PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • jy bab 63 ms. 150-ms. 151 per. 3
  • Yesus Memberikan Lebih Banyak Nasihat

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yesus Memberikan Lebih Banyak Nasihat
  • Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Bahan yang Berkaitan
  • Dia Mengasihi Kanak-kanak
    Buku Cerita Bible Saya
  • Ceramah Di Atas Gunung
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Menginjil dengan Bersemangat meskipun Ditentang
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
Lihat Selanjutnya
Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
jy bab 63 ms. 150-ms. 151 per. 3
Seorang lelaki bergembira selepas menjumpai bebirinya yang sesat

BAB 63

Yesus Memberikan Lebih Banyak Nasihat

MATIUS 18:6-20 MARKUS 9:38-50 LUKAS 9:49, 50

  • JANGAN MENYEBABKAN ORANG LAIN TERSANDUNG

  • JIKA SAUDARA KAMU BERDOSA

Yesus baru sahaja mengajar bahawa para pengikutnya harus rendah hati. Mereka perlu “menerima,” atau meniru, sikap anak kecil yang tidak mementingkan kedudukan. Dengan demikian, mereka juga “menerima” Yesus.​—Matius 18:5.

Kemudian Rasul Yohanes berkata, “Guru, kami nampak seseorang menggunakan nama Guru untuk mengusir roh jahat. Kami mencuba menghalangnya kerana dia bukan salah seorang daripada kita.”—Lukas 9:49.

Yohanes mungkin berasa bahawa hanya para rasul yang berkuasa untuk menyembuhkan orang dan mengusir roh jahat. Maka dia hairan apabila lelaki Yahudi itu dapat berbuat demikian juga. Dia berasa bahawa lelaki itu tidak patut melakukan mukjizat kerana dia tidak menyertai Yesus dan para rasul.

Tetapi jawapan Yesus mengejutkan Yohanes. Yesus berkata, “Janganlah halang dia kerana tiada orang yang dapat bercakap buruk tentang aku sejurus selepas melakukan mukjizat dengan menggunakan namaku. Sesiapa yang tidak melawan kita sedang berpihak kepada kita. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang memberi kamu secawan air untuk diminum kerana kamu milik Kristus tidak akan kehilangan ganjarannya.”​—Markus 9:39-41.

Pada waktu itu, sidang Kristian belum ditubuhkan, maka lelaki itu tidak perlu menyertai Yesus untuk menunjukkan bahawa dia berpihak kepadanya. Lelaki itu bukanlah penentang Yesus atau penyokong agama sesat. Dia memang beriman kepada Yesus, maka dia “tidak akan kehilangan ganjarannya.”

Seorang lelaki diikat dengan batu kisar dan dilemparkan ke dalam laut

Tetapi Yesus berkata bahawa para rasul patut berhati-hati agar tindakan dan kata-kata mereka tidak menyebabkan lelaki itu tersandung. Dia berkata, “Sesiapa yang menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung, lebih baik jika batu kisar besar yang ditarik oleh keldai digantungkan pada lehernya lalu dia dibuang ke dalam laut.” (Markus 9:42) Seterusnya Yesus berkata bahawa jika sesuatu yang berharga, seperti tangan, kaki, atau mata mereka, membuat mereka tersandung, mereka patut membuangnya. Lebih baik mereka kehilangan anggota badan mereka dan memasuki Kerajaan Tuhan daripada memiliki semua anggota badan mereka tetapi dibuang ke dalam Gehena (Lembah Hinom). Para rasul tahu bahawa lembah ini digunakan untuk membakar sampah. Jadi mereka faham bahawa lembah ini menggambarkan kemusnahan kekal.

Yesus juga menasihati mereka, “Jangan sekali-kali memandang rendah pada muridku yang bagaikan anak kecil, kerana malaikat-malaikat mereka di syurga sentiasa menghadap muka Bapaku yang di syurga.” Seberapa pentingkah “anak kecil” ini bagi Bapanya? Yesus bercerita tentang seorang lelaki yang mempunyai 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya hilang. Lelaki itu meninggalkan 99 ekor bebirinya untuk mencari seekor yang hilang itu. Apabila dia menjumpainya, dia lebih bersukacita atas seekor bebiri itu berbanding 99 ekor yang tidak sesat. Yesus berkata, “Demikian juga, Bapaku yang di syurga tidak ingin seorang pun daripada muridku yang bagaikan anak kecil sesat.”​—Matius 18:10, 14.

Yesus mungkin terfikir tentang para rasul yang bertengkar tentang siapa yang terbesar, maka dia berkata, “Hendaklah kamu memiliki garam dalam diri kamu, dan teruslah berdamai dengan satu sama lain.” (Markus 9:50) Garam membuat makanan lebih enak. Kata-kata yang dibubuhi “garam” juga lebih enak didengar dan dapat menjaga kedamaian.​—Kolose 4:6.

Kemudian Yesus mengajar mereka cara menangani masalah serius yang mungkin timbul. Dia berkata, “Jika saudara kamu berdosa terhadap kamu, pergilah kepadanya dan nyatakan kesilapannya antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mendengarkan kamu, kamu sudah membantu saudaramu kembali ke pangkal jalan.” Bagaimana pula jika dia tidak mendengar? Yesus berkata, “Bawalah satu atau dua orang bersama-samamu, kerana setiap perkara dapat disahkan dengan adanya keterangan dua atau tiga orang saksi.” Jika dia masih enggan mendengar, mereka patut ‘memaklumkan sidang,’ iaitu memberitahu para penatua agar mereka dapat membuat keputusan. Tetapi bagaimana pula jika dia masih berdegil? Yesus berkata, “Anggaplah dia sebagai orang daripada bangsa-bangsa lain dan pemungut cukai,” iaitu mereka tidak patut bergaul dengan orang itu.​—Matius 18:15-17.

Para penatua perlu mematuhi Firman Tuhan. Jika mereka mendapati bahawa seorang ahli sidang berdosa dan memerlukan tegur ajar, hukuman yang dibuat oleh mereka “sudah diikat di syurga.” Tetapi jika mereka mendapati bahawa orang itu tidak bersalah, hukuman yang dibuat oleh mereka “sudah dilepaskan di syurga.” Arahan ini banyak membantu sidang Kristian. Selain itu, Yesus berkata, “Apabila dua atau tiga orang berkumpul atas namaku, aku akan ada bersama-sama mereka.”​—Matius 18:18-20.

  • Mengapakah lelaki yang mengusir roh jahat itu bukanlah penentang Yesus?

  • Mengapakah kita tidak patut menyebabkan saudara atau saudari kita tersandung? Apakah perumpamaan yang digunakan oleh Yesus untuk menunjukkan hal ini?

  • Menurut Yesus, apakah yang perlu kita lakukan jika seorang saudara berbuat dosa?

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi