BAB 61
Yesus Menyembuhkan Seorang Budak yang Dirasuk
MATIUS 17:14-20 MARKUS 9:14-29 LUKAS 9:37-43
IMAN YANG KUAT DIPERLUKAN UNTUK MENYEMBUHKAN BUDAK YANG DIRASUK
Sewaktu Yesus, Petrus, Yakobus, dan Yohanes, turun dari gunung, mereka mendapati murid-murid yang lain dikelilingi ramai orang. Para jurutulis hukum sedang berdebat dengan mereka. Orang ramai terkejut melihat Yesus lalu mereka berlari kepadanya. Maka dia bertanya, “Kamu sedang berdebat dengan mereka tentang apa?”—Markus 9:16.
Seorang lelaki menjawab, “Guru, aku membawa anak lelakiku kepada Guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. Setiap kali roh jahat itu menyerangnya, anakku akan dihempaskan ke tanah. Mulutnya akan berbuih-buih dan dia akan menggertakkan giginya serta menjadi lemah. Aku meminta murid-muridmu mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”—Markus 9:17, 18.
Nampaknya para jurutulis sedang mengkritik dan mencemuh murid-murid Yesus kerana mereka tidak dapat menyembuhkan budak lelaki itu. Maka Yesus berkata kepada orang ramai, “Hai generasi yang tidak beriman dan yang berdosa, berapa lamakah aku mesti terus bersama kamu? Berapa lamakah aku mesti bersabar dengan kamu?” Kata-kata yang tegas ini ditujukan kepada para jurutulis hukum yang cuba menyusahkan murid-murid Yesus ketika dia tiada di situ. Kemudian Yesus berkata kepada bapa budak lelaki itu, “Bawalah dia kepadaku.”—Matius 17:17.
Apabila budak lelaki itu mendekati Yesus, roh yang merasuk budak itu menyebabkannya terkejang-kejang dan menggigil. Budak itu jatuh terguling-guling di tanah, dan mulutnya juga berbuih. Maka Yesus bertanya kepada bapa budak itu, “Sudah berapa lama hal ini berlaku kepadanya?” Dia menjawab, “Sejak kecil lagi. Roh itu sering membuangnya ke dalam api dan air untuk membunuhnya. Tetapi jika Guru dapat menyembuhkannya, kasihanilah kami dan tolonglah kami.”—Markus 9:21, 22.
Bapa budak itu sangat terdesak kerana murid-murid Yesus pun tidak dapat membantunya. Maka Yesus menggalakkannya dengan berkata, “Mengapakah kamu berkata, ‘Jika Guru dapat’? Tiada apa-apa yang mustahil bagi orang yang beriman.” Bapa budak itu segera berseru, “Aku beriman! Bantulah aku untuk menguatkan imanku!”—Markus 9:23, 24.
Yesus nampak bahawa orang ramai berlari ke arah mereka. Maka dia menegur roh jahat itu di depan mereka, “Roh bisu dan pekak, aku memerintahkan kamu agar keluar daripada budak ini dan jangan memasukinya lagi!” Semasa roh jahat itu keluar, budak itu menjerit dan terkejang-kejang. Kemudian budak itu terlantar di tanah dan tidak bergerak. Maka banyak orang di situ berkata, “Dia sudah mati!” (Markus 9:25, 26) Tetapi apabila Yesus memegang tangan budak itu, dia bangun dan ‘pada masa itu juga, dia sembuh.’ (Matius 17:18) Orang kagum dengan perbuatan Yesus.
Sebelum itu, para pengikut Yesus dapat mengusir roh-roh jahat, tetapi sekarang mereka tidak dapat berbuat demikian. Jadi semasa tiada orang lain di situ, mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” Yesus menjelaskan bahawa mereka tidak dapat berbuat demikian kerana iman mereka lemah. Dia berkata, “Roh jahat sebegitu hanya dapat diusir dengan doa.” (Markus 9:28, 29) Mereka perlu memupuk iman yang kuat dan berdoa kepada Tuhan agar dapat mengusir roh jahat yang kuat itu.
Yesus menyambung, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dari sini ke sana,’ lalu gunung ini akan beralih. Tiada apa-apa pun yang mustahil bagi kamu.” (Matius 17:20) Betapa berkuasanya iman!
Rintangan dan kesusahan yang menghalang kita menyembah Tuhan seolah-olah gunung yang tidak akan beralih. Tetapi jika kita memupuk iman yang teguh, kita pasti dapat mengharunginya.