PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • rj bahagian 5 ms. 12-15
  • Kembalilah kepada “Gembala dan Penyelia Jiwa Kamu”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Kembalilah kepada “Gembala dan Penyelia Jiwa Kamu”
  • Kembalilah kepada Yehuwa
  • Bahan yang Berkaitan
  • “Kembalilah kepada Aku”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Dia Akan Menguatkanmu
    Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa
  • Dia akan Menguatkanmu
    Nyanyilah kepada Yehuwa
  • Yehuwa Menghargai Anda!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
Lihat Selanjutnya
Kembalilah kepada Yehuwa
rj bahagian 5 ms. 12-15

BAHAGIAN LIMA

Kembalilah kepada “Gembala dan Penyelia Jiwa Kamu”

Adakah cabaran-cabaran yang dibincangkan dalam brosur ini mempengaruhi hidup anda? Jika ya, anda tidak bersendirian. Banyak hamba Tuhan yang setia pada zaman dahulu dan masa kini menghadapi cabaran yang sama seperti kita. Yehuwa telah membantu mereka dan Dia juga akan membantu anda mengatasi cabaran.

Yehuwa akan menyokong usaha anda untuk kembali kepada-Nya

YAKINLAH bahawa Yehuwa akan menyokong usaha anda untuk kembali kepada-Nya. Dia akan membantu anda menangani kekhuatiran, mengatasi perasaan yang terluka, serta mendapatkan ketenangan daripada hati nurani yang bersih. Dengan demikian, anda akan terdorong untuk menyembah Yehuwa semula bersama rakan seiman yang lain. Situasi anda sama seperti yang digambarkan oleh Petrus mengenai sesetengah orang Kristian pada zamannya. Dia menulis, “Dahulu kamu seperti biri-biri yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada gembala dan penyelia jiwa kamu.”​—1 Petrus 2:25.

Perkara terbaik yang dapat anda lakukan adalah kembali menyembah Yehuwa. Mengapa? Anda akan menggembirakan hati Yehuwa. (Amsal 27:11) Seperti yang anda tahu, Yehuwa mempunyai perasaan. Jadi, tindakan kita dapat mempengaruhi perasaan-Nya. Namun, Yehuwa tidak memaksa kita untuk mengasihi dan menyembah-Nya. (Ulangan 30:19, 20) Seorang cendekiawan Bible berkata, “Tiada seorang pun dapat membuka pintu hati anda. Anda harus membukanya sendiri.” Kita dapat membuka pintu hati jika kita menyembah Yehuwa dengan hati yang penuh kasih. Dengan demikian, kita memberi Yehuwa suatu hadiah yang berharga, iaitu integriti kita. Kita juga akan membawa sukacita yang besar kepada-Nya. Tiada apa yang dapat menandingi sukacita yang dirasai apabila kita memberi Yehuwa penyembahan yang layak diterima oleh-Nya.​—Kisah 20:35; Wahyu 4:11.

Seorang saudari Kristian yang tidak aktif disambut dengan ramah ke dalam sidang

Apabila anda kembali melakukan aktiviti Kristian, keperluan rohani anda akan dipuaskan. (Matius 5:3) Bagaimana? Fikirkan situasi ini. Orang di serata dunia tertanya-tanya, “Mengapakah kita diciptakan?” Mereka ingin sekali mengetahui tentang tujuan hidup manusia. Yehuwa telah menyemai keinginan ini dalam hati manusia. Kita diciptakan untuk memperoleh kepuasan apabila kita menyembah-Nya. Jadi, kita akan berpuas hati apabila menyembah Yehuwa dengan hati yang penuh kasih.​—Mazmur 63:2-6.

Yakinlah bahawa Yehuwa ingin anda kembali kepada-Nya. Mengapa? Brosur ini telah disediakan dengan teliti, disertai bimbingan Yehuwa. Anda mungkin menerima brosur ini daripada seorang penatua atau rakan seiman yang lain. Kemudian, anda tergerak untuk membaca brosur ini dan bertindak selaras dengan apa yang disampaikan. Semua ini membuktikan bahawa Yehuwa tidak pernah melupakan anda. Sebaliknya, Dia sedang memimpin anda dengan penuh kasih agar anda kembali kepada-Nya.​—Yohanes 6:44.

Kita berasa lega kerana Yehuwa tidak melupakan umat-Nya yang hilang. Inilah yang dihargai oleh saudari Donna. Dia berkata, “Secara beransur-ansur, saya meninggalkan kebenaran. Tetapi, Mazmur 139:23, 24 selalu bermain dalam fikiran saya. Ayat itu berkata, ‘Selidikilah aku, ya Tuhan, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku. Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku, dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.’ Saya tahu, haluan dunia ini tidak sesuai dengan saya. Saya benar-benar memerlukan organisasi Yehuwa. Saya mula sedar bahawa Yehuwa tidak pernah meninggalkan saya. Saya cuma perlu kembali kepada-Nya. Saya gembira kerana telah membuat keputusan itu!”

“Saya mula sedar bahawa Yehuwa tidak pernah meninggalkan saya. Saya cuma perlu kembali kepada-Nya”

Kami berdoa dan berharap agar anda dapat menikmati semula sukacita yang diberikan oleh Yehuwa. (Nehemia 8:10) Anda tidak akan menyesal jika anda kembali kepada Yehuwa.

Kembalilah kepada Yehuwa​—Soalan Lazim

APAKAH LANGKAH PERTAMA?

Seorang saudari Kristian yang tidak aktif membaca Bible

Orang sakit memerlukan masa untuk pulih. Begitu juga, anda memerlukan masa untuk membina semula kerohanian anda. Luangkanlah beberapa minit setiap hari untuk membaca Bible, mengkaji bahan bacaan Kristian, melayari laman web jw.org, atau menonton program Siaran JW di jw.org. Selain itu, cubalah untuk menghadiri perjumpaan Kristian dengan secepat mungkin. Yang paling penting, berdoalah kepada Yehuwa untuk memohon bantuan-Nya. Bible berkata, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 Petrus 5:7.

“Selepas menjadi tidak aktif, saya berasa begitu malu sehingga tidak dapat berdoa. Setelah memberanikan diri untuk berdoa kepada Yehuwa, seorang penatua datang melawat saya. Dia membantu saya sedar bahawa Yehuwa masih belum putus harapan terhadap saya. Penatua itu menggalakkan saya untuk membaca Bible setiap hari. Apabila saya melakukannya, saya mendapat kekuatan untuk menghadiri perjumpaan. Lambat laun, saya mula menyertai kerja penyebaran sekali lagi. Saya sangat gembira kerana Yehuwa tidak melupakan saya.”​—Eeva.

BAGAIMANAKAH AHLI SIDANG AKAN MENERIMA SAYA?

Ahli sidang pasti mengalu-alukan anda dengan ramah. Mereka tidak akan mengkritik atau menghakimi anda. Sebaliknya, mereka akan mengasihi dan menggalakkan anda.​—Ibrani 10:24, 25.

“Saya berasa malu untuk menghadiri perjumpaan. Saya tidak pasti jika mereka akan menerima saya. Seorang saudari yang sudah berada di sidang itu selama 30 tahun berkata kepada saya, ‘Selamat kembali, Anakku!’ Hati saya benar-benar tersentuh. Inilah keluarga saya.”​—Javier.

“Saya duduk di barisan paling belakang dalam Dewan Perjumpaan supaya orang tidak menyedari kehadiran saya. Tetapi banyak orang kenal saya. Mereka masih mengingati wajah saya kerana saya menghadiri perjumpaan semasa kecil. Mereka mengalu-alukan dan memeluk saya dengan mesra. Hati saya berasa sangat tenang. Saya seolah-olah sudah pulang ke rumah.”​—Marco.

BAGAIMANAKAH PARA PENATUA AKAN MEMBANTU SAYA?

Para penatua akan melayan anda dengan baik. Mereka akan memuji anda atas usaha untuk menyemarakkan “kasih yang kamu miliki pada mulanya.” (Wahyu 2:4) Dengan “lemah lembut,” mereka juga akan membantu anda membetulkan haluan hidup. (Galatia 6:1; Amsal 28:13) Para penatua mungkin akan mengaturkan seseorang untuk mengadakan pembelajaran Bible bersama anda dengan menggunakan buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! atau Hampirilah Yehuwa. Yakinlah bahawa para penatua akan terus memberikan bantuan dan kelegaan kepada anda.​—Yesaya 32:1, 2.

“Sepanjang lapan tahun semasa saya tidak aktif, para penatua tidak berputus asa membantu saya. Pada suatu hari, seorang penatua menunjukkan gambar-gambar yang dia ambil bersama saya. Saya teringat akan kenangan manis dahulu dan ingin sekali menikmati semula sukacita semasa menyembah Yehuwa. Para penatua yang pengasih membantu saya bergiat semula dalam aktiviti rohani.”​—Victor.

“Dia Akan Menguatkanmu”

Dua orang saudari berkongsi sebuah buku lagu semasa bernyanyi di perjumpaan

Buku Nyanyi dengan Gembira kepada Yehuwa mengandungi banyak lagu yang dapat membawa kelegaan dan galakan seraya anda kembali menjalankan aktiviti rohani. Contohnya, perhatikan lirik lagu nombor 38. Lirik ini digubah berdasarkan 1 Petrus 5:10 dan bertajuk “Dia Akan Menguatkanmu.”

  1. Terdapat sebabnya Tuhan memimpinmu

    Dari kegelapan ke cahaya.

    Dia lihat hatimu, kau ingin sekali

    Mencari-Nya dan buat yang benar.

    Kau berjanji turut kehendak-Nya;

    Dia akan bantumu sentiasa.

  2. Tuhan dengan rela telah mengurniakan

    Anak kesayangan-Nya demimu.

    Tuhan tentu ingin lihatmu berjaya;

    Jangan ragu, Dia akan bantumu.

    Kasihmu Dia tidak pernah lupa;

    S’gala milik-Nya akan Dia jaga.

    (KORUS)

    Yehuwa membelimu dengan darah Yesus.

    Dia menguatkanmu dan meneguhkanmu.

    Dia pasti membimbingmu sepanjang hayatmu.

    Dia menguatkanmu dan meneguhkanmu.

Nyanyilah kepada Yehuwa—Rakaman Suara

Untuk mendengar muzik bagi lagu ini dan lagu-lagu Teokratik yang lain, sila layari jw.org/ms.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi