BAB 13
“Lakukanlah Semuanya untuk Memuliakan Tuhan”
SEBAGAI umat Tuhan yang telah membaktikan diri, kata-kata dan perbuatan kita harus sentiasa memuliakan Yehuwa. Rasul Paulus menyatakan prinsip ini: “Sama ada kamu makan, minum, atau melakukan hal-hal yang lain, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Tuhan.” (1 Kor. 10:31) Maksudnya, kita perlu berpegang pada piawaian Yehuwa yang benar, kerana piawaian itu mencerminkan sifat-sifat-Nya yang sempurna. (Kol. 3:10) Sebagai umat yang suci, kita mesti mengikut teladan Tuhan.—Ef. 5:1, 2.
2 Rasul Petrus menegaskan hal ini semasa dia memberitahu orang Kristian, “Sebagai anak-anak yang patuh, jangan lagi dibentuk oleh keinginan kamu yang dahulu, semasa kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang Tuhan. Tuhan Yang Suci telah memanggil kamu. Maka, hendaklah kamu menjadi suci seperti Dia dalam segala tingkah laku kamu. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Kamu mesti suci, kerana Aku suci.’” (1 Ptr. 1:14-16) Seperti orang Israel zaman kuno, semua orang dalam sidang Kristian harus tetap suci. Mereka tidak boleh dicemari oleh dosa dan hal-hal duniawi. Dengan itu, mereka dapat dikhaskan untuk menjalankan khidmat yang suci.—Kel. 20:5.
3 Untuk tetap suci, kita perlu mematuhi hukum dan prinsip Yehuwa yang tercatat dalam Bible. (2 Tim. 3:16) Setelah mengkaji Bible, kita belajar tentang Yehuwa dan haluan-Nya, lalu terdorong untuk menghampiri-Nya. Kita juga diyakinkan bahawa kita perlu mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak Yehuwa dalam kehidupan kita. (Mat. 6:33; Rm. 12:2) Untuk berbuat demikian, kita perlu mengenakan keperibadian baharu.—Ef. 4:22-24.
KEBERSIHAN ROHANI DAN MORAL
4 Mematuhi piawaian Yehuwa yang benar tidak selalu mudah. Musuh kita, Syaitan Si Iblis, berusaha membuat kita meninggalkan kebenaran. Kita juga perlu bergelut dengan pengaruh buruk dunia ini dan keinginan sendiri yang berdosa. Maka, kita perlu berjuang agar dapat tetap setia kepada Yehuwa. Bible menyatakan bahawa kita tidak patut berasa hairan semasa ditentang atau dicubai, kerana orang yang berbuat benar memang akan dianiaya. (2 Tim. 3:12) Namun, kita dapat bahagia semasa mengalami cubaan, kerana hal itu membuktikan bahawa kita sedang melakukan kehendak Tuhan.—1 Ptr. 3:14-16; 4:12, 14-16.
5 Walaupun Yesus sempurna, dia mempelajari kepatuhan melalui penderitaan yang dialaminya. Dia tidak pernah menginginkan hal-hal duniawi atau menyerah kepada godaan Syaitan. (Mat. 4:1-11; Yoh. 6:15) Dia sama sekali tidak terfikir untuk mengetepikan piawaian Yehuwa. Meskipun dibenci dunia, Yesus tetap setia dan terus mematuhi Yehuwa. Tidak lama sebelum kematiannya, Yesus mengingatkan murid-muridnya bahawa mereka juga akan dibenci oleh dunia. Sejak itu, para pengikut Yesus terus menghadapi kesengsaraan, tetapi mereka dapat tetap teguh kerana tahu bahawa Anak Tuhan telah menakluki dunia.—Yoh. 15:19; 16:33; 17:16.
6 Jika kita tidak ingin menjadi sebahagian daripada dunia, kita perlu menjunjung piawaian Yehuwa yang benar, seperti yang dilakukan Tuan kita. Kita bukan sahaja tidak melibatkan diri dalam isu politik dan sosial dunia, tetapi juga menolak standard moral dunia yang makin merosot. Kita mengikut nasihat di Yakobus 1:21, “Singkirkanlah semua kekotoran dan segala sesuatu yang jahat daripada diri kamu. Dengan rendah hati, izinkanlah Tuhan menanamkan firman-Nya dalam diri kamu kerana firman-Nya dapat menyelamatkan kamu.” Apabila kita mengkaji Bible dan menghadiri perjumpaan, firman Tuhan akan tertanam dalam hati dan minda kita. Dengan itu, kita sama sekali tidak akan menginginkan apa yang ditawarkan oleh dunia ini. Yakobus menulis, “Tidakkah kamu tahu bahawa persahabatan dengan dunia bererti permusuhan dengan Tuhan? Oleh itu, sesiapa yang ingin menjadi sahabat dunia menjadikan dirinya musuh Tuhan.” (Yak. 4:4) Itulah sebabnya Bible memberi kita nasihat yang tegas untuk berpegang pada piawaian Yehuwa dan tetap mengasingkan diri daripada dunia ini.
7 Firman Tuhan mengingatkan kita agar menjauhi kelakuan yang memalukan dan tidak bermoral. Bible menyatakan, “Jangan ada sesiapa pun dalam kalangan kamu yang menyebut tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, ketamakan, atau setiap jenis kenajisan. Hal ini demikian kerana semua itu tidak wajar bagi orang yang suci.” (Ef. 5:3) Oleh itu, kita tidak akan berfikir tentang hal-hal yang lucah, memalukan, atau yang terkutuk. Kita juga tidak akan menyebut hal-hal sebegini semasa berbual. Dengan berbuat demikian, kita membuktikan bahawa kita ingin berpegang pada piawaian moral Yehuwa yang murni dan benar.
KEBERSIHAN JASMANI
8 Selain kebersihan rohani dan moral, orang Kristian juga mementingkan kebersihan jasmani. Pada zaman Israel kuno, Tuhan yang suci menghendaki umat-Nya memastikan agar kawasan perkhemahan sentiasa bersih. Kita juga mesti bersih supaya Yehuwa “tidak melihat apa-apa pun yang najis” dalam diri kita.—Ul. 23:14.
9 Dalam Bible, kesucian dan kebersihan jasmani berkait rapat. Contohnya Paulus menulis, “Saudara-saudara yang dikasihi, . . . marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga. Hendaklah kita takut akan Tuhan supaya kita menjadi suci dengan sepenuhnya.” (2 Kor. 7:1) Maka, lelaki dan wanita Kristian harus sentiasa berusaha menjaga kebersihan tubuh dengan mandi dan membasuh pakaian. Walaupun keadaan setiap negara adalah berbeza, kita biasanya mempunyai sabun dan air yang cukup untuk memastikan agar diri kita dan anak-anak kita tetap bersih.
10 Oleh sebab kita sering memberikan kesaksian, jiran-jiran biasanya mengenal kita. Jadi, jika bahagian dalam dan luar rumah kita sentiasa bersih, kemas, dan rapi, hal itu pun sudah menjadi kesaksian kepada mereka. Seluruh keluarga dapat menyumbang kepada kebersihan rumah. Para saudara harus memberikan perhatian khasnya kepada rumah dan persekitaran rumah mereka, kerana rumah yang kemas dan dijaga dengan baik dapat memberikan tanggapan yang positif kepada orang lain. Ketua keluarga yang berbuat demikian dan mengambil pimpinan dalam hal-hal rohani, menunjukkan bahawa mereka mengurus rumah tangga mereka dengan baik. (1 Tim. 3:4, 12) Para saudari juga ada tanggungjawab sendiri, terutamanya di dalam rumah. (Tit. 2:4, 5) Anak-anak yang dilatih dengan baik akan memastikan agar diri mereka dan bilik mereka bersih dan kemas. Apabila setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dengan baik, mereka dapat memupuk tabiat kebersihan yang sesuai untuk kehidupan dalam dunia baharu di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan.
11 Kini, ramai antara umat Yehuwa menggunakan kenderaan sendiri untuk menghadiri perjumpaan. Di sesetengah tempat, kereta sangat diperlukan untuk menginjil. Kenderaan kita haruslah bersih dan berada dalam keadaan baik. Rumah dan kenderaan, serta Bible dan beg yang kita gunakan untuk menginjil, harus menunjukkan bahawa kita ialah umat Yehuwa yang bersih dan suci.
12 Pakaian dan dandanan kita harus selaras dengan prinsip Tuhan. Semasa kita berjumpa dengan orang kenamaan, kita tentu akan memastikan pakaian kita kemas dan tidak selekeh. Jika begitu, kita patut lebih memperhatikan penampilan diri semasa mewakili Yehuwa di kawasan penyebaran atau di atas pentas! Pakaian dan dandanan kita akan mempengaruhi pandangan orang lain terhadap ibadat kepada Yehuwa, maka apa-apa yang menjolok mata atau yang menyebabkan orang tersandung memang tidak sesuai. (Mi. 6:8; 1 Kor. 10:31-33; 1 Tim. 2:9, 10) Sewaktu kita bersedia untuk menginjil atau menghadiri perjumpaan, perhimpunan, atau konvensyen, ingatlah apa yang dikatakan Bible tentang kebersihan jasmani dan penampilan yang sopan. Kita sentiasa ingin menghormati dan memuliakan Yehuwa.
Sebagai umat Tuhan yang telah membaktikan diri, kata-kata dan perbuatan kita harus sentiasa memuliakan Yehuwa
13 Kita akan mengikut prinsip yang sama semasa melawat ibu pejabat sedunia atau pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa. Ingatlah, nama Bethel bermaksud “Rumah Tuhan.” Oleh itu, semasa melawat Bethel, kita harus berpakaian dan berkelakuan seperti di perjumpaan.
14 Bahkan semasa berekreasi, kita harus memperhatikan pakaian dan dandanan kita. Tanyalah diri, “Adakah pakaian saya akan membuat saya berasa malu untuk memberikan kesaksian tidak formal?”
REKREASI DAN HIBURAN YANG SIHAT
15 Untuk hidup sihat dan seimbang, kita perlu berehat dan berekreasi. Yesus pernah menjemput murid-muridnya untuk pergi ke tempat yang sunyi “untuk berehat.” (Mrk. 6:31) Istirahat dan hiburan serta rekreasi yang sihat dapat menggembirakan dan menyegarkan kita, supaya kita dapat meneruskan kerja kita.
16 Dunia hari ini ada bermacam-macam bentuk rekreasi, maka orang Kristian harus menggunakan kebijaksanaan daripada Tuhan semasa membuat pilihan. Rekreasi itu penting, tetapi bukan hal yang terpenting dalam hidup. Kita diingatkan bahawa pada “hari-hari terakhir,” orang akan “mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan.” (2 Tim. 3:1, 4) Banyak hiburan dan rekreasi hari ini tidak sesuai bagi orang yang ingin berpegang pada piawaian Yehuwa yang benar.
17 Kebanyakan orang pada abad pertama amat mencintai keseronokan. Maka orang Kristian zaman itu harus melawan pengaruh mereka. Di gelanggang Roma, hadirin dihiburkan dengan melihat orang diseksa. Keganasan, pertumpahan darah, dan perbuatan seks yang tidak bermoral, sering dijadikan bahan hiburan. Namun orang Kristian abad pertama menjauhi hal-hal sebegitu. Kebanyakan hiburan dunia hari ini juga mengandungi unsur-unsur yang sama dan bertujuan memuaskan nafsu yang jahat. Oleh itu, kita perlu memeriksa kehidupan kita dan menjauhi hiburan yang ganas dan tidak bermoral. (Mzm. 11:5; Ef. 5:15, 16) Biarpun sesetengah hiburan tidak salah, suasana di tempat hiburan itu mungkin tidak sesuai untuk kita.—1 Ptr. 4:1-4.
18 Terdapat pelbagai hiburan dan rekreasi yang sihat, yang boleh dinikmati oleh orang Kristian. Bahan bacaan kita mengandungi nasihat Bible dan cadangan yang baik tentang hal-hal sebegini. Ramai orang telah mendapat manfaat kerana mengikutnya.
19 Ada kalanya sesetengah orang Kristian mungkin menjemput beberapa keluarga ke rumah untuk bergaul. Ada saudara saudari yang diundang ke majlis perkahwinan atau majlis yang lain. (Yoh. 2:2) Sesiapa yang mengadakan pertemuan harus bertanggungjawab atas segala kegiatan yang dijalankan. Jika ada ramai orang yang hadir, dia harus berhati-hati, kerana suasana yang relaks di pertemuan sebegini mungkin menyebabkan sesetengah orang melakukan sesuatu yang tidak sesuai untuk orang Kristian. Contohnya, mereka mungkin makan atau minum berlebihan, atau bahkan terlibat dalam salah laku yang serius. Oleh itu, orang Kristian yang bijak akan mengehadkan bilangan hadirin dan tempoh masa pertemuan. Jika minuman beralkohol dihidangkan, mereka akan memastikan agar tiada orang yang minum secara berlebihan. (Flp. 4:5) Jika kita berusaha untuk mengadakan pertemuan yang membina dan menyegarkan secara rohani, makanan dan minuman tidak akan menjadi tumpuan yang terpenting.
20 Sikap suka menyambut orang memang baik. (1 Ptr. 4:9) Semasa menjemput rakan seiman ke rumah kita untuk makan, minum, bersantai, dan bergaul, janganlah lupa akan mereka yang hidup susah. (Luk. 14:12-14) Jika kitalah yang menjadi tetamu, kelakuan kita harus sesuai dengan nasihat di Markus 12:31. Kita patut berterima kasih atas kebaikan hati orang lain.
21 Orang Kristian bersukacita kerana diberi kurniaan yang melimpah daripada Tuhan dan kerana mereka dapat “makan, minum, dan menikmati hasil kerja keras mereka.” (Pkh. 3:12, 13) Tidak kira kita ialah tuan rumah ataupun tetamu, apabila kita ‘melakukan semuanya untuk memuliakan Tuhan,’ pertemuan sosial kita akan menyegarkan kita secara rohani dan menjadi kenangan manis pada kelak hari.
AKTIVITI-AKTIVITI SEKOLAH
22 Pendidikan asas di sekolah bermanfaat untuk anak-anak Saksi. Mereka akan belajar untuk membaca dan menulis dengan baik. Sesetengah pelajaran di sekolah juga dapat membantu mereka semasa mereka mengejar matlamat rohani. Semasa di bangku sekolah, anak-anak muda akan berusaha mengutamakan hal-hal rohani dan sentiasa ‘ingat akan Pencipta Agung mereka.’—Pkh. 12:1.
23 Jika anda seorang Kristian yang masih bersekolah, kurangkanlah pergaulan bersama orang muda yang tidak menyembah Tuhan. (2 Tim. 3:1, 2) Yehuwa telah menyediakan banyak perlindungan untuk anda. Maka manfaatkanlah bantuan Yehuwa supaya anda dapat melawan pengaruh dunia dan melindungi diri sendiri.—Mzm. 23:4, 5; 91:1, 2.
24 Untuk menjauhi pengaruh duniawi, ramai Saksi muda memilih untuk tidak menyertai aktiviti kokurikulum. Anak-anak muda, mungkin guru atau rakan kelas anda tidak memahami keputusan anda, tetapi ingatlah bahawa menyenangkan hati Tuhan ialah hal yang terpenting. Untuk berbuat demikian, gunakanlah hati nurani anda yang dilatih Bible dan bertekadlah agar tidak dipengaruhi semangat persaingan dunia atau semangat kebangsaan. (Gal. 5:19, 26) Jika anda mendengarkan nasihat ibu bapa yang berdasarkan Bible dan mencari sahabat yang baik dalam sidang, anda dapat berpegang pada piawaian Yehuwa yang benar.
PEKERJAAN DAN PERGAULAN
25 Menurut Bible, ketua keluarga bertanggungjawab menyara keluarga. (1 Tim. 5:8) Meskipun begitu, sebagai hamba-hamba Tuhan, mereka lebih mementingkan Kerajaan Tuhan daripada pekerjaan mereka. (Mat. 6:33; Rm. 11:13) Oleh sebab mereka mengabdikan diri kepada Tuhan dan berpuas hati dengan makanan dan pakaian yang dimiliki, mereka dapat mengelakkan gaya hidup yang materialistik dan dilindungi daripada banyak kekhuatiran dan jerat.—1 Tim. 6:6-10.
26 Semua orang Kristian terbaptis yang bekerja harus ingat akan prinsip-prinsip Bible. Untuk mencari nafkah dengan jujur, kita tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar hukum Tuhan atau undang-undang negara. (Rm. 13:1, 2; 1 Kor. 6:9, 10) Kita juga ingat akan bahayanya pergaulan buruk. Sebagai askar-askar Kristus, kita tidak menjalankan perniagaan yang melanggar piawaian Tuhan, bercanggah dengan pendirian neutral kita sebagai orang Kristian, atau yang membahayakan hubungan kita dengan Tuhan. (Yes. 2:4; 2 Tim. 2:4) Kita juga tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan musuh Tuhan, iaitu “Babilon Besar.”—Why. 18:2, 4; 2 Kor. 6:14-17.
27 Jika kita berpegang pada piawaian Tuhan, kita tidak akan menganggap pergaulan bersama saudara saudari sebagai peluang untuk memajukan perniagaan kita atau untuk mencari keuntungan peribadi. Tujuan kita berkumpul di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen hanyalah untuk menyembah Yehuwa. Di pertemuan sebegini, kita menikmati makanan rohani dan “menggalakkan satu sama lain.” (Ibr. 10:24, 25; Rm. 1:11, 12) Oleh itu, pergaulan kita haruslah bertumpu kepada hal-hal rohani.
ORANG KRISTIAN YANG HIDUP BERSATU
28 Menurut piawaian Yehuwa yang benar, umat-Nya harus “berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan tetap terpelihara.” (Ef. 4:1-3) Mereka tidak akan mengutamakan kesenangan diri, tetapi akan berusaha melakukan apa yang baik terhadap orang lain. (1 Tes. 5:15) Anda pasti telah memperhatikan sikap sebegini di sidang anda. Tidak kira apa bangsa, kaum, kedudukan sosial, keadaan kewangan, atau tahap pendidikan kita, kita semua dibimbing oleh piawaian yang sama. Orang luar pun dapat melihat bahawa umat Yehuwa memang bersatu padu.—1 Ptr. 2:12.
29 Rasul Paulus menjelaskan asas perpaduan kita dengan selanjutnya: “Hanya ada satu tubuh dan hanya ada satu kuasa suci, begitu juga kamu dipanggil oleh Tuhan untuk satu harapan. Hanya ada satu Tuan, satu kepercayaan, satu pembaptisan, dan satu Tuhan, yang merupakan Bapa kepada semua orang. Dia berkuasa atas semua orang, bertindak melalui semua orang, dan kuasa-Nya bekerja dalam semua orang.” (Ef. 4:4-6) Kata-kata itu mendorong kita agar memiliki pemahaman yang sama tentang ajaran Bible, tidak kira yang asas ataupun yang lebih mendalam. Dengan itu, kita menunjukkan bahawa kita mengakui kedaulatan Yehuwa. Dengan adanya kebenaran yang dikurniakan oleh Yehuwa, kita sebagai umat-Nya dapat menuturkan bahasa yang murni dan berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Nya.—Zef. 3:9.
30 Perpaduan dan kedamaian dalam sidang Kristian memang menyegarkan semua penyembah Yehuwa. Kita telah melihat janji Yehuwa ini ditunaikan: “Aku akan menyatukan mereka, dan mereka akan menjadi seperti biri-biri yang dikumpulkan di dalam sebuah kandang.” (Mi. 2:12) Kita ingin perpaduan dan kedamaian sidang terpelihara. Oleh itu, kita perlu terus berpegang pada piawaian Yehuwa yang benar.
31 Kita sungguh berbesar hati kerana diterima dalam sidang Yehuwa yang bersih! Kita sanggup mengorbankan apa-apa sahaja agar dapat menyandang nama Yehuwa. Kita ingin berusaha sedaya upaya untuk mengikut piawaian-Nya yang benar dan menggalakkan orang lain untuk berbuat demikian juga. Dengan itu, hubungan kita yang berharga dengan Yehuwa akan dipelihara.—2 Kor. 3:18.