu bahawa hutan bakau di persisiran pantai boleh menyerap karbon dioksida dengan lebih baik. Hutan bakau dapat menyerap lima kali ganda karbon dioksida berbanding hutan tropika.
Kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa sesetengah alga yang besar seperti kelp, bukan sahaja dapat memerangkap karbon dioksida, tetapi juga dapat menyingkirkannya daripada atmosfera. Bilah kelp, yang kelihatan seperti daun, mempunyai pundi-pundi yang penuh dengan gas dan dapat terapung jauh dari pantai. Kemudian, pundi itu akan meletup, dan kelp yang telah menyerap karbon dioksida itu akan tenggelam ke dasar laut dan terkubur di situ untuk berabad-abad.
Kebolehan atmosfera kita untuk pulih daripada tahap pencemaran yang teruk terbukti semasa COVID-19 berlaku. Pada tahun 2020, apabila perintah berkurung dikeluarkan, kebanyakan kilang dan kenderaan di dunia tidak mengeluarkan pencemaran dan kualiti udara cepat bertambah baik. Menurut “2020 World Air Quality Report,” lebih daripada 80 peratus negara yang dikaji didapati mempunyai udara yang lebih bersih tidak lama selepas perintah berkurung dikuatkuasakan.
Usaha Manusia untuk Menjaga Udara
Menggunakan basikal dapat mengurangkan pencemaran udara.
Pihak kerajaan terus menggesa banyak industri supaya mengurangkan pencemaran udara. Selain itu, ahli sains terus mencari cara baharu untuk mengurangkan kesan pencemaran. Sebagai contoh, mereka menjumpai satu proses yang menggunakan mikrob untuk mengubah bahan pencemaran menjadi bahan yang tidak toksik. Tambahan juga, para pakar menasihati orang untuk berjalan atau berbasikal dan kurang memandu serta mengurangkan penggunaan tenaga di rumah.
Banyak orang masih tidak mempunyai peralatan memasak yang moden yang disediakan oleh sesetengah kerajaan untuk mengurangkan pencemaran udara
Tetapi itu tidak cukup. Hal ini jelas kelihatan daripada laporan pada tahun 2022 yang dihasilkan oleh agensi-agensi antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan World Bank.
Laporan itu menyatakan bahawa pada tahun 2020, satu per tiga daripada penduduk dunia bergantung pada bahan api dan teknologi yang mencemarkan udara semasa memasak. Mereka tidak mampu membeli peralatan memasak yang baharu atau menggunakan bahan api alternatif.
Mengapa Bumi Masih Ada Harapan—Bible kata:
“Yehuwa ialah Tuhan Yang Agung, yang menciptakan dan membentangkan langit. Dia membentuk bumi serta segala sesuatu di bumi. Dia memberikan nafas kehidupan kepada manusia di bumi.”—Yesaya 42:5.
Tuhan menciptakan udara dan kitaran semula jadi yang membersihkan udara. Tuhan juga mempunyai kuasa yang tidak terbatas dan kasih yang besar untuk manusia. Maka, adalah munasabah untuk percaya bahawa Tuhan tidak akan membiarkan pencemaran udara untuk membinasakan kita. Lihat rencana “Tuhan Berjanji Bumi Kita Akan Selamat.”