BAB 131
Yesus Dipakukan pada Tiang Seksaan
MATIUS 27:33-44 MARKUS 15:22-32 LUKAS 23:32-43 YOHANES 19:17-24
YESUS DIPAKUKAN PADA TIANG SEKSAAN
YESUS DICEMUH
YESUS MENJANJIKAN HARAPAN FIRDAUS DI BUMI
Yesus dibawa ke luar kota, iaitu ke Golgota, atau Tempat Tengkorak. Tempat itu dapat dilihat “dari jauh,” dan dua orang perompak akan dihukum mati di situ bersama Yesus.—Markus 15:40.
Pakaian Yesus dan dua orang perompak itu ditanggalkan, lalu mereka diberi wain yang bercampur mur dan bahan pahit untuk diminum. Nampaknya wain itu disediakan sebagai ubat pelali untuk mengurangkan rasa sakit orang yang dihukum mati. Tetapi selepas merasa minuman itu, Yesus enggan meminumnya, kerana dia ingin berfikiran jelas dan berada dalam keadaan sedar sepenuhnya semasa mengharungi cabaran terakhir ini.
Tubuh Yesus direntangkan pada sebatang tiang. (Markus 15:25) Kemudian para askar memakukan tangan dan kakinya pada tiang itu. Paku-paku itu menembusi kulit dan ligamen Yesus. Dia pasti berasa sangat sakit. Apabila tiang itu ditegakkan, kesakitan yang dirasainya bertambah teruk kerana berat tubuhnya akan menyebabkan luka-luka itu menjadi lebih besar. Tetapi Yesus tidak memarahi askar-askar itu. Sebaliknya dia berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.”—Lukas 23:34.
Pilatus membenci orang Yahudi kerana mereka memperalatkannya untuk membunuh Yesus. Maka dia menulis pada sebuah papan, “Yesus, orang Nasaret, Raja orang Yahudi” dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani, lalu meletakkannya di bahagian atas kepala Yesus supaya semua orang dapat membacanya. Setelah melihat tulisan pada papan itu, para ketua imam berasa marah dan berkata, “Janganlah tulis, ‘Raja orang Yahudi,’ tetapi tulislah, ‘Orang ini berkata: Aku Raja orang Yahudi.’” Tetapi Pilatus tidak mahu diperalatkan oleh mereka lagi. Dia berkata, “Apa yang sudah aku tulis muktamad.”—Yohanes 19:19-22.
Mereka marah dan menyebut semula tuduhan palsu yang dibuat oleh mereka semasa perbicaraan Majlis Orang Yahudi. Maka tidak hairanlah orang mula mencemuh Yesus dengan berkata, “Cis, kamu berkata bahawa kamu dapat merobohkan Rumah Tuhan dan membinanya semula dalam masa tiga hari! Selamatkanlah dirimu sendiri dan turunlah dari tiang seksaan itu!” Para ketua imam dan jurutulis hukum juga mentertawakannya dan berkata sesama sendiri, “Biarlah Kristus, Raja orang Israel, turun dari tiang seksaan sekarang supaya kita melihat dan percaya kepadanya.” (Markus 15:29-32) Bahkan perompak-perompak yang dihukum pada tiang bersama Yesus juga menghinanya.
Terdapat empat orang askar Roma yang juga mengejek Yesus. Mereka mungkin telah meminum wain masam, jadi mereka memegang wain itu di hadapan Yesus sambil berkata, “Jika kamu Raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri.” (Lukas 23:36, 37) Betapa kasihannya Yesus! Dia ialah jalan, kebenaran, dan kehidupan, tetapi kini dia dicemuh dan diseksa. Namun dia mengharungi semua ini tanpa menghina orang Yahudi di situ, askar Roma yang mencemuhnya, atau dua orang penjenayah yang dihukum bersamanya.
Askar-askar Roma itu telah mengambil jubah luar Yesus lalu membahagikannya menjadi empat bahagian. Kemudian mereka membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka juga mengambil jubah dalamnya. Tetapi jubah dalamnya bermutu tinggi dan “diperbuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan.” Maka mereka berkata, “Janganlah kita mengoyakkan jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan siapa yang patut memilikinya.” Dengan demikian, apa yang tertulis menjadi kenyataan: “Mereka membahagi-bahagikan jubah luarku dan membuang undi untuk jubah dalamku.”—Yohanes 19:23, 24; Mazmur 22:18.
Salah seorang perompak sedar bahawa Yesus memang seorang raja, maka dia berkata kepada perompak yang seorang lagi, “Adakah kamu tidak takut sama sekali kepada Tuhan? Kamu pun menerima hukuman yang sama dengannya. Hukuman yang kita terima adil dan setimpal dengan semua perbuatan kita, tetapi lelaki ini tidak membuat apa-apa yang salah.” Kemudian dia merayu Yesus, “Ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.”—Lukas 23:40-42.
Yesus menjawabnya, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” Perhatikan bahawa Yesus menyebut tentang Firdaus, dan bukan Kerajaannya. (Lukas 23:43) Janji ini berbeza dengan apa yang dijanjikannya kepada para rasul, iaitu mereka akan duduk di atas takhta bersamanya dalam Kerajaannya. (Matius 19:28; Lukas 22:29, 30) Perompak itu mungkin pernah mendengar tentang Firdaus yang diberikan Yehuwa kepada Adam, Hawa, dan keturunan mereka. Jadi sekarang meskipun dia akan mati, dia boleh menantikan harapan ini.