PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 11 ms. 116-122
  • Tempat-Tempat Ibadat Kita

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Tempat-Tempat Ibadat Kita
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • DEWAN PERJUMPAAN
  • PEMBINAAN DEWAN PERJUMPAAN
  • DEWAN PERHIMPUNAN
  • Inilah Tempat Ibadat Kita
    Menara Pengawal—2015
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 11 ms. 116-122

BAB 11

Tempat-Tempat Ibadat Kita

PARA penyembah Yehuwa yang sejati disuruh berkumpul agar mereka dapat diajar dan dapat saling menggalakkan. (Ibr. 10:23-25) Tempat ibadat pertama yang digunakan oleh orang Israel ialah “khemah suci, iaitu khemah pertemuan.” (Kel. 39:32, 40) Kemudian, Salomo anak Daud telah membina sebuah rumah untuk memuliakan Tuhan. (1 Raj. 9:3) Selepas bangunan itu dibinasakan pada tahun 607 SM, orang Yahudi berkumpul di rumah ibadat untuk menyembah Tuhan. Apabila Rumah Tuhan dibina semula, tempat itu menjadi pusat ibadat sejati sekali lagi. Yesus mengajar orang di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, dan dia bahkan pernah mengadakan perjumpaan di atas gunung.​—Mat. 5:1–7:29; Luk. 4:16; Yoh. 18:20.

2 Selepas kematian Yesus, orang Kristian berkumpul di tempat awam dan di rumah rakan seiman untuk belajar Ayat-Ayat Suci dan menikmati pergaulan. (Kis. 19:8, 9; Rm. 16:3, 5; Kol. 4:15; Flm. 2) Ada kalanya, orang Kristian zaman dahulu perlu berkumpul di tempat yang terpencil supaya tidak diketahui para penganiaya. Jelaslah, hamba-hamba Tuhan pada masa lampau teringin sekali berkumpul di tempat ibadat untuk ‘diajar oleh Yehuwa.’​—Yes. 54:13.

3 Pada zaman ini, perjumpaan Kristian diadakan di tempat awam dan di rumah rakan seiman. Biasanya, rumah saudara saudari digunakan untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Orang yang menawarkan rumah mereka untuk perjumpaan sebegini berbesar hati untuk berbuat demikian, dan berasa bahawa hal ini telah membawa manfaat kepada mereka secara rohani.

DEWAN PERJUMPAAN

4 Dewan Perjumpaan merupakan tempat utama Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan pertemuan. Biasanya, organisasi Tuhan akan membeli tanah untuk membina Dewan Perjumpaan atau membeli bangunan yang sedia ada untuk diubah suai. Untuk menjimatkan kos dan menggunakan bangunan kita dengan sebaik-baiknya, beberapa sidang akan berkongsi sebuah Dewan Perjumpaan jika sesuai. Di sesetengah tempat, kita mungkin perlu menyewa dewan untuk mengadakan perjumpaan. Program pentahbisan akan diadakan untuk semua Dewan Perjumpaan yang baharu. Program pentahbisan juga akan diadakan jika Dewan Perjumpaan yang sedia ada diubah suai secara besar-besaran. Namun, jika Dewan Perjumpaan yang sedia ada menjalani pengubahsuaian yang kecil sahaja, program pentahbisan tidak perlu diadakan.

5 Dewan Perjumpaan bukanlah bangunan mewah yang bertujuan membuat orang lain berasa kagum. Rekaannya mungkin berbeza dari tempat ke tempat, tetapi tujuannya selalu praktikal. (Kis. 17:24) Menurut keadaan tempatan, Dewan Perjumpaan haruslah selesa dan terletak di kawasan yang sesuai.

6 Perbelanjaan untuk Dewan Perjumpaan, seperti kos penggunaan dan penyelenggaraan, dibiayai menerusi sumbangan daripada semua sidang yang menggunakan dewan itu. Kita tidak membuat pungutan wang atau meminta derma. Sebaliknya, peti sumbangan disediakan supaya hadirin dapat memberikan sumbangan dengan rela dan ikhlas untuk membiayai perbelanjaan dewan.​—2 Kor. 9:7.

7 Semua ahli sidang berbesar hati untuk memberikan sumbangan supaya perbelanjaan Dewan Perjumpaan dapat dibiayai. Mereka juga rela menawarkan diri untuk menyelenggarakan dan membersihkan Dewan Perjumpaan. Seorang penatua atau pembantu sidang biasanya akan membuat jadual untuk tugas-tugas ini. Secara amnya, kerja pembersihan dilakukan secara bergilir-gilir oleh kumpulan aktiviti penyebaran dan diketuai oleh penyelia kumpulan atau pembantunya. Tidak kira di luar ataupun di dalam, Dewan Perjumpaan harus mengharumkan nama Yehuwa dan organisasi-Nya.

Semua ahli sidang berbesar hati untuk memberikan sumbangan supaya perbelanjaan Dewan Perjumpaan dibiayai. Mereka juga rela menawarkan diri untuk menyelenggarakan dan membersihkan Dewan Perjumpaan

8 Jika sebuah dewan digunakan oleh beberapa sidang, para penatua daripada sidang-sidang tersebut akan menubuhkan Jawatankuasa Pengendalian Dewan Perjumpaan dan memilih seorang saudara sebagai koordinator jawatankuasa pengendalian. Jawatankuasa itu berkhidmat di bawah arahan badan-badan penatua dan mengaturkan hal-hal yang berkaitan dengan Dewan Perjumpaan. Jawatankuasa itu memastikan agar Dewan Perjumpaan sentiasa bersih, diselenggarakan dengan baik, dan mempunyai peralatan dan barang yang diperlukan. Untuk berbuat demikian, sidang-sidang harus bekerjasama dengan erat.

9 Apabila beberapa sidang berkongsi sebuah Dewan Perjumpaan, sidang-sidang itu mungkin perlu menukar jadual perjumpaan dari masa ke masa. Semasa menentukan jadual perjumpaan, ingatlah bahawa satu sidang tidak patut membuat keputusan bagi sidang lain. Sebaliknya, penatua daripada semua sidang akan menunjukkan kasih dan mengutamakan keperluan satu sama lain. (Flp. 2:2-4; 1 Ptr. 3:8) Semasa penyelia litar mengunjungi salah satu sidang, sidang-sidang lain akan mengubah masa perjumpaan mereka menurut keperluan sidang itu.

10 Dewan Perjumpaan boleh digunakan untuk ceramah perkahwinan dan pengebumian dengan adanya persetujuan daripada Jawatankuasa Sidang. Jawatankuasa ini akan mempertimbangkan permohonan yang dibuat dan membuat keputusan berdasarkan arahan pejabat cawangan.

11 Orang yang diizinkan untuk menggunakan Dewan Perjumpaan bagi ceramah perkahwinan atau pengebumian harus memastikan agar kelakuan mereka sesuai bagi orang Kristian sejati. Semasa di Dewan Perjumpaan, mereka tidak boleh melakukan apa-apa yang akan menyinggung perasaan ahli sidang, mengaibkan Yehuwa, atau merosakkan nama baik sidang. (Flp. 2:14, 15) Di bawah arahan pejabat cawangan, Dewan Perjumpaan juga boleh digunakan untuk program-program rohani yang lain, seperti Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik dan Sekolah Latihan Perintis.

12 Semua orang dalam sidang akan sentiasa bersikap hormat terhadap tempat yang digunakan untuk perjumpaan. Ibadat Yehuwa merupakan sesuatu yang mulia, maka pakaian, dandanan, dan kelakuan kita harus mencerminkan hal itu. (Pkh. 5:1; 1 Tim. 2:9, 10) Jika kita mematuhi nasihat yang diberikan dalam hal tersebut, kita menunjukkan bahawa kita menghormati perjumpaan kita.

13 Perjumpaan harus berlangsung dengan tertib. Sebaik-baiknya, anak-anak harus duduk bersama ibu bapa. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil mungkin perlu membawa anak mereka keluar untuk memberi anak mereka disiplin atau untuk keperluan lain. Maka, mereka boleh digalakkan agar duduk di tempat yang sesuai supaya tidak mengganggu hadirin lain.

14 Saudara-saudara yang memenuhi syarat akan ditugaskan sebagai atendan semasa perjumpaan. Mereka harus peka, ramah, dan mempunyai pertimbangan yang baik. Tugas mereka termasuk mengalu-alukan orang baharu dan membuat mereka berasa selesa, membantu orang yang datang lewat untuk mencari tempat duduk, mencatatkan jumlah hadirin, dan memastikan suhu dan pengudaraan dewan sentiasa sesuai. Jika perlu, atendan akan mengingatkan ibu bapa untuk mengawasi anak-anak, supaya mereka tidak berlari di dalam dewan sebelum atau selepas perjumpaan, atau bermain di atas pentas. Sekiranya terdapat anak yang susah dikawal, atendan mungkin akan meminta ibu bapanya dengan sopan untuk membawa anak itu keluar, supaya hadirin tidak diganggu. Usaha para atendan membolehkan hadirin menikmati perjumpaan. Seboleh-bolehnya, atendan haruslah merupakan penatua dan pembantu sidang.

PEMBINAAN DEWAN PERJUMPAAN

15 Pada abad pertama, terdapat orang Kristian yang lebih kaya daripada orang Kristian lain. Maka Rasul Paulus menulis, “Kelebihan kamu sekarang dapat memenuhi kekurangan mereka, dan supaya kelebihan mereka juga dapat memenuhi kekurangan kamu kelak. Dengan itu, tanggungan yang dipikul menjadi sama rata.” (2 Kor. 8:14) Hal yang sama berlaku pada hari ini. Sumbangan daripada sidang-sidang di serata dunia dikumpulkan untuk membiayai kos membina dan mengubah suai Dewan Perjumpaan. Kemurahan hati saudara saudari di serata dunia amat dihargai oleh organisasi Tuhan dan oleh sidang-sidang yang dibantu menerusi sumbangan itu.

16 Pejabat cawangan menentukan Dewan Perjumpaan yang akan digunakan oleh setiap sidang di sesebuah kawasan. Pejabat cawangan juga memutuskan tempat dan masa untuk membina Dewan Perjumpaan atau untuk mengubah suai dewan yang sedia ada. Ketika bencana terjadi, aturan dibuat untuk membaiki Dewan Perjumpaan yang rosak, dan ada kalanya untuk membaiki rumah saudara saudari.

17 Pejabat cawangan akan mengaturkan pekerja sukarela untuk membantu membeli tanah, menyediakan rekaan Dewan Perjumpaan, mendapatkan permit pembinaan, melakukan projek pembinaan, dan membuat kerja penyelenggaraan. Oleh sebab banyak Dewan Perjumpaan diperlukan di banyak negara, lebih ramai pekerja sukarela diperlukan. Semua penyiar terbaptis yang memenuhi syarat dan yang ingin membantu, digalakkan untuk mengisi borang dan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Sidang. Penyiar yang belum dibaptis juga boleh membantu untuk membina atau mengubah suai Dewan Perjumpaan sidang mereka.

DEWAN PERHIMPUNAN

18 Orang Kristian zaman dahulu biasanya berhimpun dalam kumpulan kecil. Namun, ada kalanya “banyak orang” akan berhimpun. (Kis. 11:26) Hari ini, umat Yehuwa juga berkumpul secara beramai-ramai untuk menghadiri perhimpunan litar dan konvensyen serantau. Mereka sering menyewa dewan untuk tujuan itu, tetapi jika tempat yang sesuai tidak dijumpai, mereka mungkin perlu mendapatkan Dewan Perhimpunan sendiri.

19 Ada masanya, bangunan yang sedia ada akan dibeli lalu diubah suai menjadi Dewan Perhimpunan. Namun, biasanya sebidang tanah akan dibeli untuk membina Dewan Perhimpunan. Saiz dewan itu berbeza-beza mengikut keperluan tempatan. Sebelum memutuskan untuk membeli atau membina Dewan Perhimpunan, pejabat cawangan akan mengira kosnya dengan teliti dan mempertimbangkan kekerapan penggunaannya.

20 Pejabat cawangan akan melantik saudara-saudara untuk mengurus dan menyelenggarakan Dewan Perhimpunan. Aturan akan dibuat supaya sidang-sidang dalam litar melakukan pembersihan secara tetap, pembersihan menyeluruh setiap enam bulan, dan penyelenggaraan dewan. Saudara saudari yang menawarkan diri untuk melakukan kerja-kerja ini akan meraih banyak manfaat. Maka sidang-sidang digalakkan untuk menyokong semua aturan ini dengan sedaya upaya.​—Mzm. 110:3; Mal. 1:10.

21 Ada kalanya, Dewan Perhimpunan mungkin digunakan untuk acara rohani yang lain, seperti sekolah-sekolah Bible, perjumpaan istimewa untuk penyelia litar, atau perjumpaan istimewa untuk para penatua dalam litar. Seperti Dewan Perjumpaan, Dewan Perhimpunan merupakan tempat yang dikhaskan untuk ibadat. Maka, semasa kita berkumpul di Dewan Perhimpunan, kita harus menjaga kelakuan, pakaian, dan dandanan kita, seperti yang kita lakukan semasa berkumpul untuk menyembah Tuhan di Dewan Perjumpaan.

22 Pada penghujung hari-hari terakhir, semakin ramai orang baharu menyertai organisasi Tuhan. Hal ini merupakan bukti akan berkat Yehuwa. (Yes. 60:8, 10, 11, 22) Oleh itu, kita ingin menyokong aturan organisasi Tuhan untuk mendapatkan tempat ibadat dan menjaganya agar tetap bersih dan selesa. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita menghargai tempat-tempat ibadat yang membantu kita menggalakkan satu sama lain sementara kita menantikan hari Yehuwa yang semakin mendekat.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi