SOALAN-SOALAN BAGI MEREKA YANG INGIN DIBAPTIS
Bahagian 1: Kepercayaan Kristian
Setelah mempelajari Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa, anda mengenali kebenaran, menjalin hubungan yang baik dengan Tuhan, dan menantikan berkat dan kehidupan kekal di bumi firdaus yang diperintah oleh Kerajaan Tuhan. Iman anda terhadap Firman Tuhan telah bertambah kukuh, dan anda menikmati banyak berkat kerana bergaul dengan sidang. Anda juga memahami bagaimana Yehuwa memimpin umat-Nya pada zaman ini.—Za. 8:23.
Sebelum anda dibaptis, penatua di sidang anda akan mengulang kaji kepercayaan asas Kristian bersama anda. (Ibr. 6:1-3) Semoga Yehuwa terus memberkati usaha anda untuk mengenali-Nya, dan mengurniai anda berkat yang dijanjikan-Nya.—Yoh. 17:3.
1. Mengapakah anda ingin dibaptis?
2. Siapakah Yehuwa?
• “Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan yang benar di syurga dan di bumi.”—Ul. 4:39.
• “Engkau, yang bernama Yehuwa, ialah satu-satunya Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi.”—Mzm. 83:18.
3. Mengapakah anda harus menggunakan nama Tuhan?
• “Oleh itu, beginilah caranya kamu harus berdoa: ‘Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.’”—Mat. 6:9.
• “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.”—Rm. 10:13.
4. Apakah sesetengah cara Bible menggambarkan Yehuwa?
• “Yehuwa ialah Pencipta segala-galanya di bumi; Dia ialah Tuhan yang kekal.”—Yes. 40:28.
• “Bapa kami yang di syurga.”—Mat. 6:9.
• “Tuhan itu kasih.”—1 Yoh. 4:8.
5. Apakah yang dapat anda lakukan untuk Tuhan Yehuwa?
• “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.”—Mrk. 12:30.
• “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu, dan kamu mesti memberikan khidmat suci kepada Dia sahaja.”—Luk. 4:8.
6. Mengapakah anda ingin setia kepada Yehuwa?
• “Hai anakku, jadilah bijak dan gembirakanlah hatiku, supaya aku dapat menjawab dia yang mencela aku.”—Ams. 27:11.
7. Anda berdoa kepada siapa, dan melalui nama siapa?
• “Sesungguhnya aku [Yesus] berkata kepada kamu: Bapa akan memberikan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.”—Yoh. 16:23.
8. Anda boleh berdoa tentang apa?
• “Oleh itu, beginilah caranya kamu harus berdoa: ‘Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga. Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini. Ampunkanlah dosa kami sebagaimana kami mengampuni orang yang berdosa terhadap kami. Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan, tetapi selamatkanlah kami daripada Si Jahat.’”—Mat. 6:9-13.
• “Inilah keyakinan kita terhadap Tuhan: Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.”—1 Yoh. 5:14.
9. Mengapakah Yehuwa tidak mendengar doa sesetengah orang?
• “Kamu akan berseru kepada Yehuwa dan meminta bantuan-Nya, tetapi Dia tidak akan menjawab . . . kerana kamu telah melakukan apa yang jahat.”—Mi. 3:4.
• “Mata Yehuwa melihat orang yang berbuat benar, dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka. Tetapi Yehuwa menentang orang yang melakukan kejahatan.”—1 Ptr. 3:12.
10. Siapakah Yesus Kristus?
• “Simon Petrus menjawab, ‘Guru ialah Kristus, Anak kepada Tuhan yang hidup.’”—Mat. 16:16.
11. Mengapakah Yesus datang ke bumi?
• “Anak Manusia tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”—Mat. 20:28.
• “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus aku [Yesus] khabarkan juga di kota-kota lain, kerana untuk tugas itulah aku diutus.”—Luk. 4:43.
12. Bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda menghargai korban Yesus?
• “Kristus sudah mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, tetapi untuk dia yang sudah mati bagi mereka dan yang sudah dibangkitkan.”—2 Kor. 5:15.
13. Apakah kuasa yang dimiliki Yesus?
• “Aku sudah diberi kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.”—Mat. 28:18.
• “Tuhan meninggikan dia kepada kedudukan yang lebih tinggi, dan Tuhan dengan baik hati memberinya nama yang lebih tinggi daripada segala nama yang lain.”—Flp. 2:9.
14. Adakah anda percaya bahawa Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa merupakan “hamba yang setia dan bijaksana” yang dilantik oleh Yesus?
• “Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana, yang dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan untuk memberi mereka makanan pada masa yang sesuai?”—Mat. 24:45.
15. Adakah kuasa suci satu individu?
• “Malaikat itu menjawab, ‘Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu, dan kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Itulah sebabnya anak yang bakal dilahirkan itu akan disebut suci, Anak Tuhan.’”—Luk. 1:35.
• “Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.”—Luk. 11:13.
16. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya?
• “Dengan firman Yehuwa, langit diciptakan; dengan hembusan nafas-Nya, segala sesuatu di langit dijadikan.”—Mzm. 33:6.
• “Kamu akan mendapat kekuatan apabila kuasa suci Tuhan datang ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-saksiku . . . sampai ke hujung bumi.”—Kis. 1:8.
• “Tidak ada nubuat dalam Ayat-Ayat Suci yang berasal daripada tafsiran peribadi. Hal ini demikian kerana nubuat tidak pernah dihasilkan menurut kehendak manusia, tetapi manusia mengatakan apa yang berasal daripada Tuhan seraya mereka didorong oleh kuasa suci-Nya.”—2 Ptr. 1:20, 21.
17. Apakah itu Kerajaan Tuhan?
• “Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan. Kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada bangsa lain. Kerajaan ini akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan itu. Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.”—Dan. 2:44.
18. Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan membantu anda?
• “Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”—Why. 21:4.
19. Bagaimanakah anda tahu bahawa Kerajaan Tuhan akan membawa berkat ke bumi tidak lama lagi?
• “Murid-muridnya datang kepadanya ketika tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, ‘Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?’ Lalu Yesus menjawab, ‘. . . Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat. Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.’”—Mat. 24:3, 4, 7, 14.
• “Pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi. Manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh, dan menghina Tuhan. Mereka tidak mematuhi ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak setia, tidak memiliki kasih sayang, tidak mahu dibawa berbincang, suka memfitnah, tidak tahu mengawal diri, garang, dan tidak mencintai kebaikan. Mereka juga suka berkhianat, keras kepala, sombong, dan mencintai kesenangan tetapi tidak mencintai Tuhan. Di depan orang lain mereka nampaknya beribadat kepada Tuhan, tetapi mereka tidak hidup sesuai dengan ibadat mereka.”—2 Tim. 3:1-5.
20. Bagaimanakah anda menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan penting bagi anda?
• “Maka, hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya.”—Mat. 6:33.
• “Yesus memberitahu murid-muridnya, ‘Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.’”—Mat. 16:24.
21. Siapakah Syaitan dan roh-roh jahat?
• “Kamu berasal daripada bapa kamu, Si Iblis . . . Dia itu pembunuh sejak dia berdusta tentang Tuhan.”—Yoh. 8:44.
• “Naga besar itu dibuang ke bawah. Naga itu ialah ular tua yang dipanggil Iblis dan Syaitan, yang sedang menyesatkan seluruh dunia. Naga itu dibuang ke bumi, dan malaikat-malaikatnya juga dibuang ke bumi bersamanya.”—Why. 12:9.
22. Apakah tuduhan yang dilontarkan Syaitan terhadap Yehuwa dan penyembah-Nya?
• “Wanita itu berkata kepada ular, ‘Kami boleh makan buah daripada semua pokok di taman ini, kecuali pokok yang ada di tengah-tengah taman. Tuhan telah berfirman, “Kamu dilarang memakan buahnya ataupun menyentuhnya. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan mati.”’ Ular memberitahu wanita itu, ‘Kamu pasti tidak akan mati. Tuhan berfirman demikian kerana Dia tahu bahawa jika kamu memakan buah itu, pada hari itu juga mata kamu akan terbuka. Kamu akan menjadi seperti Tuhan dan mengetahui apa yang baik dan apa yang jahat.’”—Kej. 3:2-5.
• “Syaitan berkata kepada Yehuwa, ‘Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.’”—Ayb. 2:4.
23. Bagaimanakah anda dapat membuktikan bahawa tuduhan Syaitan adalah palsu?
• “Sembahlah [Tuhan] dengan sepenuh hati.”—1 Taw. 28:9.
• “Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!”—Ayb. 27:5.
24. Mengapakah manusia mati?
• “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.”—Rm. 5:12.
25. Bagaimanakah keadaan orang mati?
• “Orang yang hidup tahu bahawa mereka akan mati, tetapi orang mati tidak tahu apa-apa pun.”—Pkh. 9:5.
26. Apakah harapan bagi orang mati?
• “Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.”—Kis. 24:15.
27. Berapa orangkah yang akan memerintah bersama Yesus di syurga?
• “Anak Bebiri berdiri di atas Gunung Sion. Bersama-samanya ada 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis namanya dan nama Bapanya.”—Why. 14:1.