PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 12 ms. 123-129
  • Menyokong Kegiatan Kerajaan Tuhan di Serata Dunia

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Menyokong Kegiatan Kerajaan Tuhan di Serata Dunia
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MENGURUS PERBELANJAAN KERJA PENYEBARAN SEDUNIA
  • MENGURUS PERBELANJAAN SIDANG TEMPATAN
  • MENGURUS WANG SUMBANGAN
  • PERBELANJAAN LITAR
  • MEMBANTU ORANG MISKIN
  • PENGEDARAN BAHAN BACAAN
  • Cara Kegiatan Kerajaan Tuhan Dibiayai
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Penyelia yang Menggembala Kawanan
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Cara-Cara untuk Meluaskan Khidmat Anda
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Mengapakah Kita Perlu Memberi kepada Dia yang Memiliki Segala-galanya?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 12 ms. 123-129

BAB 12

Menyokong Kegiatan Kerajaan Tuhan di Serata Dunia

SELARAS dengan nubuat Yesus tentang hari-hari terakhir, Saksi-Saksi Yehuwa telah menyebarkan berita baik “sampai ke hujung bumi.” (Kis. 1:8; Mat. 24:14) Mereka rela mengorbankan masa dan tenaga untuk melakukan kerja ini dan terus mengutamakan Kerajaan Tuhan. Sebagai rakan sekerja Yehuwa, mereka yakin bahawa Dia pasti menjaga keperluan mereka. (Mat. 6:25-34; 1 Kor. 3:5-9) Hasil yang diraih membuktikan bahawa Yehuwa menghargai dan memberkati usaha mereka.

MENGURUS PERBELANJAAN KERJA PENYEBARAN SEDUNIA

2 Kita menggunakan pelbagai cara untuk menginjil, dan kita mengedarkan Bible dan bahan bacaan Bible dengan percuma. Sesetengah orang berasa hal ini mustahil dan bertanya, “Bagaimana semua ini dilakukan?” Memang benar, kita memerlukan wang untuk mencetak dan menghasilkan Bible serta bahan bacaan Bible. Wang juga diperlukan untuk membina dan menyelenggarakan bangunan Bethel yang menjadi kediaman para pekerja sukarela yang mengendalikan mesin cetak, menyelia kerja penyebaran, dan yang melakukan tugas lain untuk menyokong kerja penyebaran. Selain itu, penyelia litar, mubaligh, perintis khas, dan pekhidmat khas sepenuh masa yang lain, diberi bantuan kewangan supaya mereka dapat terus berkhidmat. Jelaslah, kerja penyebaran sedunia melibatkan perbelanjaan yang besar. Dari mana datangnya wang itu?

3 Ramai orang sudi menderma kerana mereka menghargai kerja pendidikan Bible sedunia yang dijalankan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Namun sebahagian besar kerja kita disokong oleh saudara saudari kita. Ada antara mereka yang mengirim sumbangan terus kepada pejabat cawangan tempatan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka menunjukkan sikap seperti hamba-hamba Tuhan dahulu yang memberi dengan murah hati untuk menyokong kerja pembinaan tempat ibadat Yehuwa. (Kel. 35:20-29; 1 Taw. 29:9) Sesetengah sumbangan agak besar, contohnya harta yang diberikan melalui wasiat. Ada juga sumbangan yang lebih kecil, yang diberikan oleh saudara saudari, sidang, atau litar. Semua pemberian itu membolehkan kerja penyebaran terus dijalankan.

Saksi-Saksi Yehuwa berbesar hati untuk menyokong kerja penyebaran dengan menyumbangkan wang atau harta milik mereka

4 Saksi-Saksi Yehuwa berbesar hati untuk menyokong kerja penyebaran dengan menyumbangkan wang atau harta milik mereka. Yesus dan murid-muridnya mempunyai peti wang, dan hal ini menunjukkan bahawa mereka diberi bantuan kewangan untuk membiayai perbelanjaan mereka. (Yoh. 13:29) Bible menyatakan bahawa ada wanita-wanita yang menggunakan harta milik mereka untuk menolong Yesus dan murid-muridnya. (Mrk. 15:40, 41; Luk. 8:3) Apabila saudara saudari yang pengasih mengirim bantuan kepada Rasul Paulus kerana ingin menyokong kerja penyebaran dan menolongnya melaksanakan tugasnya, dia menerima pemberian mereka dengan senang hati. (Flp. 4:14-16; 1 Tes. 2:9) Saksi-Saksi Yehuwa meniru orang pada zaman lampau yang berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan yang memberi dengan murah hati. Hasilnya, orang yang berhati jujur di serata bumi dapat menerima ‘air kehidupan dengan percuma.’​—Why. 22:17.

MENGURUS PERBELANJAAN SIDANG TEMPATAN

5 Perbelanjaan sidang tempatan juga dibiayai melalui sumbangan sukarela. Kita tidak mengadakan pungutan wang, kutipan derma, atau menetapkan jumlah wang yang harus diberikan oleh setiap orang. Peti sumbangan disediakan di tempat perjumpaan agar setiap orang dapat memberikan apa yang “diputuskan dalam hati masing-masing.”​—2 Kor. 9:7.

6 Wang yang disumbangkan digunakan terutamanya untuk menutupi kos penggunaan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan. Badan penatua juga boleh memutuskan untuk mengirim sejumlah wang kepada pejabat cawangan untuk menyokong kerja sedunia. Jika begitu, mereka boleh membuat resolusi untuk mendapat persetujuan sidang. Dengan cara ini, banyak sidang dapat memberikan sumbangan untuk kerja sedunia secara tetap. Apabila saudara saudari peka terhadap keperluan sidang tempatan, pengumuman tentang mengumpulkan sumbangan tidak perlu selalu dibuat.

MENGURUS WANG SUMBANGAN

7 Selepas setiap perjumpaan, dua orang saudara akan mengeluarkan wang daripada peti sumbangan dan mencatatkan jumlahnya. (2 Raj. 12:9, 10; 2 Kor. 8:20) Badan penatua akan mengaturkan agar wang itu disimpan dengan baik sebelum dihantar kepada pejabat cawangan atau digunakan untuk keperluan sidang. Saudara yang menjaga akaun sidang akan menyediakan laporan untuk dibacakan kepada sidang setiap bulan. Koordinator badan penatua akan mengaturkan supaya audit bagi akaun sidang dilakukan setiap tiga bulan.

PERBELANJAAN LITAR

8 Perbelanjaan litar, contohnya kos untuk mengadakan perhimpunan dan juga perbelanjaan lain, akan dibiayai oleh sumbangan daripada Saksi-Saksi dalam litar. Peti sumbangan disediakan di dalam Dewan Perhimpunan supaya hadirin dapat memberikan sumbangan untuk dana litar. Selain itu, sidang-sidang mungkin memberikan sumbangan pada masa lain untuk membiayai perbelanjaan litar.

9 Sebaik-baiknya, setiap litar harus dapat membiayai perbelanjaan yang diperlukan dan mendermakan wang yang selebihnya kepada kerja sedunia. Sekiranya baki dalam akaun litar tidak dapat membiayai perbelanjaan perhimpunan yang sedang dijalankan, atau tidak cukup untuk membiayai kos persiapan bagi perhimpunan berikutnya, misalnya deposit untuk menyewa dewan, penyelia litar mungkin perlu menggalakkan sidang-sidang untuk memberikan sumbangan. Setiap badan penatua akan membincangkan jumlah yang dapat diberikan oleh sidang kepada dana litar. Kemudian mereka akan membuat resolusi untuk diluluskan oleh sidang.

10 Jika terdapat isu kewangan yang perlu dimaklumkan kepada semua penatua di litar, satu mesyuarat akan diadakan pada hari perhimpunan litar. Semua keputusan yang melibatkan penggunaan dana litar, kecuali perbelanjaan tertentu, harus dikemukakan sebagai resolusi untuk diluluskan oleh para penatua. Jumlahnya harus dinyatakan dengan tepat dalam resolusi.

11 Aturan akan dibuat supaya akaun litar diaudit secara tetap.

MEMBANTU ORANG MISKIN

12 Salah satu tujuan Yesus dan murid-muridnya membawa peti wang adalah untuk membantu orang miskin. (Mrk. 14:3-5; Yoh. 13:29) Orang Kristian hari ini mempunyai tanggungjawab yang sama, kerana Yesus berkata, “Orang miskin sentiasa ada bersama kamu.” (Mrk. 14:7) Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa melaksanakan tanggungjawab itu?

13 Ada kalanya, ahli sidang yang setia mungkin memerlukan bantuan kebendaan akibat usia lanjut, masalah kesihatan, atau situasi yang di luar kawalan mereka. Ahli keluarga, saudara-mara, dan orang lain yang mengetahui keperluan mereka mungkin ingin menghulurkan bantuan. Hal ini selaras dengan kata-kata Rasul Yohanes: “Jika ada sesiapa yang mampu menyara kehidupan sendiri dan melihat saudaranya memerlukan bantuan tetapi enggan berbelas kasihan terhadapnya, dapatkah kita mengatakan bahawa orang itu mengasihi Tuhan? Anak-anak yang dikasihi, pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir, sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.” (1 Yoh. 3:17, 18; 2 Tes. 3:6-12) Apabila rakan seiman yang setia memerlukan bantuan kebendaan, para penganut ibadat sejati harus menjaga keperluan mereka.​—Yak. 1:27; 2:14-17.

14 Di 1 Timotius 5:3-21, Paulus menjelaskan cara untuk memberikan bantuan kebendaan kepada mereka yang layak. Setiap orang Kristian diberi tanggungjawab utama untuk menjaga keperluan rumah tangga sendiri. Orang yang lanjut usia atau yang mempunyai masalah kesihatan harus dibantu oleh anak, cucu, atau saudara-mara mereka terlebih dahulu. Ada kalanya, pihak kerajaan atau badan kebajikan menawarkan bantuan kebendaan, jadi saudara-mara mereka atau orang lain mungkin dapat menolong mereka memohon bantuan sebegini. Namun, ada masanya sidang perlu memikirkan cara untuk membantu saudara saudari yang sudah lama berkhidmat. Sekiranya tidak ada ahli keluarga atau saudara-mara yang dapat membantu mereka, dan tidak ada bantuan daripada pihak kerajaan, badan penatua boleh membuat aturan untuk membantu mereka. Orang Kristian berbesar hati untuk mengongsi harta milik mereka dengan orang yang memerlukan bantuan.

15 Ramai saudara saudari mungkin memerlukan bantuan akibat penganiayaan, peperangan, gempa bumi, banjir, kebuluran, atau kerana bencana lain yang sering terjadi pada hari-hari terakhir. (Mat. 24:7-9) Sidang-sidang di kawasan yang sama mungkin tidak dapat membantu satu sama lain, maka Badan Pimpinan akan mengaturkan supaya saudara saudari di tempat lain membantu mereka. Itulah yang terjadi semasa kebuluran berlaku di Yudea pada abad pertama. Orang Kristian di Asia Kecil telah menyediakan makanan untuk rakan seiman mereka di Yudea. (1 Kor. 16:1-4; 2 Kor. 9:1-5) Dengan mengikut teladan mereka, kita membuktikan bahawa kita mengasihi saudara saudari dan merupakan pengikut sejati Yesus Kristus.​—Yoh. 13:35.

PENGEDARAN BAHAN BACAAN

16 Bible dan bahan bacaan Bible amat penting untuk menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan. Biasanya, badan penatua akan menugaskan seorang pembantu sidang untuk mengurus bahan bacaan. Saudara-saudara yang diberi tugas itu memandang serius tanggungjawab mereka. Mereka menyimpan rekod yang baik supaya sidang sentiasa memiliki bahan bacaan yang mencukupi.

17 Sebagai orang Kristian yang telah membaktikan diri, kita sedar bahawa waktu, akal, kebolehan, bakat, harta, dan bahkan nyawa kita, merupakan kurniaan Tuhan yang patut digunakan untuk berkhidmat kepada-Nya. (Luk. 17:10; 1 Kor. 4:7) Jika kita menggunakan semua itu dengan sebaik-baiknya, kita menunjukkan betapa dalamnya kasih kita untuk Yehuwa. Kita mahu memuliakan Yehuwa dengan memberi-Nya segala milik kita yang berharga. Yehuwa pasti senang hati apabila kita memberi-Nya sesuatu kerana mengasihi-Nya dengan sepenuh jiwa. (Ams. 3:9; Mrk. 14:3-9; Luk. 21:1-4; Kol. 3:23, 24) Yesus berkata, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.” (Mat. 10:8) Apabila kita rela memberikan apa yang kita miliki untuk berkhidmat kepada Yehuwa, kita akan menuai sukacita yang lebih besar.​—Kis. 20:35.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi