Semua Penderitaan akan Berakhir Tidak Lama Lagi!
Pada suatu ketika dalam hidup anda, anda mungkin pernah bertanya, ‘Mengapakah kehidupan manusia sarat dengan penderitaan?’ Selama beribu-ribu tahun, umat manusia telah banyak menderita akibat peperangan, kemiskinan, bencana, jenayah, ketidakadilan, penyakit, dan kematian. Dalam jangka masa seratus tahun yang lalu, umat manusia telah mengalami jauh lebih banyak penderitaan jika dibandingkan dengan zaman-zaman sebelumnya. Mungkinkah semua penderitaan akan berakhir pada suatu hari nanti?
Ya! Kita boleh berasa lega kerana hal ini akan berlaku tidak lama lagi. Bible, iaitu Firman Tuhan memberitahu kita, ‘Orang yang jahat akan lenyap . . . Orang yang rendah hati akan mewarisi bumi ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.’ Berapa lamakah akan mereka menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah ini? ‘Orang yang salih akan memiliki bumi ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.’—Mazmur 37:10, 11, 29.
Selepas Tuhan melenyapkan kejahatan dan penderitaan, bumi ini akan menjadi sebuah firdaus. Pada masa itu, manusia akan mempunyai kesihatan yang sempurna dan kehidupan yang bahagia untuk selama-lamanya. Nubuat dalam Firman Tuhan menyatakan, “[Tuhan] akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan.”—Penyingkapan 21:4.
Mereka yang telah mati akan dibangkitkan di dunia baru itu dan mereka juga akan menikmati berkat-berkat yang telah dijanjikan oleh Tuhan. Janji dalam Bible menyatakan, “Semua orang akan dibangkitkan daripada kematian—orang baik, mahupun orang jahat.” (Kisah 24:15) Maka, Yesus Kristus dapat memberitahu seorang penjahat yang telah bertaubat dan memperlihatkan kepercayaan terhadapnya, “Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”—Lukas 23:43.
Mengapakah Terdapat Penderitaan di Dunia Ini?
Jika Tuhan menginginkan manusia untuk memiliki masa depan yang begitu mengagumkan, mengapakah Dia membenarkan penderitaan untuk wujud? Mengapakah Dia mengizinkan penderitaan untuk berlanjutan sehingga hari ini?
Apabila Tuhan menciptakan Adam dan Hawa, Dia telah menciptakan mereka dengan tubuh dan minda yang sempurna. Dia menempatkan mereka di sebuah firdaus di bumi dan telah mengamanahkan kerja yang membawa kepuasan hati kepada mereka. Bible menyatakan, “[Tuhan] memandang semua yang sudah dijadikan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.” (Kejadian 1:31) Sekiranya Adam dan Hawa telah mentaati Tuhan, mereka tentu akan melahirkan anak-anak yang sempurna dan seluruh bumi akan menjadi sebuah firdaus. Semua orang dapat hidup untuk selama-lamanya dalam keadaan yang aman dan bahagia.
Tuhan telah mengurniakan Adam dan Hawa suatu pemberian yang berharga, iaitu kebebasan untuk membuat pilihan. Mereka tidak diciptakan seperti robot yang tidak berakal. Walau bagaimanapun, jika mereka ingin menikmati kebahagiaan yang berkekalan, mereka harus menggunakan kebebasan ini dengan betul. Hal ini bermaksud mereka harus mematuhi hukum-hukum Tuhan. Tuhan berfirman, “Akulah [Yehuwa], [Tuhan] kamu, Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu, Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.” (Yesaya 48:17) Sebaliknya, penyalahgunaan kebebasan ini akan mengakibatkan penderitaan kerana manusia tidak diciptakan dengan kebolehan untuk hidup dengan jayanya tanpa bimbingan Tuhan. Bible menyatakan, “Tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.”—Yeremia 10:23.
Malangnya, ibu bapa kita yang pertama menyangka bahawa mereka dapat hidup dengan jayanya tanpa bimbingan Tuhan. Walau bagaimanapun, apabila mereka menolak pemerintahan Tuhan, mereka kehilangan dukungan-Nya. Dengan demikian, mereka kehilangan kesempurnaan mereka. Kehidupan mereka mula merosot dan akhirnya, mereka menjadi tua dan mati. Oleh sebab kita merupakan anak-anak mereka, kita telah mewarisi ketidaksempurnaan dan kematian.—Roma 5:12.
Persoalannya—Siapakah yang Berhak Memerintah?
Mengapakah Tuhan tidak membinasakan Adam dan Hawa lalu menciptakan sepasang manusia yang lain? Tuhan tidak berbuat demikian kerana kedaulatan-Nya di alam semesta, iaitu hak-Nya untuk memerintah telah dicabar. Maka soalan-soalan yang timbul ialah, Siapakah yang berhak untuk memerintah manusia, dan pemerintahan siapakah yang paling baik? Tambahan pula, sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, Dapatkah manusia hidup dengan lebih bahagia jika Tuhan tidak memerintah mereka? Tuhan memberi manusia kebebasan dan masa yang mencukupi agar persoalan ini dapat diselesaikan untuk selama-lamanya. Manusia berpeluang untuk melihat sama ada mereka dapat hidup dengan lebih bahagia di bawah pemerintahan-Nya atau di bawah pemerintahan sendiri. Masa yang diberikan adalah cukup panjang untuk mereka mencuba semua jenis sistem politik, sosial, ekonomi, dan agama tanpa campur tangan Tuhan.
Apakah hasilnya? Sejarah manusia yang menjangkau ribuan tahun membuktikan bahawa penderitaan sedang bermaharajalela di dunia ini. Pada abad yang lalu, umat manusia telah mengalami penderitaan yang paling teruk. Sepanjang tempoh ini, lebih daripada 100 juta orang telah dibunuh dalam peperangan. Dalam Perang Dunia Kedua sahaja, jutaan orang telah dibunuh. Jenayah dan keganasan semakin menular. Penyalahgunaan dadah amat berleluasa. Penyakit kelamin terus merebak. Setiap tahun, berpuluh-puluh juta orang mati akibat kelaparan dan penyakit. Kehidupan keluarga dan nilai-nilai moral kian merosot di merata-rata tempat. Tiada kerajaan manusia yang dapat menyelesaikan masalah-masalah ini. Tiada sebuah kerajaan pun yang dapat membasmi usia lanjut, penyakit, dan kematian.
Keadaan manusia sekarang adalah serupa dengan apa yang telah dinubuatkan dalam Bible. Firman Tuhan menyingkapkan bahawa zaman kita dikenali sebagai “hari-hari terakhir” sistem dunia ini. Oleh itu, ‘banyak kesusahan akan timbul.’ Seperti apa yang telah dinyatakan dalam Bible, ‘orang jahat dan penipu semakin lama menjadi semakin jahat.’—2 Timotius 3:1-5, 13.
Akhir Penderitaan Sudah Dekat
Semua bukti menunjukkan bahawa pemerintahan manusia tanpa bimbingan Tuhan akan berakhir tidak lama lagi. Pemerintahan manusia yang bebas daripada bimbingan Tuhan terbukti tidak akan berjaya. Hanya pemerintahan Tuhan dapat membawa keamanan, kebahagiaan, kesihatan yang sempurna, dan kehidupan yang kekal. Oleh itu, kejahatan dan penderitaan yang diizinkan oleh Yehuwa kini berada di ambang pemusnahan. Tidak lama lagi, Tuhan akan bertindak untuk menghapuskan pemerintahan manusia yang menghampakan ini.
Nubuat Bible menyatakan, “Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu [pemerintahan manusia yang wujud sekarang], [Tuhan] penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan [di syurga] yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. . . . Kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain [pemerintahan yang wujud sekarang], lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya.” (Daniel 2:44) Pembuktian kewajaran Yehuwa sebagai Pemerintah yang berdaulat melalui Kerajaan-Nya di syurga ialah ajaran utama dalam Bible. Semasa menubuatkan salah satu ciri penting yang menandakan “hari-hari terakhir,” Yesus berkata, “Berita Baik tentang bagaimana [Tuhan] memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.”—Matius 24:14.
Apabila sistem dunia ini dibinasakan, siapakah yang akan terselamat? Bible menjawab, ‘Orang yang hidup menurut kehendak Tuhan, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di bumi yang dijanjikan Tuhan. Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari bumi itu oleh Tuhan, seperti rumput dicabut dari tanah.’ (Amsal 2:21, 22) Orang yang adil benar merujuk kepada mereka yang mempelajari dan melakukan kehendak Yehuwa. Yesus Kristus berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya [Tuhan] yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal.” (Yohanes 17:3) Ya, “dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak [Tuhan], akan hidup selama-lamanya.”—1 Yohanes 2:17.
Kecuali apabila dinyatakan sebaliknya, semua ayat Bible dipetik daripada Alkitab Berita Baik dalam bahasa Malaysia (ALKITAB BM).