PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • jy bab 86 ms. 200-ms. 203 per. 6
  • Anak yang Sesat Kembali

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Anak yang Sesat Kembali
  • Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • ANAK YANG SESAT KEMBALI
  • Yesus Rela Membantu Orang Mengenal Bapanya
    Menara Pengawal—2012
  • Bersukacita apabila Seorang Pendosa Bertaubat
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
  • Yehuwa, Bapa Kita, Amat Mengasihi Kita
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Adakah Anda ‘Memahami Maksudnya’?
    Menara Pengawal—2014
Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
jy bab 86 ms. 200-ms. 203 per. 6
Seorang bapa memeluk anaknya

BAB 86

Anak yang Sesat Kembali

LUKAS 15:11-32

  • PERUMPAMAAN TENTANG ANAK YANG SESAT

Barangkali Yesus telah menceritakan perumpamaan tentang bebiri yang sesat dan wang perak yang hilang semasa dia berada di Perea, di sebelah timur Sungai Yordan. Kedua-dua perumpamaan itu mengajar kita agar bersukacita apabila seorang pendosa bertaubat dan kembali kepada Tuhan. Orang Farisi dan para jurutulis hukum telah mengkritik Yesus kerana dia bergaul dengan orang sedemikian. Tetapi adakah mereka memahami pengajaran yang terkandung dalam dua perumpamaan itu? Adakah mereka mengetahui pandangan Tuhan terhadap pendosa yang bertaubat? Sekarang Yesus menceritakan satu lagi perumpamaan yang menekankan pengajaran yang penting itu.

Anak bongsu meminta bapanya untuk membahagikan harta

Perumpamaan yang diceritakan oleh Yesus mengisahkan seorang bapa dan dua orang anak lelakinya. Anak bongsu ialah watak utama dalam cerita ini. Orang Farisi, para jurutulis hukum, dan orang lain yang sedang mendengar perumpamaan Yesus, pasti memperoleh iktibar daripada anak bongsu ini. Tetapi bapa dan anak sulung juga memberikan pengajaran yang berharga. Maka fikirkanlah kata-kata dan sikap ketiga-tiga watak ini seraya kita mendengar cerita ini.

Yesus berkata, “Seorang lelaki mempunyai dua orang anak lelaki. Yang bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berikanlah harta bahagian saya.’ Lalu bapanya membahagikan hartanya antara kedua-dua orang anaknya.” (Lukas 15:11, 12) Perhatikanlah bahawa anak bongsu ini meminta harta warisannya meskipun bapanya belum meninggal. Dia ingin mendapat hartanya sekarang supaya dia bebas dan dapat berbuat sesuka hati tanpa dikongkong. Apakah yang dilakukannya?

Anak yang sesat makan, minum, dan dikelilingi wanita

Yesus berkata, “Beberapa hari kemudian, anak bongsu itu mengumpulkan semua barangnya dan mengembara ke sebuah negeri yang jauh. Di sana, dia memboroskan harta miliknya dan hidup berfoya-foya.” (Lukas 15:13) Anak ini tidak terus tinggal bersama bapanya yang penyayang dan yang menjaga keperluan hidupnya. Sebaliknya dia pergi ke negeri asing. Di sana, dia menghabiskan semua hartanya untuk berfoya-foya. Akibatnya dia hidup susah.

Yesus menyambung, “Setelah dia memboroskan semua hartanya, kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu dan dia terpaksa hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Dia bahkan pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu yang menyuruh dia menjaga kawanan babi di ladangnya. Dia teringin mengisi perutnya dengan makanan babi, tetapi tiada seorang pun yang memberinya apa-apa untuk dimakan.”​—Lukas 15:14-16.

Anak yang sesat duduk di bawah pokok sambil memerhatikan babi yang sedang makan

Menurut Hukum Tuhan, babi ialah binatang yang najis, tetapi anak ini menjaga kawanan babi. Dia sangat lapar sehingga ingin memakan makanan babi. Akhirnya dia insaf dan berkata, “Bapaku mengupah banyak orang dan mereka berlimpah-limpah dengan roti sedangkan aku hampir mati kelaparan di sini! Aku akan berangkat dan pergi kepada bapaku lalu berkata kepadanya, ‘Ayah, saya sudah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. Saya tidak layak lagi dipanggil anak ayah. Jadikanlah saya orang gaji ayah.’” Maka dia bangun dan pulang kepada bapanya.​—Lukas 15:17-20.

Apakah reaksi bapa dalam perumpamaan ini? Adakah dia akan memarahi anaknya? Adakah dia akan menghalau anaknya? Bagaimana pula dengan anda? Apakah reaksi anda jika anak anda yang sesat ingin kembali?

ANAK YANG SESAT KEMBALI

Yesus berkata, “Apabila bapanya nampak dia dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya.” (Lukas 15:20) Biarpun bapa ini tahu bahawa anaknya telah berbuat salah, dia masih mengalu-alukan kepulangan anaknya. Bapa kita yang di syurga juga menyambut pendosa yang telah bertaubat. Tetapi adakah para pemimpin orang Yahudi, yang mendakwa bahawa mereka menyembah Yehuwa, memahami hal ini? Adakah mereka sedar bahawa Yesus sedang meniru sifat Bapanya itu?

Daripada raut wajah anaknya yang sedih, bapa ini tahu bahawa anaknya telah bertaubat, dan dia menyambut kepulangan anaknya dengan gembira. Hal ini memudahkan anaknya untuk mengakui kesalahannya. Yesus berkata, “Kemudian, anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, saya telah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. Saya tidak lagi layak disebut anak ayah.’”​—Lukas 15:21.

Bapa ini menyuruh hamba-hambanya, “Cepat! Bawalah jubah yang terbaik dan kenakanlah jubah itu padanya. Pakaikan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Bawa dan sembelihlah anak lembu yang gemuk dan marilah kita makan dan berpesta, kerana anakku ini mati tetapi dia telah hidup semula, dan dia hilang tetapi sudah ditemui.” Maka mereka mula bersukacita.​—Lukas 15:22-24.

Seorang bapa bercakap dengan anak sulungnya

Berkenaan anak yang sulung, Yesus berkata, “Pada masa itu, anaknya yang sulung berada di ladang. Semasa dia dalam perjalanan pulang dan berada tidak jauh dari rumahnya, dia terdengar bunyi muzik dan tari-tarian. Maka dia memanggil salah seorang hamba untuk bertanya tentang apa yang sedang berlaku. Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan sudah kembali. Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana adik tuan sudah kembali dalam keadaan yang sihat.’ Mendengar hal ini, dia menjadi marah dan enggan masuk ke dalam rumah. Lalu bapanya keluar dan menasihatinya. Tetapi dia berkata kepada bapanya, ‘Lihatlah! Sudah bertahun-tahun saya bekerja seperti hamba untuk ayah dan saya tidak pernah mengingkari perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada saya supaya saya boleh bersukacita bersama sahabat-sahabat saya. Anak ayah itu pula memboroskan segala harta ayah bersama pelacur, tetapi sebaik sahaja dia pulang, ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuk dia.’”​—Lukas 15:25-30.

Para jurutulis hukum dan orang Farisi seperti anak sulung ini. Mereka tidak berbelas kasihan dan enggan membantu orang lain. Mereka bahkan mengkritik Yesus yang berbuat demikian. Sesiapa yang enggan menunjukkan belas kasihan haruslah mengingat perumpamaan ini.

Kemudian Yesus mengakhiri perumpamaannya dengan berkata, ‘Bapa ini berkata kepada anak sulungnya, “Anakku, kamu sentiasa di sisi ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu, tetapi kita harus berpesta dan bergembira kerana adik kamu mati tetapi dia telah hidup semula, dan dia hilang tetapi sudah ditemui.”’​—Lukas 15:31, 32.

Yesus tidak menyebut tentang apa yang dilakukan oleh anak sulung ini. Tetapi selepas Yesus mati dan dibangkitkan, “ramai imam juga mula percaya.” (Kisah 6:7) Mungkin ada antara mereka pernah mendengar tentang perumpamaan anak yang sesat ini. Ya, akhirnya ada antara mereka yang sedar bahawa mereka perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan.

Semua pengikut Yesus patut ingat akan pengajaran daripada perumpamaan ini. Pengajaran pertama ialah kita patut terus berada dalam kalangan umat Tuhan, di bawah jagaan Bapa kita yang pengasih dan yang memenuhi keperluan kita. Kita tidak patut “mengembara ke sebuah negeri yang jauh” untuk mengejar nikmat hidup.

Pengajaran kedua ialah jika kita tersimpang ke haluan yang salah, kita mesti bersikap rendah hati dan kembali kepada Bapa kita.

Pengajaran ketiga ialah kita patut menunjukkan sikap suka mengampuni seperti bapa ini, dan menjauhi sikap suka berdendam yang ditunjukkan oleh anak sulungnya. Ya, para penyembah Tuhan haruslah sudi mengampuni dan mengalu-alukan orang yang bertaubat dan kembali kepada Bapa kita. Kita haruslah bersukacita kerana saudara kita ‘mati tetapi telah hidup semula,’ dan “hilang tetapi sudah ditemui.”

  • Perumpamaan Yesus ditujukan kepada siapa? Mengapa?

  • Siapakah watak utama dalam perumpamaan ini? Apakah yang berlaku kepadanya?

  • Apakah reaksi bapa ini apabila anak bongsunya kembali?

  • Bagaimanakah sikap belas kasihan bapa ini mencerminkan sikap Yehuwa dan Yesus?

  • Bagaimanakah sikap anak sulung ini mencerminkan sikap orang Farisi dan para jurutulis hukum?

  • Apakah pengajaran yang anda peroleh daripada perumpamaan ini?

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi