BAB 19
“Teruslah Bercakap dan Janganlah Putus Asa”
Paulus menyara dirinya, namun dia tetap mengutamakan kerja penyebaran
Berdasarkan Kisah 18:1-22
1-3. Mengapakah Rasul Paulus datang ke Korintus? Apakah cabaran yang dia hadapi?
PADA penghujung tahun 50 M, Rasul Paulus berada di Korintus. Kota itu merupakan sebuah pusat perdagangan yang makmur, yang mempunyai banyak orang Yunani, Roma, dan Yahudi.a Paulus datang ke sini bukannya untuk menjual beli barang atau untuk mencari kerja sekular. Dia datang ke Korintus untuk tujuan yang jauh lebih penting, iaitu memberikan kesaksian tentang Kerajaan Tuhan. Namun, Paulus perlu mencari tempat tinggal dan dia bertekad untuk tidak membebankan orang secara kewangan. Dia tidak mahu memberikan tanggapan bahawa orang sepatutnya menjaga keperluannya kerana dia melakukan kerja penyebaran. Jadi, apakah yang akan dia lakukan?
2 Paulus mempunyai kemahiran membuat khemah. Kerja ini tidak mudah, namun dia rela melakukan kerja fizikal untuk menyara dirinya. Dapatkah dia mencari pekerjaan di kota yang sibuk ini? Dapatkah dia mencari tempat tinggal yang sesuai? Walaupun berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, Paulus tidak tersimpang daripada kerja utamanya, iaitu kerja penyebaran.
3 Paulus tinggal di Korintus untuk suatu jangka masa dan dia mendapat hasil yang baik dalam kerja penyebaran. Apakah yang dapat kita belajar daripada kegiatan Paulus di Korintus? Bagaimanakah teladannya membantu kita memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan di kawasan penyebaran kita?
‘Mereka Mempunyai Pekerjaan Membuat Khemah’ (Kis. 18:1-4)
4, 5. (a) Di manakah Paulus tinggal semasa di Korintus? Apakah kerja sekular yang dia lakukan? (b) Bagaimanakah Paulus mungkin belajar membuat khemah?
4 Beberapa waktu setelah tiba di Korintus, Paulus berjumpa dengan sepasang suami isteri Yahudi, iaitu Akwila dan isterinya, Priskila atau Priska. Pasangan itu berpindah ke Korintus kerana Maharaja Klaudius “telah memerintahkan semua orang Yahudi untuk meninggalkan Roma.” (Kis. 18:1, 2) Akwila dan Priskila bukan sahaja menjemput Paulus untuk tinggal di rumah mereka, tetapi juga untuk bekerja bersama mereka. Bible berkata, “[Paulus] tinggal di rumah mereka dan bekerja bersama mereka. Hal ini demikian kerana Akwila dan Priskila mempunyai pekerjaan yang sama dengannya, iaitu membuat khemah.” (Kis. 18:3) Sepanjang kerja penyebaran Paulus di Korintus, dia telah menetap di rumah pasangan yang ramah dan baik hati ini. Semasa dia tinggal bersama Akwila dan Priskila, Paulus juga mungkin telah menulis sesetengah suratnya yang kemudian menjadi sebahagian daripada Bible.b
5 Bagaimanakah Paulus, seorang lelaki yang telah “diajar oleh Gamaliel sendiri,” juga mempunyai kemahiran membuat khemah? (Kis. 22:3) Nampaknya bagi orang Yahudi pada abad pertama, walaupun anak mereka diberikan pendidikan tinggi, mereka tidak menganggap mengajar anak suatu kemahiran merupakan hal yang memalukan. Maka, Paulus mungkin belajar kemahiran membuat khemah semasa muda. Lagipun, Paulus berasal dari Tarsus di Kilikia, iaitu sebuah kawasan yang terkenal dengan kain cilicium yang digunakan untuk membuat khemah. Apakah yang terlibat dalam melakukan kerja ini? Kerja ini melibatkan menenun kain khemah atau menggunting dan menjahitnya. Jelaslah, pekerjaan ini memang tidak mudah kerana kain itu keras dan kasar.
6, 7. (a) Bagaimanakah Paulus memandang kerja membuat khemah? Apakah yang menunjukkan bahawa Akwila dan Priskila mempunyai pandangan yang sama? (b) Bagaimanakah orang Kristian hari ini meniru teladan Paulus, Akwila, dan Priskila?
6 Paulus tidak menganggap kerja membuat khemah sebagai kerja utamanya. Dia melakukan kerja ini hanya untuk menyara dirinya supaya dapat menyampaikan berita baik “tanpa mengenakan bayaran.” (2 Kor. 11:7) Bagaimana pula dengan Akwila dan Priskila? Sebagai orang Kristian, sudah pasti mereka mempunyai pandangan yang sama dengan Paulus berkenaan kerja sekular. Semasa Paulus meninggalkan Korintus pada tahun 52 M, Akwila dan Priskila bahkan sanggup berpindah bersamanya ke Efesus. Di sana, rumah mereka telah digunakan sebagai tempat perjumpaan untuk sidang tempatan. (1 Kor. 16:19) Kemudian, mereka kembali ke Roma dan belakangan berpindah semula ke Efesus. Pasangan yang bersemangat ini sememangnya mengutamakan kerja Kerajaan Tuhan dan rela berkorban untuk membantu orang lain. Tidak hairanlah, “semua orang dalam sidang bangsa-bangsa lain” menghargai pengorbanan mereka.—Rm. 16:3-5; 2 Tim. 4:19.
7 Orang Kristian hari ini juga meniru teladan Paulus, Akwila, dan Priskila. Penginjil yang bersemangat rela bekerja keras supaya tidak “menjadi beban yang berat dari segi kewangan” kepada orang lain. (1 Tes. 2:9) Sememangnya, pekhidmat sepenuh masa patut dipuji kerana banyak antara mereka sudi melakukan kerja sambilan atau kerja bermusim supaya dapat menyara diri sendiri dalam kerja utama mereka, iaitu kerja penyebaran. Selain itu, seperti Akwila dan Priskila, ramai hamba Yehuwa yang baik hati sudi membuka rumah mereka untuk penyelia litar. Mereka yang ‘menyambut orang dengan ramah’ pastinya digalakkan dan dikuatkan kerana berbuat demikian.—Rm. 12:13.
‘Banyak Orang di Korintus Mula Percaya kepada Yesus’ (Kis. 18:5-8)
8, 9. Semasa menginjil kepada orang Yahudi, apakah reaksi Paulus terhadap tentangan yang dihadapinya? Di manakah dia menginjil selepas itu?
8 Semasa Paulus di Korintus, Silas dan Timotius tiba dari Makedonia dengan membawa banyak pemberian. (2 Kor. 11:9) Dengan segera, Paulus “menggunakan seluruh masanya untuk mengkhabarkan firman Tuhan.” (Kis. 18:5) Maka jelaslah bahawa Paulus bekerja secara sekular sekadar untuk memenuhi keperluannya semasa menginjil. Namun, semasa Paulus berusaha menginjil kepada orang Yahudi, dia menghadapi tentangan. Paulus enggan bertanggungjawab lagi atas keputusan mereka yang menolak mesej penyelamatan tentang Kristus. Maka, dia mengebaskan pakaiannya dan berkata kepada orang Yahudi itu, “Aku tidak bertanggungjawab jika kamu tidak diselamatkan. Kamu sendirilah yang bertanggungjawab. Mulai sekarang, aku akan pergi kepada orang daripada bangsa lain.”—Kis. 18:6; Yeh. 3:18, 19.
9 Di manakah Paulus menginjil selepas itu? Seorang lelaki bernama Titius Yustus, yang kemungkinan seorang pemeluk agama Yahudi, telah menjemput Paulus ke rumahnya. Rumah Yustus terletak bersebelahan dengan rumah ibadat. Maka, Paulus beredar dari rumah ibadat ke rumah Yustus. (Kis. 18:7) Rumah Akwila dan Priskila tetap menjadi kediaman Paulus semasa dia di Korintus, manakala rumah Yustus menjadi pusat aktiviti penyebarannya.
10. Apakah yang menunjukkan bahawa Paulus bukan sahaja mahu menginjil kepada orang daripada bangsa lain?
10 Semasa Paulus berkata bahawa dia akan pergi kepada orang daripada bangsa lain, adakah itu bermaksud dia langsung tidak mahu menginjil lagi kepada orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi, bahkan orang yang sudi mendengar? Sama sekali tidak. Contohnya, “Krispus, ketua rumah ibadat itu, dan seluruh rumah tangganya percaya kepada Tuan Yesus.” Jelaslah, sejumlah orang Yahudi yang pergi ke rumah ibadat itu juga telah menyertai Krispus. Bible berkata, “Banyak orang di Korintus yang mendengar berita baik juga mula percaya kepada Yesus lalu dibaptis.” (Kis. 18:8) Maka, rumah Titius Yustus telah menjadi tempat perjumpaan bagi sidang Kristian di Korintus yang baru ditubuhkan itu. Jika Lukas menulis peristiwa ini menurut urutan masa seperti yang biasa dilakukannya, hal ini bermaksud orang Yahudi atau pemeluk agama Yahudi di sana telah menjadi Kristian selepas Paulus mengebaskan pakaiannya. Sememangnya, Paulus sudi membuat penyesuaian dan menginjil kepada sesiapa yang ingin mendengar.
11. Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa hari ini meniru Paulus semasa menginjil kepada ahli gereja Kristian?
11 Di banyak negara hari ini, gereja-gereja Kristian telah lama ditubuhkan dan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap ahli mereka. Di sesetengah kawasan di serata dunia, para mubaligh dari gereja telah membuat banyak orang memeluk agama mereka. Seperti orang Yahudi di Korintus pada abad pertama, banyak orang yang mengaku diri sebagai Kristian sering kali dibelenggu oleh tradisi. Meskipun begitu, sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita meniru Paulus dengan berusaha menginjil kepada orang sebegitu dengan bersemangat. Kita membantu mereka untuk memahami Bible dengan lebih tepat. Walaupun mereka menentang kita atau pemimpin agama mereka menganiaya kita, kita tidak akan putus harapan. Ingatlah, ada orang “berkhidmat kepada Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar. Tetapi mereka berbuat demikian tanpa pengetahuan yang tepat.” (Rm. 10:2) Dalam kalangan mereka mungkin ada orang yang rendah hati. Maka, kita perlu mencari dan mengajar orang sebegini.
“Ramai Orang di Kota Ini Milik Aku” (Kis. 18:9-17)
12. Apakah keyakinan yang diterima oleh Paulus melalui sebuah penglihatan?
12 Jika Paulus ada sebarang keraguan untuk meneruskan kerja penyebarannya di Korintus, dia pasti mendapat jawapannya apabila Tuan Yesus muncul kepadanya dalam suatu penglihatan pada waktu malam. Yesus memberitahunya, “Janganlah takut! Teruslah bercakap dan janganlah putus asa, kerana aku menyertai kamu. Tiada sesiapa pun yang akan menyerang dan mencederakan kamu, kerana ramai orang di kota ini milik aku.” (Kis. 18:9, 10) Penglihatan yang sungguh menggalakkan! Tuan Yesus sendiri meyakinkan Paulus bahawa dia akan dilindungi dan bahawa terdapat ramai orang yang layak di kota itu. Apakah reaksi Paulus terhadap penglihatan itu? Bible berkata, “Selama satu tahun setengah Paulus tinggal di situ dan mengajarkan firman Tuhan kepada orang ramai.”—Kis. 18:11.
13. Apakah peristiwa yang mungkin terlintas dalam fikiran Paulus seraya dia dibawa ke tempat pengadilan, tetapi mengapakah dia boleh menjangkakan keputusan yang berbeza?
13 Selepas meluangkan kira-kira satu tahun di Korintus, Paulus menerima bukti tambahan mengenai sokongan Tuan. “Orang Yahudi bersatu padu untuk menyerang Paulus dan membawanya ke tempat pengadilan” yang dipanggil beʹma. (Kis. 18:12) Menurut beberapa orang, beʹma ialah sebuah pentas yang diperbuat daripada marmar berwarna biru dan putih serta penuh dengan ukiran, dan mungkin terletak berdekatan dengan bahagian tengah tempat awam di Korintus. Kawasan di hadapan beʹma cukup besar sehingga ramai orang boleh berkumpul di sana. Penemuan kaji purba menunjukkan bahawa tempat pengadilan itu mungkin hanya beberapa langkah dari rumah ibadat. Maka, tempat itu juga sangat dekat dengan rumah Yustus. Seraya Paulus dibawa ke beʹma, dia mungkin terfikir tentang Stefanus yang direjam, iaitu murid Kristus yang pertama mati demi imannya. Pada masa itu, Paulus, yang dikenali sebagai Saulus, telah “menyokong pembunuhan Stefanus.” (Kis. 8:1) Adakah hal yang sama akan berlaku kepada Paulus sekarang? Tidak, kerana dia telah menerima janji bahawa ‘tiada sesiapa pun yang akan mencederakannya.’—Kis. 18:10.
“Lalu Galio mengusir mereka dari tempat pengadilan itu.”—Kisah 18:16
14, 15. (a) Apakah tuduhan yang dilontarkan oleh orang Yahudi terhadap Paulus, dan mengapakah Galio menggugurkan kes itu? (b) Apakah yang terjadi kepada Sostenes? Mengapakah sesetengah orang berpendapat bahawa dia memeluk agama Kristian?
14 Apakah yang berlaku kepada Paulus semasa dia dibawa ke tempat pengadilan? Pemerintah yang menghakiminya ialah gabenor daerah Akhaya bernama Galio, yang merupakan abang kepada ahli falsafah Roma bernama Seneca. Orang Yahudi melontarkan tuduhan berikut terhadap Paulus: “Lelaki ini mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Tuhan dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang kami.” (Kis. 18:13) Mereka menyimpulkan bahawa Paulus melanggar hukum dengan membuat orang menukar agama. Namun, Galio mendapati bahawa Paulus tidak “berbuat salah” dan tidak “melakukan jenayah yang berat.” (Kis. 18:14) Galio tidak mahu terlibat dalam pertikaian orang Yahudi. Sebelum Paulus mengucapkan sepatah kata untuk membela diri, Galio bahkan telah menggugurkan kes itu! Para penentang sangat marah. Mereka melampiaskan kemarahan terhadap Sostenes yang mungkin menggantikan Krispus sebagai ketua rumah ibadat. Mereka menangkap Sostenes “dan mula memukulnya di hadapan tempat pengadilan.”—Kis. 18:17.
15 Mengapakah Galio tidak menghalang orang ramai daripada memukul Sostenes? Galio mungkin berfikir bahawa Sostenes ialah ketua perusuh yang menentang Paulus, jadi dia memang patut menerima balasan yang setimpal. Tidak kira apa sebabnya, situasi ini mungkin telah membawa hasil yang baik. Beberapa tahun kemudian, dalam surat Paulus yang pertama kepada sidang Korintus, dia menyebut tentang seorang saudara yang bernama Sostenes. (1 Kor. 1:1, 2) Adakah dia ialah Sostenes yang dipukul di Korintus? Jika begitu, pengalaman yang menyakitkan itu mungkin telah membantu Sostenes untuk memeluk agama Kristian.
16. Yesus berkata, “Teruslah bercakap dan janganlah putus asa, kerana aku menyertai kamu.” Bagaimanakah kata-katanya menguatkan kita untuk terus menginjil?
16 Ingatlah, selepas orang Yahudi menolak mesej yang disampaikan Paulus, barulah Tuan Yesus meyakinkannya, “Janganlah takut! Teruslah bercakap dan janganlah putus asa, kerana aku menyertai kamu.” (Kis. 18:9, 10) Kita juga harus mengingat kata-kata itu terutamanya semasa mesej kita ditolak. Janganlah lupa bahawa Yehuwa menyelidiki hati dan memimpin orang yang tulus kepada-Nya. (1 Sam. 16:7; Yoh. 6:44) Bukankah galakan ini mendorong kita untuk tetap sibuk dalam kerja penyebaran? Setiap tahun, ratusan ribu orang dibaptis. Ya, secara purata ratusan orang dibaptis setiap hari. Bagi mereka yang mematuhi perintah Yesus untuk ‘jadikan semua bangsa pengikutnya,’ Yesus berjanji, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.”—Mat. 28:19, 20.
“Jika Yehuwa Mengizinkan” (Kis. 18:18-22)
17, 18. Apakah yang mungkin direnungkan oleh Paulus semasa dia berlayar ke Efesus?
17 Kita tidak dapat pastikan jika sikap Galio terhadap orang yang menuduh Paulus telah membawa masa ketenteraman bagi sidang di Korintus yang baharu itu. Namun, Paulus tinggal di sana “untuk suatu jangka waktu” sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada rakan seiman di Korintus. Pada musim bunga 52 M, dia membuat rancangan untuk berlayar ke Siria dari pelabuhan Kenkrea yang terletak kira-kira 11 km di timur Korintus. Sebelum meninggalkan Kenkrea, Paulus “memotong pendek rambutnya sebagai tanda bahawa dia telah berikrar kepada Tuhan.”c (Kis. 18:18) Selepas itu, dia membawa Akwila dan Priskila bersamanya dan berlayar merentasi Laut Aegean ke Efesus di Asia Kecil.
18 Seraya Paulus berlayar dari Kenkrea, dia mungkin merenungkan waktu dia di Korintus. Dia mempunyai banyak pengalaman yang indah dan banyak sebab untuk berasa puas hati. Kerja penyebarannya selama 18 bulan di situ telah membuahkan hasil. Sidang Korintus yang pertama telah ditubuhkan dan rumah Yustus menjadi tempat perjumpaan mereka. Antara orang yang menjadi pengikut Yesus ialah Yustus, Krispus berserta rumah tangganya, dan banyak lagi. Paulus sangat mengasihi mereka kerana dia telah membantu mereka menjadi orang Kristian. Pada kemudian hari, dia menulis kepada mereka dan menggambarkan mereka seperti sepucuk surat kelayakan yang terukir di hatinya. Sudah tentu, kita juga sangat mengasihi orang yang telah kita bantu untuk menerima ibadat sejati. Bukankah kita berasa sangat puas melihat saudara saudari yang bagaikan ‘surat-surat kelayakan’ yang hidup?—2 Kor. 3:1-3.
19, 20. Setibanya di Efesus, apakah yang dilakukan oleh Paulus? Apakah yang kita belajar daripadanya mengenai mengejar matlamat rohani?
19 Setibanya di Efesus, Paulus dengan segera melaksanakan tugas utamanya. Dia “memasuki rumah ibadat untuk berbincang dengan orang Yahudi.” (Kis. 18:19) Kali ini, Paulus tinggal di Efesus hanya untuk seketika. Apabila diminta untuk tinggal lebih lama, “Paulus tidak mahu.” Semasa mengucapkan selamat tinggal, dia memberitahu orang di Efesus, “Jika Yehuwa mengizinkan, aku akan kembali kepada kamu.” (Kis. 18:20, 21) Paulus sedar ada banyak lagi kerja menginjil yang perlu dilakukan di Efesus dan dia bercadang untuk kembali. Namun, dia menyerahkan rancangannya ke dalam tangan Yehuwa. Bukankah dia teladan yang baik bagi kita? Semasa mengejar matlamat rohani, kita perlu mengambil inisiatif. Namun, kita patut selalu bersandar pada bimbingan Yehuwa dan berusaha untuk bertindak selaras dengan kehendak-Nya.—Yak. 4:15.
20 Selepas itu, Paulus berlayar lalu tiba di Kaisarea, manakala Akwila dan Priskila terus menetap di Efesus. Nampaknya, dia “pergi ke Yerusalem” dan melawat sidang di sana. (Kis. 18:22) Kemudian, dia pulang ke tempat tinggalnya di Antiokhia, Siria. Perjalanan mubaligh Paulus yang kedua telah berakhir dengan jayanya. Apakah yang menantikannya dalam perjalanan mubalighnya yang terakhir?
a Lihat kotak “Korintus—Penguasa Dua Laut.”
b Lihat kotak “Surat-Surat Terilham yang Memberikan Galakan.”
c Lihat kotak “Ikrar Paulus.”