BAB 15
Yesus “Menegakkan Keadilan di Bumi”
1, 2. Apakah yang membuat Yesus menjadi sangat marah? Mengapa?
YESUS sangat marah, dan dia mempunyai sebab yang baik untuk berasa sedemikian. Mungkin susah bagi anda untuk membayangkan lelaki yang lemah lembut ini naik berang. (Matius 21:5) Sebenarnya Yesus sedang mencerminkan perasaan Yehuwa.a Tetapi apakah yang membuat Yesus marah?
2 Yesus amat mengasihi Rumah Tuhan kerana di seluruh dunia, itulah satu-satunya tempat yang dikhaskan untuk menyembah Yehuwa. Orang Yahudi dari pelbagai tempat datang ke situ untuk beribadat, dan bahkan orang bukan Yahudi juga datang ke situ untuk menyembah Tuhan. Tetapi apabila Yesus memasuki rumah itu, dia ternampak sesuatu yang mengejutkan. Rumah Tuhan telah menjadi seperti pasar yang sesak dengan penjual dan penukar wang! Para peniaga itu bukan sahaja tidak jujur, mereka bahkan juga mengambil kesempatan atas orang yang datang untuk beribadat.—Yohanes 2:14.
3, 4. Bagaimanakah orang yang mahu beribadat di Rumah Tuhan ditipu? Apakah yang dilakukan oleh Yesus?
3 Para pemimpin agama telah menetapkan bahawa cukai Rumah Tuhan hanya boleh dibayar dengan sejenis wang syiling yang khas. Maka orang perlu menukar wang mereka untuk mendapatkan wang syiling itu. Oleh itu, para penukar wang meletakkan meja mereka di dalam Rumah Tuhan dan mengenakan bayaran bagi setiap urus niaga. Selain itu, para peniaga juga menjual binatang dengan harga yang tinggi. Orang yang ingin mempersembahkan korban boleh membeli binatang daripada mana-mana penjual di kota Yerusalem, tetapi pegawai di Rumah Tuhan akan menolak binatang itu kerana menganggapnya tidak sesuai. Namun semua binatang yang dibeli di dalam Rumah Tuhan pasti akan diterima. Oleh itu, biarpun harganya sangat mahal, orang ramai terpaksa membelinya.b Betapa kejinya perbuatan sedemikian!
4 Yesus marah melihat ketidakadilan yang berlaku di rumah Bapanya. Maka dia membuat cemeti daripada tali dan mengusir biri-biri dan lembu keluar dari situ. Kemudian dia menterbalikkan meja para penukar wang. Bayangkan duit syiling mereka berhamburan di lantai marmar di situ! Selepas itu, dia berkata dengan tegas kepada penjual burung merpati, “Bawa keluar semua benda ini!”—Yohanes 2:15, 16.
“Bawa keluar semua benda ini!”
Anak yang Meniru Teladan Bapanya
5-7. (a) Mengapakah Yesus dapat mencerminkan keadilan Yehuwa? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladannya? (b) Apakah yang telah dilakukan oleh Yesus untuk menentang ketidakadilan yang disebabkan oleh Syaitan, dan bagaimanakah dia akan berbuat demikian pada masa depan?
5 Sekitar tiga tahun kemudian, Yesus nampak hal itu terjadi sekali lagi di Rumah Tuhan. Seperti Bapanya, dia mengutuk orang yang menjadikan Rumah Tuhan sebagai “sarang perompak.” (Yeremia 7:11; Matius 21:13) Ya, seperti Bapanya, Yesus berasa marah semasa melihat orang ramai ditindas dan Rumah Tuhan dicemari. Hal itu tidak menghairankan kerana selama jutaan tahun, Yehuwa telah mengajar Yesus tentang keadilan sehingga keadilan Yehuwa menjadi sebati dengan diri Yesus. Ya, bagaimana bapa, begitulah anaknya. Maka jika kita ingin mendapat gambaran yang jelas tentang keadilan Yehuwa, cara terbaik adalah dengan meneliti teladan Yesus.—Yohanes 14:9, 10.
6 Yesus hadir semasa Syaitan mempersoalkan kedaulatan Yehuwa dan memfitnah-Nya dengan memanggil-Nya pendusta. Dia juga mengetahui bagaimana Syaitan mempersoalkan niat semua orang yang menyembah Yehuwa. Tuduhan-tuduhan palsu itu pasti menyakiti hati Yesus! Sudah pasti Yesus sangat gembira semasa dia tahu bahawa dia akan memainkan peranan yang penting dalam penyelesaian isu-isu yang diungkit oleh Syaitan.—2 Korintus 1:20.
7 Seperti yang dibincangkan di Bab 14, Yesus menyangkal tuduhan Syaitan dan membuktikan bahawa manusia dapat tetap setia kepada Yehuwa. Dengan demikian, dia meletakkan asas untuk membersihkan nama Tuhan yang suci, Yehuwa, daripada segala fitnah, termasuk daripada dusta bahawa pemerintahan-Nya tidak baik. Sebagai Pemimpin Utama, Yesus akan menegakkan keadilan di seluruh alam semesta. (Kisah 5:31) Haluan hidup Yesus di bumi juga mencerminkan keadilan Tuhan. Yehuwa berfirman tentangnya, “Aku akan mengurniakan kuasa suci-Ku kepadanya, dan dia akan menyingkapkan erti keadilan kepada bangsa-bangsa.”—Matius 12:18.
Yesus Menyingkapkan “Erti Keadilan”
8-10. (a) Bagaimanakah hukum lisan para pemimpin agama Yahudi menggalakkan orang untuk memandang hina terhadap orang bukan Yahudi dan kaum wanita? (b) Bagaimanakah orang Farisi membuat hukum Sabat menjadi suatu beban yang berat?
8 Yesus mengasihi Hukum Yehuwa dan hidup selaras dengannya. Tetapi para pemimpin agama memutarbelitkan Hukum Tuhan. Yesus berkata kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu, jurutulis hukum dan orang Farisi! Kamu orang yang bermuka dua! Kamu tidak mempedulikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum, iaitu keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan.’ (Matius 23:23) Mereka tidak mengajar orang “erti keadilan.” Sebaliknya, mereka membuat orang menjadi buta terhadap keadilan Tuhan. Perhatikanlah contoh-contoh berikut.
9 Yehuwa memerintahkan umat-Nya agar tidak bergaul dengan bangsa-bangsa kafir di sekeliling mereka. (1 Raja-Raja 11:1, 2) Tetapi sesetengah pemimpin agama menggalakkan orang untuk membenci semua orang bukan Yahudi. Catatan Mishnah bahkan menyatakan, “Binatang ternakan tidak boleh ditinggalkan di tempat penginapan orang bukan Yahudi kerana mereka akan mengadakan hubungan seks dengan binatang itu.” Prasangka sebegitu, yang ditujukan terhadap semua orang bukan Yahudi, bukan sahaja tidak adil bahkan juga bertentangan dengan apa yang dicatatkan dalam Hukum Musa. (Imamat 19:34) Hukum manusia juga merendahkan martabat kaum wanita. Sebagai contoh, hukum lisan orang Yahudi menyatakan bahawa seorang isteri harus berjalan di belakang suaminya. Seorang lelaki dilarang bercakap dengan seorang wanita, bahkan isterinya, di hadapan umum. Seperti golongan hamba, kaum wanita dilarang memberikan kesaksian di mahkamah. Terdapat juga doa rasmi yang menggalakkan kaum lelaki untuk bersyukur kepada Tuhan kerana mereka bukan wanita.
10 Para pemimpin agama mengaburi Hukum Tuhan dengan menambahkan banyak peraturan sendiri. Misalnya, hukum Sabat melarang seseorang bekerja agar dia dapat beribadat, menjalankan aktiviti rohani, dan berehat. Tetapi orang Farisi membuat hukum yang mudah itu menjadi suatu beban yang berat. Mereka menyatakan bahawa terdapat 39 kegiatan yang tergolong sebagai kerja, termasuk menuai dan memburu. Tindakan mereka ini menimbulkan banyak persoalan lain. Contohnya, jika seseorang membunuh kutu pada hari Sabat, adakah hal itu bermaksud dia sedang memburu? Jika seseorang memetik bulir gandum untuk dimakan, adakah hal itu bermaksud dia menuai? Jika seseorang menyembuhkan orang sakit, adakah dia dianggap bekerja? Untuk mengatasi persoalan yang timbul, mereka menambah banyak peraturan yang tegar, atau kaku, dan terperinci.
11, 12. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia menentang adat orang Farisi yang tidak berdasarkan Bible?
11 Bagaimanakah Yesus dapat membantu orang memahami erti keadilan? Dia berbuat demikian melalui ajarannya dan cara hidupnya. Dia sentiasa berani semasa berdepan dengan para pemimpin agama. Semasa mengajar orang, dia mengutuk perbuatan para pemimpin agama dengan berkata, “Kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat turun-temurun kamu.”—Markus 7:13.
12 Yesus mengajar orang bahawa pandangan orang Farisi terhadap hukum Sabat adalah salah sama sekali. Sebagai Mesias, dia ialah “Tuan yang berkuasa atas hari Sabat” dan berhak menyembuhkan orang pada hari Sabat. (Matius 12:8) Untuk menegaskan hal itu, Yesus melakukan penyembuhan di depan khalayak ramai pada hari Sabat. (Lukas 6:7-10) Penyembuhan sebegitu merupakan bayangan kepada apa yang akan dilakukan oleh Yesus sepanjang Pemerintahan Seribu Tahunnya, iaitu semasa Sabat yang agung. Pada waktu itu, semua manusia akan bebas daripada beban dosa dan kematian.
13. Apakah yang mula berkuat kuasa selepas Yesus menyelesaikan tugasannya di bumi? Apakah perbezaan antara hukum ini dengan Hukum Musa?
13 Yesus juga menjelaskan erti keadilan melalui “hukum Kristus.” Hukum baharu ini mula berkuat kuasa selepas Yesus menyelesaikan tugasannya di bumi. (Galatia 6:2) Tidak seperti Hukum Musa, sebahagian besar hukum ini berdasarkan prinsip Bible, dan bukannya perintah-perintah yang terperinci. Tetapi hukum ini juga mengandungi beberapa perintah. Sebagai contoh, Yesus mengajar pengikutnya untuk saling mengasihi sepertimana dia telah mengasihi mereka. Dia berkata bahawa itu “satu perintah baharu.” (Yohanes 13:34, 35) Ya, kasih dan sikap rela berkorban harus menjadi ciri orang yang hidup di bawah “hukum Kristus.”
Teladan Keadilan
14, 15. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia menyedari batas kekuasaannya, dan mengapakah hal itu melegakan hati kita?
14 Yesus tidak sekadar mengajar orang tentang kasih. Hidupnya mencerminkan “hukum Kristus.” Mari kita melihat tiga contoh.
15 Pertama, Yesus tidak melakukan ketidakadilan. Banyak ketidakadilan berlaku kerana manusia yang tidak sempurna menjadi angkuh dan melampaui batas kekuasaan mereka. Tetapi Yesus tidak berbuat demikian. Pernah sekali, seorang lelaki berkata, “Guru, suruhlah saudaraku memberikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepadaku.” Yesus berkata kepadanya, “Siapakah yang melantik aku untuk menghakimi hal ini atau untuk membahagikan harta antara kamu berdua?” (Lukas 12:13, 14) Meskipun Yesus sangat bijak dan Tuhan telah memberinya kekuasaan yang besar, Yesus rendah hati. Dia tidak mahu terlibat dalam urusan lelaki itu kerana dia tahu bahawa Tuhan tidak memberinya kekuasaan untuk mencampuri urusan peribadi lelaki itu. Sebenarnya, Yesus selalu rendah hati, bahkan sebelum dia menjadi manusia di bumi. (Yudas 9) Dia bergantung sepenuhnya pada Yehuwa untuk menentukan apa itu keadilan.
16, 17. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan keadilan semasa menginjil? (b) Bagaimanakah keadilan Yesus disertai sikap belas kasihan?
16 Kedua, Yesus menunjukkan keadilan dengan menginjil kepada semua orang tanpa berat sebelah. Pada zaman itu, orang Farisi memandang rendah terhadap rakyat biasa yang miskin dan memanggil mereka sebagai ʽam-ha·ʼaʹrets, atau “penduduk tanah.” Tetapi tidak kira sama ada Yesus menyembuhkan orang sakit, atau membangkitkan orang mati, atau mengajar orang yang miskin tentang Kerajaan Tuhan, atau makan bersama mereka, atau memberi mereka makanan, dia sentiasa meniru keadilan Tuhan, yang ingin menyelamatkan “segala macam orang.”c—1 Timotius 2:4.
17 Ketiga, Yesus bukan sahaja adil, dia bahkan juga berbelas kasihan. Dia berusaha untuk membantu pendosa. (Matius 9:11-13) Dia sedia melindungi orang yang ditindas. Contohnya, Yesus tidak seperti para pemimpin agama yang menggalakkan sikap prasangka terhadap semua orang bukan Yahudi. Dia membantu dan mengajar sesetengah orang bukan Yahudi, meskipun tujuan utamanya adalah untuk mengajar orang Yahudi. Dia bahkan melakukan mukjizat untuk seorang pegawai tentera Roma dan memujinya dengan berkata, “Aku belum pernah menjumpai sesiapa pun di Israel yang mempunyai iman sebesar iman orang ini.”—Matius 8:5-13.
18, 19. (a) Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia menghormati kaum wanita? (b) Bagaimanakah teladan Yesus mengajar kita tentang kaitan antara keberanian dengan keadilan?
18 Yesus tidak memandang rendah terhadap kaum wanita. Sebaliknya, dia melayan mereka dengan adil. Wanita Samaria dianggap najis seperti orang bukan Yahudi. Tetapi, Yesus tidak teragak-agak untuk menginjil kepada seorang wanita Samaria di sebuah perigi di Sikhar. Dia bahkan mengakui identitinya sebagai Mesias buat kali pertama kepada wanita itu. (Yohanes 4:6, 25, 26) Orang Farisi menyatakan bahawa kaum wanita tidak patut diajar tentang Hukum Tuhan, tetapi Yesus meluangkan banyak masa dan tenaga untuk mengajar mereka. (Lukas 10:38-42) Menurut adat pada zaman Yesus, kata-kata seorang wanita tidak dapat dipercayai dan mereka tidak boleh memberikan kesaksian di mahkamah. Tetapi Yesus memberikan penghormatan kepada beberapa orang wanita untuk menjadi orang pertama yang melihat dia setelah dibangkitkan. Dia bahkan menyuruh mereka untuk memberitahu para rasulnya tentang peristiwa yang penting ini!—Matius 28:1-10.
19 Ya, Yesus menunjukkan erti keadilan dengan jelas meskipun kadangkala dia perlu membahayakan nyawanya untuk berbuat demikian. Teladan Yesus mengajar kita bahawa keberanian diperlukan untuk menegakkan keadilan. Itulah sebabnya dia dikenali sebagai “Singa daripada suku Yehuda.” (Wahyu 5:5) Seperti yang kita pelajari, singa ialah lambang keadilan dan keberanian. Tidak lama lagi, Yesus akan menegakkan keadilan di seluruh bumi.—Yesaya 42:4.
Raja Mesias “Menegakkan Keadilan di Bumi”
20, 21. Dewasa ini, bagaimanakah Raja Mesias menegakkan keadilan di seluruh bumi dan dalam sidang Kristian?
20 Sejak menjadi Raja Mesias pada tahun 1914, Yesus menegakkan keadilan di bumi. Bagaimana? Selaras dengan nubuat yang tercatat di Matius 24:14, Yesus mempelopori kerja menginjil. Pengikutnya mengajar semua orang tentang Kerajaan Tuhan. Seperti Yesus, mereka memberikan peluang kepada semua orang untuk mengenal Yehuwa tanpa berat sebelah.
21 Selaku Kepala sidang, Yesus juga menggalakkan sidang untuk menunjukkan keadilan. Seperti yang dinubuatkan, dia memberikan “kurnia berupa manusia,” iaitu para penatua yang setia, untuk mengambil pimpinan dalam sidang. (Efesus 4:8-12) Semasa menggembala sidang, para penatua meniru teladan Yesus dengan melayan semua orang dengan adil, tidak kira sama ada mereka kaya atau miskin.
22. Apakah perasaan Yehuwa terhadap ketidakadilan yang berleluasa dewasa ini? Dia melantik Anak-Nya untuk melakukan apa?
22 Ketidakadilan berleluasa di dunia dewasa ini. Setiap anak yang mati kelaparan ialah mangsa ketidakadilan. Mengapa? Sesetengah negara melaburkan banyak wang dan masa untuk menghasilkan senjata, dan sesetengah orang kaya menggunakan duit mereka hanya untuk mengejar kepentingan diri. Setiap tahun ketidakadilan meragut nyawa jutaan orang, dan hal ini membangkitkan kemurkaan Yehuwa. Maka Dia melantik Anak-Nya untuk menakluki seluruh sistem dunia ini dan mengakhiri ketidakadilan buat selama-lamanya. Tidak lama lagi, Yesus akan menegakkan keadilan di seluruh bumi.—Wahyu 16:14, 16; 19:11-15.
23. Selepas Armagedon, bagaimanakah Yesus akan menegakkan keadilan buat selama-lamanya?
23 Yehuwa bukan sekadar melenyapkan kejahatan, Dia juga melantik Anak kesayangan-Nya untuk menjadi “Pemimpin Kedamaian.” Selepas perang Armagedon, Yesus akan membawa kedamaian ke seluruh bumi dan dia akan memerintah “berdasarkan keadilan.” (Yesaya 9:6, 7) Pada waktu itu, dia akan menghilangkan semua akibat buruk yang disebabkan oleh ketidakadilan manusia. Dia akan menegakkan keadilan Yehuwa buat selama-lamanya. Maka sekaranglah masanya bagi kita untuk berusaha meniru keadilan Yehuwa. Dalam bab seterusnya, kita akan belajar bagaimana kita dapat berbuat demikian.
a Seperti Yehuwa, Yesus marah terhadap semua perbuatan jahat. (Nahum 1:2) Contohnya, selepas Yehuwa memberitahu umat-Nya yang derhaka bahawa mereka telah menjadikan rumah-Nya “sarang perompak,” Dia berfirman, “Aku akan melampiaskan kemarahan-Ku dan kemurkaan-Ku terhadap tempat ini.”—Yeremia 7:11, 20.
b Menurut catatan Mishnah, bertahun-tahun kemudian orang memprotes harga burung merpati yang dijual di Rumah Tuhan. Maka, harganya diturunkan sebanyak kira-kira 99 peratus! Siapakah yang mengaut paling banyak keuntungan dalam urus niaga ini? Beberapa sejarawan berpendapat bahawa pasar di Rumah Tuhan dimiliki oleh rumah tangga Imam Agung Hanas dan itulah sumber sebahagian besar kekayaan milik keluarga itu.—Yohanes 18:13.
c Orang Farisi percaya bahawa rakyat biasa, yang tidak memahami Hukum, “semuanya terkutuk.” (Yohanes 7:49) Mereka berkata bahawa seseorang tidak patut mengajar, berurus niaga, makan, atau berdoa bersama golongan itu. Mereka berpendapat bahawa lebih baik seseorang dibaham binatang buas daripada berkahwin dengan salah seorang daripada golongan itu. Mereka juga mendakwa bahawa orang sedemikian tidak layak dibangkitkan.