BAB 14
Menjaga Kedamaian dan Kebersihan Sidang
SEPERTI yang dinubuatkan Bible, setiap tahun ribuan orang datang ke rumah Yehuwa untuk menjalankan ibadat yang murni. (Mi. 4:1, 2) Kita sungguh gembira untuk menyambut mereka ke dalam “sidang Tuhan”! (Kis. 20:28) Mereka juga gembira kerana dapat menyembah Yehuwa bersama kita dan menikmati firdaus rohani yang bersih dan damai. Kuasa suci Tuhan dan nasihat yang bijaksana daripada Firman-Nya membantu kita menjaga kedamaian dan kebersihan sidang.—Mzm. 119:105; Za. 4:6.
2 Setelah menerapkan prinsip Bible, kita dapat mengenakan “keperibadian baharu.” (Kol. 3:10) Kita tidak membesar-besarkan masalah yang kecil dan perbezaan pendapat. Oleh sebab kita memupuk pandangan Yehuwa, kita dapat menolak pengaruh dunia yang mengakibatkan perpecahan, dan kita dapat berganding bahu dan bersatu dengan saudara saudari di serata dunia.—Kis. 10:34, 35.
3 Meskipun demikian, ada kalanya masalah yang menggugat kedamaian dan perpaduan sidang mungkin timbul. Apakah puncanya? Sering kali, masalah sebegini berlaku kerana kita gagal menerapkan nasihat Bible. Ingatlah bahawa kita semua tidak sempurna dan perlu bergelut dengan kecenderungan yang berdosa. (1 Yoh. 1:10) Seseorang mungkin terlibat dalam salah laku atau ibadat palsu lalu memberikan pengaruh buruk kepada sidang. Kita mungkin terlanjur kata atau melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan orang lain, atau kita mungkin tersandung kerana kata-kata atau perbuatan orang lain. (Rm. 3:23) Jika hal itu terjadi, bagaimanakah kita dapat menyelesaikannya?
4 Yehuwa, Tuhan kita yang pengasih, memahami bahawa situasi sebegitu akan berlaku. Maka melalui Firman-Nya, Dia memberitahu kita apa yang harus dilakukan. Para penatua, iaitu gembala rohani yang pengasih, juga bersedia membantu kita. Jika kita mengikut nasihat mereka yang berdasarkan Bible, kita dapat berbaik semula dengan orang lain dan menjaga hubungan yang baik dengan Yehuwa. Semasa kita diberi disiplin atau teguran kerana berbuat salah, ingatlah bahawa hal itu membuktikan bahawa Bapa kita yang di syurga menyayangi kita.—Ams. 3:11, 12; Ibr. 12:6.
MENYELESAIKAN MASALAH KECIL
5 Ada kalanya, perselisihan faham atau masalah kecil mungkin timbul antara ahli sidang. Pihak yang terlibat harus menunjukkan kasih persaudaraan dan segera menyelesaikan hal sebegini. (Ef. 4:26; Flp. 2:2-4; Kol. 3:12-14) Dalam kebanyakan situasi, masalah yang melibatkan hubungan kita dengan saudara saudari dapat diselesaikan jika kita menerapkan nasihat Rasul Petrus, “Kasihilah satu sama lain dengan mendalam, kerana kasih dapat menutup banyak dosa.” (1 Ptr. 4:8) Bible menyatakan, “Kita semua sering berbuat silap.” (Yak. 3:2) Jika kita mengikut nasihat Yesus untuk melayan orang lain sebagaimana kita ingin dilayan, biasanya kita dapat memaafkan dan melupakan kesalahan yang kecil.—Mat. 6:14, 15; 7:12.
6 Jika anda tahu bahawa kata-kata atau tindakan anda telah menyinggung perasaan orang lain, berdamailah dengan orang itu tanpa berlengah-lengah. Ingatlah bahawa perkara itu juga mempengaruhi hubungan anda dengan Yehuwa. Yesus menasihati murid-muridnya, “Oleh itu, semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.” (Mat. 5:23, 24) Barangkali, terdapat salah faham yang berlaku. Jika begitu, bincangkanlah hal itu dengan terus terang. Komunikasi yang baik antara semua ahli sidang sangat penting untuk mencegah salah faham dan untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat ketidaksempurnaan manusia.
MEMBERIKAN NASIHAT DARIPADA BIBLE
7 Ada masanya, para penyelia perlu memberikan nasihat untuk membetulkan fikiran seseorang. Hal itu tidak selalunya mudah. Rasul Paulus menulis kepada orang Kristian di Galatia, “Saudara-saudara, jika seseorang mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya, kamu yang matang secara rohani haruslah mencuba untuk membetulkannya dengan lemah lembut.”—Gal. 6:1.
8 Jika para penyelia menggembala kawanan dengan baik, sidang dapat dilindungi daripada banyak ancaman rohani, dan masalah yang serius dapat dielakkan. Para penatua berusaha melakukan apa yang dijanjikan oleh Yehuwa melalui Yesaya, “Setiap pemimpin itu bagaikan tempat perlindungan daripada angin kencang, dan bagaikan tempat persembunyian daripada hujan ribut; mereka seperti sungai-sungai yang mengalir di tanah yang gersang, dan seperti naungan batu besar di negeri yang tandus.”—Yes. 32:2.
MENANDAI ORANG YANG TIDAK BERTATATERTIB
9 Rasul Paulus mengingatkan orang Kristian agar berwaspada terhadap orang yang memberikan pengaruh buruk kepada sidang. Dia berkata, “Kami mengarahkan kamu agar menjauhi semua saudara yang tidak bertatatertib, dan yang tidak hidup menurut ajaran yang kamu terima daripada kami.” Kemudian, dia menjelaskan, “Jika ada sesiapa yang tidak mematuhi kata-kata kami dalam surat ini, tandailah orang itu dan jangan lagi bergaul dengannya supaya dia berasa malu. Namun, janganlah menganggapnya sebagai musuh. Sebaliknya, teruslah menasihatinya sebagai seorang saudara.”—2 Tes. 3:6, 14, 15, nota kaki.
10 Ada kalanya, dosa yang dilakukan sesetengah orang bukanlah dosa besar yang dapat menyebabkan mereka disingkirkan daripada sidang. Namun, perbuatan mereka yang tidak bertatatertib menunjukkan secara terang-terangan bahawa mereka tidak mempedulikan piawaian Tuhan bagi orang Kristian. Contohnya, mereka sangat malas, suka mengkritik, kotor, atau “suka mencampuri urusan orang lain.” (2 Tes. 3:11) Mereka mungkin mengambil kesempatan atas orang lain dari segi kewangan, atau menggemari hiburan yang buruk. Perbuatan sedemikian cukup serius untuk merosakkan nama baik sidang, dan dapat mempengaruhi orang Kristian lain untuk melakukan hal yang sama.
11 Mula-mulanya para penatua akan berusaha membantu orang yang tidak bertatatertib dengan memberinya nasihat yang berdasarkan Bible. Namun, jika orang itu masih enggan mengikut prinsip Bible setelah diberi nasihat berulang kali, dan jika para penatua mendapati perbuatannya cukup serius dan telah mengganggu orang lain, mereka boleh memutuskan bahawa sebuah ceramah perlu disampaikan sebagai amaran kepada sidang. Penceramah akan memberikan nasihat tentang kelakuan yang tidak bertatatertib, tetapi dia tidak akan menyebut nama orang yang tidak bertatatertib itu. Dengan demikian, saudara saudari yang tahu tentang situasi yang digambarkan dalam ceramah itu tidak akan bergaul dengan individu tersebut kecuali semasa menjalankan aktiviti rohani. Mereka akan terus “menasihatinya sebagai seorang saudara.”
12 Mudah-mudahan, apabila orang Kristian yang setia berbuat demikian, orang yang tidak bertatatertib itu akan berasa malu akan perbuatannya dan terdorong untuk berubah. Apabila dia menunjukkan dengan jelas bahawa dia sudah meninggalkan perbuatannya yang tidak bertatatertib, dia tidak lagi perlu dilayan sebagai orang yang ditandai.
MENYELESAIKAN SESETENGAH KESALAHAN YANG SERIUS
13 Kita sudi memaafkan orang lain, tetapi hal itu tidak bermaksud kita menutup sebelah mata terhadap perbuatan yang salah ataupun menyetujuinya. Bukan semua kesalahan disebabkan oleh ketidaksempurnaan, dan kita tidak patut menutup sebelah mata terhadap kesalahan yang serius. (Im. 19:17; Mzm. 141:5) Dalam Hukum Musa, sesetengah dosa lebih besar daripada dosa lain; prinsip yang sama berlaku bagi orang Kristian.—1 Yoh. 5:16, 17.
14 Yesus telah menyatakan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah serius yang mungkin timbul antara orang Kristian: “Jika saudara kamu berdosa terhadap kamu, [1] pergilah kepadanya dan nyatakan kesilapannya antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mendengarkan kamu, kamu sudah membantu saudaramu kembali ke pangkal jalan. Tetapi jika dia enggan mendengar, [2] bawalah satu atau dua orang bersama-samamu, kerana setiap perkara dapat disahkan dengan adanya keterangan dua atau tiga orang saksi. Jika dia enggan mendengar kata-kata mereka, [3] maklumkanlah sidang. Jika sidang pun tidak diendahkannya, anggaplah dia sebagai orang daripada bangsa-bangsa lain dan pemungut cukai.”—Mat. 18:15-17.
15 Daripada perumpamaan Yesus di Matius 18:23-35, nampaknya salah satu dosa yang disebut di Matius 18:15-17 merangkumi soal harta atau wang, seperti tidak membayar hutang atau menipu. Dosa itu juga boleh merangkumi perbuatan fitnah, yang dapat merosakkan nama baik seseorang.
16 Jika anda mempunyai bukti bahawa seseorang dalam sidang telah melakukan dosa sebegini terhadap anda, janganlah cepat-cepat melaporkannya kepada penatua dan meminta mereka mengambil tindakan. Sebaliknya, seperti yang dinasihatkan oleh Yesus, berjumpalah dengan orang itu terlebih dahulu. Cubalah selesaikan perkara itu antara anda berdua sahaja tanpa melibatkan orang lain. Ingatlah, Yesus tidak berkata, ‘Pergilah kepadanya sekali sahaja dan nyatakan kesilapannya.’ Oleh itu, jika orang tersebut tidak mengakui kesilapannya dan tidak meminta maaf, cubalah berbincang dengannya lagi pada masa yang lain. Jika masalah dapat diselesaikan dengan cara ini, orang yang berdosa itu pasti bersyukur kerana anda tidak memberitahu orang lain tentang dosanya atau merosakkan nama baiknya dalam sidang. Dengan itu, anda ‘sudah membantu saudara anda kembali ke pangkal jalan.’
17 Jika orang yang bersalah itu mengakui perbuatannya, meminta maaf, dan berusaha membetulkan kesalahannya, anda tidak perlu mengambil langkah yang kedua. Meskipun dosa sebegini serius, perkara sebegini boleh diselesaikan antara pihak yang terlibat.
18 Sekiranya anda tidak dapat membantu saudara anda dengan menyatakan kesalahannya ‘antara anda berdua sahaja,’ anda boleh membawa ‘satu atau dua orang bersama-sama anda’ untuk bercakap dengannya, seperti yang dikatakan Yesus. Orang yang anda bawa juga harus berniat untuk membantu saudara itu kembali ke pangkal jalan. Sebaik-baiknya, mereka haruslah orang yang telah menyaksikan perbuatan salahnya. Tetapi jika tiada saksi sebegini, anda boleh meminta satu atau dua orang untuk menjadi saksi kepada perbincangan anda. Mereka mungkin pernah menangani masalah yang sama dan dapat menilai sama ada hal yang terjadi itu benar-benar suatu kesalahan atau tidak. Jika seorang penatua dipilih untuk menjadi saksi, dia tidak mewakili sidang kerana dia tidak ditugaskan oleh badan penatua.
19 Anda mungkin sudah berusaha berulang kali untuk menyelesaikan perkara itu bersama saudara itu sahaja dan dengan adanya satu atau dua orang yang lain. Namun, jika masalah itu masih tidak dapat diselesaikan, dan jika anda berasa bahawa anda tidak dapat membiarkan hal itu berlalu begitu sahaja, anda harus melaporkannya kepada para penatua sidang. Ingatlah bahawa matlamat penatua adalah untuk menjaga kedamaian dan kebersihan sidang. Selepas memaklumkan para penatua, biarlah mereka mengurus hal itu dan percayalah kepada Yehuwa. Jangan sekali-kali membiarkan perbuatan orang lain membuat anda tersandung atau tidak dapat menyembah Yehuwa dengan sukacita.—Mzm. 119:165.
20 Para gembala sidang akan menyiasat perkara itu. Jika terdapat bukti bahawa orang itu telah melakukan dosa yang serius terhadap anda, tetapi dia enggan bertaubat dan enggan mengambil tindakan yang munasabah dan wajar untuk membetulkan kesalahannya, beberapa orang penyelia mungkin perlu membentuk sebuah jawatankuasa untuk menyingkirkan orang itu daripada sidang. Dengan itu, mereka dapat melindungi kawanan dan menjaga kebersihan sidang.—Mat. 18:17.
MENANGANI KES SALAH LAKU YANG SERIUS
21 Jika seseorang melakukan kesalahan yang serius, seperti perbuatan seks yang tidak bermoral, perzinaan, hubungan sejenis, menghina Tuhan, kemurtadan, menyembah berhala, dan dosa-dosa lain yang besar, sekadar dimaafkan oleh pihak yang tersinggung tidak mencukupi. (1 Kor. 6:9, 10; Gal. 5:19-21) Memandangkan kebersihan rohani dan moral sidang telah diancam, dosa sebegini mesti dilaporkan kepada penatua dan ditangani oleh mereka. (1 Kor. 5:6; Yak. 5:14, 15) Ada pesalah yang berjumpa dengan penatua untuk mengakui kesalahan sendiri, manakala ada orang yang berjumpa dengan penatua untuk melaporkan kesalahan serius orang lain. (Im. 5:1; Yak. 5:16) Tidak kira bagaimana para penatua mendengar buat kali pertama bahawa seorang Saksi yang terbaptis telah melakukan kesalahan yang serius, dua orang penatua akan melakukan siasatan awal. Jika laporan itu didapati benar dan terdapat bukti bahawa dosa yang serius telah dilakukan, badan penatua akan membentuk jawatankuasa pengadilan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga orang penatua untuk menangani kes itu.
22 Para penatua menjaga kawanan dengan baik dan berusaha melindungi mereka daripada apa-apa yang dapat mengancam mereka secara rohani. Mereka juga berusaha menggunakan Firman Tuhan dengan mahir untuk menegur orang yang berbuat salah dan membantu mereka pulih secara rohani. (Yud. 21-23) Hal ini selaras dengan arahan Rasul Paulus kepada Timotius: “Di hadapan Tuhan dan di hadapan Kristus Yesus yang akan menghakimi orang hidup dan orang mati, . . . aku memberi kamu perintah yang berikut: . . . Berikanlah teguran, amaran tegas, dan nasihat dengan penuh kesabaran dan dengan menggunakan seni mengajar.” (2 Tim. 4:1, 2) Semua itu memakan banyak masa, tetapi merupakan sebahagian daripada tugas para penatua. Sidang menghargai kerja keras mereka dan menganggap mereka “layak untuk menerima lebih banyak penghormatan.”—1 Tim. 5:17.
23 Setiap kali seseorang didapati bersalah, tumpuan para penyelia adalah untuk membantunya pulih secara rohani. Jika dia bertaubat dengan ikhlas dan rela menerima bantuan para penatua, mereka akan menegurnya, sama ada secara peribadi atau di hadapan saksi-saksi yang memberikan keterangan semasa pemeriksaan jawatankuasa pengadilan. Teguran itu dapat mendisiplinkannya dan menjadi peringatan kepada orang lain agar menjauhi perbuatan berdosa. (2 Sam. 12:13; 1 Tim. 5:20) Pesalah yang diberi teguran akan dikenakan sekatan supaya dia dibantu untuk meluruskan jalan hidupnya selepas itu. (Ibr. 12:13) Setelah dia menunjukkan dengan jelas buat suatu jangka masa bahawa dia sudah pulih secara rohani, sekatan-sekatan itu akan dibatalkan.
PENGUMUMAN TENTANG TEGURAN
24 Jika jawatankuasa pengadilan telah memastikan bahawa seseorang telah bertaubat, tetapi perbuatannya kemungkinan besar akan diketahui sidang atau masyarakat, atau jika ahli sidang perlu berwaspada terhadap orang tersebut, sebuah pengumuman yang ringkas akan dibuat semasa Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Pengumuman itu harus berbunyi, “[Nama orang itu] sudah ditegur.”
JIKA KEPUTUSANNYA IALAH PENYINGKIRAN
25 Sesetengah pesalah mungkin berkeras mengikut haluan berdosa dan enggan menerima bantuan. Semasa pemeriksaan jawatankuasa pengadilan, para penatua mungkin mendapati bahawa pesalah itu tidak “menunjukkan melalui perbuatan bahawa [dia] sudah bertaubat.” (Kis. 26:20) Jika begitu, dia harus disingkirkan daripada sidang dan tidak dibenarkan untuk bergaul bersama umat Yehuwa yang bersih. Dengan demikian, pengaruh buruknya tidak akan mengancam kebersihan moral dan rohani sidang, dan nama baik sidang tidak akan terjejas. (Ul. 21:20, 21; 22:23, 24) Setelah Rasul Paulus mendapat tahu bahawa seorang ahli sidang di Korintus terjebak dalam kelakuan yang memalukan, dia menasihati para penatua agar “menyerahkan orang sebegitu kepada Syaitan . . . Dengan itu, kerohanian sidang dapat dipelihara.” (1 Kor. 5:5, 11-13) Paulus juga melaporkan bahawa pada abad pertama, sesetengah orang disingkirkan kerana memberontak terhadap kebenaran.—1 Tim. 1:20.
26 Jika jawatankuasa pengadilan memutuskan bahawa seorang pesalah yang enggan bertaubat harus disingkirkan, mereka harus memberitahunya tentang keputusan mereka dan menjelaskan prinsip-prinsip Bible di sebalik keputusan itu. Selepas itu, jawatankuasa pengadilan akan memberitahunya bahawa jika dia ingin mengemukakan rayuan kerana berasa bahawa kesnya tidak ditangani dengan betul, dia harus menulis sepucuk surat untuk menjelaskan sebabnya. Dari masa dia dimaklumkan tentang keputusan jawatankuasa, dia diberi tujuh hari untuk menghantar suratnya. Jika badan penatua menerima surat rayuannya, mereka akan menghubungi penyelia litar. Penyelia litar akan memilih penatua-penatua lain yang memenuhi syarat untuk membentuk jawatankuasa rayuan supaya mereka dapat mengadili semula kes itu. Mereka akan berusaha untuk berbuat demikian dalam masa seminggu selepas surat rayuan diterima. Sekiranya rayuan dikemukakan, pengumuman tentang penyingkiran akan ditangguhkan. Sementara itu, orang yang dituduh tidak dibenarkan memberikan komen atau mengucapkan doa di perjumpaan, dan dia tidak akan diberi tanggungjawab di sidang.
27 Peluang untuk mengemukakan rayuan diberikan kerana ingin menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang tertuduh. Dengan itu, dia berpeluang untuk meluahkan apa-apa keluhan yang ada. Jadi, jika dia sengaja tidak menghadiri perbicaraan bagi rayuannya, dan jika para penatua tidak dapat menghubunginya setelah mencurahkan usaha yang munasabah, penyingkirannya akan diumumkan.
28 Jika pesalah itu tidak ingin mengemukakan rayuan, jawatankuasa pengadilan akan menjelaskan kepadanya bahawa dia perlu bertaubat, dan mereka akan menyatakan langkah-langkah yang boleh diambilnya supaya dapat diterima kembali pada kemudian hari. Perbuatan itu menunjukkan kebaikan hati para penatua dan dapat membantu pesalah. Semasa berbuat demikian, para penatua harus menunjukkan bahawa mereka berharap agar dia akan berubah dan kemudiannya memenuhi syarat untuk kembali ke organisasi Yehuwa.—2 Kor. 2:6, 7.
PENGUMUMAN TENTANG PENYINGKIRAN
29 Jika seorang pesalah yang enggan bertaubat perlu disingkirkan, pengumuman ringkas berikut akan dibuat di sidang: “[Nama orang itu] bukan lagi seorang Saksi-Saksi Yehuwa.” Pengumuman ini akan mengingatkan ahli sidang yang setia agar berhenti bergaul dengan orang tersebut.—1 Kor. 5:11.
MENARIK DIRI DARIPADA ORGANISASI
30 “Menarik diri” bermaksud seorang Saksi yang terbaptis memutuskan bahawa dia tidak mahu menjadi ahli sidang Kristian lagi. Dia mungkin menyatakan bahawa dia tidak mahu lagi dikenali sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa, atau menunjukkan keputusannya melalui tindakannya. Contohnya, dia mungkin menyertai sebuah pertubuhan yang tidak berkaitan dengan agama, tetapi pertubuhan itu mengejar matlamat yang melanggar ajaran Bible dan akan dibinasakan oleh Tuhan Yehuwa. Dalam kes sebegini, tindakannya sudah menunjukkan bahawa dia bukan lagi ahli sidang Kristian.—Yes. 2:4; Why. 19:17-21.
31 Pada zaman Rasul Yohanes, sesetengah orang telah meninggalkan kepercayaan Kristian. Mengenai mereka, Yohanes menulis, “Mereka sudah meninggalkan kita kerana mereka tidak termasuk dalam golongan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka akan tetap bersama-sama kita.”—1 Yoh. 2:19.
32 Dalam pandangan Yehuwa, seseorang yang menarik diri daripada organisasi sangat berbeza daripada orang Kristian yang tidak aktif, iaitu ahli sidang yang sudah berhenti menginjil. Seseorang mungkin menjadi tidak aktif dan hilang semangat untuk menyembah Yehuwa kerana dia tidak mengkaji Bible secara tetap, mengalami masalah peribadi, atau kerana dianiaya. Para penatua dan ahli sidang yang lain akan terus memberikan bantuan rohani kepada orang Kristian yang tidak aktif.—Rm. 15:1; 1 Tes. 5:14; Ibr. 12:12.
33 Tetapi jika seorang Kristian memutuskan untuk menarik diri, pengumuman ringkas berikut akan dibuat di sidang: “[Nama orang itu] bukan lagi seorang Saksi-Saksi Yehuwa.” Orang tersebut akan dilayan seperti orang yang disingkirkan.
DITERIMA KEMBALI KE DALAM SIDANG
34 Orang yang disingkirkan atau menarik diri boleh diterima kembali ke dalam sidang jika dia menunjukkan dengan jelas bahawa dia sudah bertaubat. Dia harus menunjukkan untuk suatu jangka masa bahawa dia telah meninggalkan perbuatannya yang berdosa dan mahu berbaik semula dengan Yehuwa. Penatua akan membiarkan masa yang secukupnya berlalu supaya orang itu dapat membuktikan bahawa dia benar-benar bertaubat. Hal ini mungkin mengambil masa beberapa bulan, setahun, atau lebih lama lagi, bergantung pada situasi. Apabila badan penatua menerima surat permohonan daripada seseorang yang ingin diterima kembali, jawatankuasa penerimaan kembali akan berjumpa dengannya. Jawatankuasa itu akan melihat sama ada orang itu “menunjukkan melalui perbuatan bahawa [dia] sudah bertaubat.” Kemudian, mereka akan memutuskan sama ada dia boleh diterima kembali atau tidak.—Kis. 26:20.
35 Jika seseorang memohon untuk diterima kembali, tetapi dia disingkirkan semasa di sidang lain, sidangnya yang sekarang harus membentuk sebuah jawatankuasa penerimaan kembali untuk berjumpa dengannya dan mempertimbangkan permohonannya. Jika ahli jawatankuasa penerimaan kembali percaya bahawa dia harus diterima kembali, mereka akan menyatakan cadangan mereka kepada badan penatua di sidang yang mengendalikan kesnya dahulu. Jawatankuasa daripada kedua-dua sidang harus memastikan bahawa mereka sudah mendapat semua maklumat supaya mereka dapat membuat keputusan yang adil. Namun, keputusan untuk menerima kembali orang itu harus dibuat oleh jawatankuasa penerimaan kembali di sidang yang dahulu.
PENGUMUMAN BAHAWA SESEORANG DITERIMA KEMBALI
36 Apabila jawatankuasa penerimaan kembali yakin bahawa seseorang yang disingkirkan atau yang menarik diri benar-benar bertaubat dan boleh diterima kembali, pengumuman berikut harus dibuat di sidang yang menyingkirkannya: “[Nama orang itu] telah diterima kembali sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.” Jika dia sudah berpindah ke sidang yang lain, pengumuman tentang hal itu juga harus dibuat di sidangnya yang baharu.
KES YANG MELIBATKAN ANAK TERBAPTIS DI BAWAH UMUR
37 Jika seorang anak di bawah umur yang sudah dibaptis melakukan kesalahan yang serius, hal itu harus dilaporkan kepada para penatua. Semasa para penatua menangani kes sebegini, ibu bapanya yang terbaptis sebaik-baiknya turut hadir. Mereka harus bekerjasama dengan jawatankuasa pengadilan dan bukannya cuba membela anak mereka yang perlu diberi disiplin. Seperti yang dilakukan semasa menangani kes orang dewasa, jawatankuasa pengadilan akan menegur anak itu dan berusaha membantunya pulih secara rohani. Jika anak itu enggan bertaubat, dia akan disingkirkan.
SALAH LAKU YANG MELIBATKAN PENYIAR BELUM DIBAPTIS
38 Bagaimana pula jika seorang penyiar yang belum dibaptis melakukan kesalahan yang serius? Dia tidak boleh disingkirkan kerana dia bukan Saksi terbaptis. Namun, dia mungkin berbuat salah kerana kurang memahami piawaian Bible. Jika para penatua menasihatinya dengan baik hati, dia mungkin dapat dibantu untuk meluruskan jalan hidupnya.—Ibr. 12:13.
39 Jika penyiar itu enggan bertaubat walaupun dua orang penatua telah berjumpa dengannya dan mencuba membantunya, pengumuman ringkas berikut akan dibuat di sidang: “[Nama orang itu] bukan lagi seorang penyiar belum dibaptis.” Selepas itu, ahli-ahli sidang akan memandangnya sebagai orang duniawi. Walaupun dia tidak disingkirkan, mereka akan berhati-hati semasa bergaul dengannya. (1 Kor. 15:33) Sidang tidak akan menerima laporan aktiviti penyebarannya.
40 Pada kemudian hari, jika seorang penyiar belum dibaptis yang hilang kelayakannya ingin menjadi penyiar semula, dua orang penatua akan berjumpa dengannya. Setelah mereka menilai kemajuan rohaninya dan mendapati bahawa dia memenuhi syarat sebagai penyiar, pengumuman ringkas berikut akan dibuat: “[Nama orang itu] diterima semula sebagai seorang penyiar belum dibaptis.”
YEHUWA MEMBERKATI IBADAT YANG BERSIH DAN DAMAI
41 Hari ini, semua orang yang menyertai sidang dapat bersukacita kerana menikmati firdaus rohani yang dikurniakan oleh Yehuwa. Mereka berasa puas seperti biri-biri di padang rumput yang subur, dan disegarkan kerana diberi air kebenaran yang berlimpah-limpah. Yehuwa mengaturkan supaya Yesus membimbing organisasi-Nya dan memastikan agar kita dilindungi dan dijaga dengan baik. (Mzm. 23; Yes. 32:1, 2) Walaupun hari-hari terakhir ini penuh dengan masalah, kita berasa selamat kerana berada dalam firdaus rohani.
Apabila kita memelihara kedamaian dan kebersihan sidang, kita terus membiarkan cahaya kebenaran bersinar terang
42 Apabila kita memelihara kedamaian dan kebersihan sidang, kita terus membiarkan cahaya kebenaran bersinar terang. (Mat. 5:16; Yak. 3:18) Dengan adanya berkat Yehuwa, kita akan bersukacita semasa melihat lebih ramai orang mengenali-Nya dan melakukan kehendak-Nya bersama-sama kita.