Membina Perkahwinan yang Kukuh dan Bahagia
‘Jika bukan Yehuwa yang mendirikan rumah, sia-sialah usaha orang yang mendirikannya.’—MZM. 127:1a.
1-3. Apakah cabaran yang dihadapi oleh mereka yang sudah berkahwin? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
“JIKA anda berusaha sedaya upaya dan menunjukkan bahawa anda ingin perkahwinan anda berjaya, Yehuwa akan memberkati anda,” kata seorang suami yang menikmati perkahwinan yang bahagia selama 38 tahun. Ya, suami isteri memang boleh berbahagia dan menyokong satu sama lain semasa menghadapi masalah.—Ams. 18:22.
2 Bible berkata, “Orang yang berkahwin akan menghadapi banyak kesusahan.” (1 Kor. 7:28) Mengapa? Kerana suami isteri akan berasa tertekan apabila menghadapi cabaran dalam hidup. Selain itu, kita tidak sempurna dan ada kalanya gagal berkomunikasi dengan baik. Hal ini dapat melukakan hati pasangan. (Yak. 3:2, 5, 8) Ramai suami isteri berasa tertekan kerana pekerjaan atau kerana membesarkan anak. Tekanan dan kepenatan boleh menjejaskan perkahwinan mereka. Masalah kewangan, penyakit, atau kesusahan yang lain juga menyebabkan orang kurang menghormati atau mengasihi pasangan mereka. Perkahwinan yang nampaknya kukuh boleh roboh kerana “perbuatan yang terhasil daripada keinginan yang berdosa.” Hal ini termasuk perbuatan seks yang tidak bermoral, kelakuan buruk, permusuhan, perkelahian, kecemburuan, kemarahan, dan pertengkaran.—Gal. 5:19-21.
3 Orang yang hidup pada “hari-hari terakhir” mementingkan diri dan tidak mentaati Tuhan. Hal ini boleh menjejaskan perkahwinan. (2 Tim. 3:1-4) Selain itu, terdapat musuh yang ingin merosakkan perkahwinan. Petrus berkata, “Si Iblis, musuh kamu, sedang merayau-rayau seperti seekor singa yang mengaum. Dia mencari mangsa untuk dibaham.”—1 Ptr. 5:8; Why. 12:12.
4. Bagaimanakah kita boleh membina perkahwinan yang kukuh dan bahagia?
4 Seorang suami di Jepun berkata, “Saya menghadapi masalah kewangan. Oleh sebab saya jarang berkomunikasi dengan isteri, dia berasa tertekan. Baru-baru ini dia juga menghadapi masalah kesihatan. Ada kalanya, tekanan ini menyebabkan kami bertengkar.” Orang yang sudah berkahwin akan menghadapi masalah, tetapi mereka boleh menikmati hubungan yang erat dan bahagia dengan bantuan Yehuwa. (Baca Mazmur 127:1.) Kita akan membincangkan lima cara untuk membina perkahwinan yang kekal. Kita juga akan meneliti bagaimana kasih dapat mengukuhkan perkahwinan.
MELIBATKAN YEHUWA DALAM PERKAHWINAN
5, 6. Bagaimanakah suami isteri dapat melibatkan Yehuwa dalam perkahwinan mereka?
5 Apabila suami isteri taat dan tunduk kepada Yehuwa, perkahwinan mereka akan kukuh. (Baca Pengkhutbah 4:12.) Suami isteri melibatkan Yehuwa dalam perkahwinan dengan mengikuti bimbingan-Nya. Bible berkata: “Jika kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri, kamu akan mendengar suara-Nya di belakang kamu berfirman, ‘Inilah jalannya, ikutlah jalan ini!’” (Yes. 30:20, 21) Hari ini, suami isteri dapat “mendengar” suara Yehuwa apabila membaca Bible bersama. (Mzm. 1:1-3) Mereka menguatkan perkahwinan melalui penyembahan keluarga yang menyeronokkan dan membina. Jika suami isteri berdoa bersama setiap hari, perkahwinan mereka menjadi kuat dan dapat menangkis serangan Syaitan.
Dengan melakukan hal-hal rohani bersama, suami isteri mempunyai hubungan erat dengan Tuhan dan dengan satu sama lain (Lihat perenggan 5, 6)
6 Gerhard dari Jerman berkata: “Apabila sukacita kami disulami oleh masalah atau perselisihan faham, nasihat Bible telah membantu kami untuk lebih bersabar dan saling mengampuni.” Dia juga mengatakan bahawa sifat-sifat sebegitu sangat penting dalam perkahwinan. Jika suami isteri melakukan hal-hal rohani bersama dan melibatkan Tuhan dalam perkahwinan, mereka dapat berpaut pada Yehuwa dan hubungan mereka dikuatkan.
SUAMI YANG MEMPERLIHATKAN KASIH
7. Bagaimanakah seharusnya seorang suami melayan isterinya?
7 Suami memainkan peranan penting untuk membina sebuah perkahwinan yang kukuh dan bahagia. Bible menyatakan, “Kristus ialah kepala setiap lelaki; lelaki ialah kepala wanita.” (1 Kor. 11:3) Maksudnya, para suami harus melayan isteri sebagaimana Yesus melayan para pengikutnya. Dia tidak bertindak ganas atau kasar. Sebaliknya, dia seorang yang pengasih, baik hati, munasabah, lemah lembut, dan rendah hati.—Mat. 11:28-30.
8. Apakah yang boleh menyebabkan isteri lebih mengasihi dan menghormati suami?
8 Para suami Kristian tidak perlu menuntut agar isteri menghormati mereka. Sebaliknya, suami “bertimbang rasa” dan menghormati isteri “kerana mereka ialah kaum wanita yang merupakan bejana yang lebih lemah.” (1 Ptr. 3:7; nota kaki) Sama ada di depan orang atau semasa bersendirian dengan isteri, suami patut menggunakan tutur kata yang menunjukkan bahawa dia menghormati dan mengasihi isterinya. Cara suami memperlakukan isteri membuktikan sedalam mana kasihnya terhadap isteri. (Ams. 31:28) Apabila suami melayan isterinya dengan kasih, isterinya akan menyayangi dan menghormatinya. Yehuwa pasti memberkati perkahwinan mereka.
PARA ISTERI MENUNJUKKAN KETUNDUKAN
9. Bagaimanakah isteri boleh menunjukkan ketundukan?
9 Jika kita mengasihi Yehuwa, kita akan merendahkan diri “di bawah tangan Tuhan yang perkasa.” (1 Ptr. 5:6) Satu cara penting isteri menghormati kekuasaan Yehuwa adalah dengan bekerjasama dengan suaminya. Bible menyatakan: “Hai para isteri, taatilah suami kamu kerana hal ini wajar di mata Tuan kita.” (Kol. 3:18) Seorang isteri mungkin tidak menyukai keputusan yang telah dibuat oleh suaminya. Namun, selagi keputusan suami tidak melanggar hukum Tuhan, isteri akan tunduk dan bekerjasama dengan suami.—1 Ptr. 3:1.
10. Mengapakah ketundukan penting?
10 Yehuwa memberikan peranan yang mulia kepada para isteri. Seorang isteri merupakan “teman hidup” suaminya. (Mal. 2:14) Semasa membuat keputusan bersama, isteri akan meluahkan perasaan dan pemikirannya kepada suami dengan hormat. Dia juga sentiasa menunjukkan ketundukan. Seorang suami yang bijak akan mendengar isi hati isteri dengan teliti. (Ams. 31:10-31) Ketundukan dapat membawa sukacita, kedamaian, dan harmoni dalam perkahwinan. Hasilnya, suami isteri akan berpuas hati kerana mereka telah menyenangkan hati Tuhan.—Ef. 5:22.
SALING MENGAMPUNI DENGAN RELA HATI
11. Mengapakah penting untuk saling mengampuni?
11 Untuk membina perkahwinan yang berkekalan, suami isteri mesti saling mengampuni. Jika suami isteri terus “bersabar terhadap satu sama lain dan . . . saling mengampuni dengan rela hati,” hubungan mereka akan dikuatkan. (Kol. 3:13) Tetapi hubungan suami isteri akan renggang jika mereka sentiasa ingat akan kesilapan lampau dan menggunakannya untuk menyakiti teman hidup. Sebagaimana rekahan dapat melemahkan struktur sebuah bangunan, perasaan tersinggung dan kemarahan dapat menyebabkan suami isteri berasa sukar untuk mengampuni satu sama lain. Tetapi perkahwinan akan menjadi kukuh jika suami isteri saling mengampuni, sepertimana Yehuwa mengampuni mereka.—Mi. 7:18, 19.
12. Bagaimanakah “kasih dapat menutup banyak dosa”?
12 Kasih sejati “tidak menyimpan dendam apabila dilukai.” Sebenarnya, “kasih dapat menutup banyak dosa.” (1 Kor. 13:4, 5; baca 1 Petrus 4:8.) Jika kita saling mengasihi, kita lebih rela mengampuni orang. Apabila rasul Petrus menanya berapa kali dia patut mengampuni seseorang, Yesus menjawab: “Sehingga 77 kali.” (Mat. 18:21, 22) Apakah maksud Yesus? Maksudnya seorang Kristian harus mengampuni orang lain tanpa batasan.—Ams. 10:12.a
13. Bagaimanakah kita dapat mengampuni pasangan dengan lebih rela?
13 Annette dari Jerman berkata: “Jika suami isteri tidak ingin memaafkan satu sama lain, mereka akan berdendam dan tidak saling mempercayai lagi. Hal ini akan meracuni perkahwinan mereka. Sebaliknya jika mereka saling memaafkan, mereka akan menikmati hubungan yang erat.” Tunjukkanlah dan luahkanlah penghargaan anda. Carilah peluang untuk memuji pasangan anda. Maka, anda akan lebih rela mengampuni pasangan. (Kol. 3:15) Hasilnya, anda akan mendapat kedamaian, perpaduan, dan perkenan Tuhan.—Rm. 14:19.
TERAPKANLAH PRINSIP DI LUKAS 6:31
14, 15. Apakah prinsip di Lukas 6:31? Bagaimanakah prinsip ini dapat mengukuhkan perkahwinan?
14 Anda tentu ingin dilayan dengan hormat. Anda juga menghargai orang yang mendengar dan mengambil berat terhadap perasaan anda. Namun, pernahkah anda mendengar orang berkata, “Saya akan membalas apa yang dia lakukan kepada saya”? Kadangkala kita juga berasa begitu. Namun, Bible menyatakan, “Jangan berkata, ‘Aku akan membalas perbuatannya terhadapku!’” (Ams. 24:29) Cara terbaik untuk mengatasi situasi ini adalah dengan mengikut nasihat Yesus: “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka.” (Luk. 6:31) Yesus tidak mahu kita membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi dia mahu kita melayan orang lain sebagaimana kita ingin dilayan. Dengan menerapkan nasihat ini, kita akan mendapat hasil yang baik dalam perkahwinan.
15 Jika suami isteri peka terhadap perasaan pasangan mereka, perkahwinan mereka akan bertambah kukuh. “Kami telah cuba menerapkan prinsip di Lukas 6:31,” kata seorang suami di Afrika Selatan. “Ada kalanya kami memang marah, tetapi kami cuba melayan satu sama lain sebagaimana kami ingin dilayan, iaitu dengan penuh hormat.”
16. Apakah yang tidak seharusnya dilakukan oleh suami isteri terhadap satu sama lain?
16 Jangan mengadu kepada orang lain mengenai kelemahan teman hidup anda atau mempersendakan tabiat-tabiatnya. Perkahwinan bukanlah suatu persaingan untuk menentukan siapa yang lebih kuat, siapa yang dapat menjerit dengan lebih hebat, atau siapa yang dapat mengeluarkan kata-kata yang paling pedas. Kita semua tidak sempurna dan boleh menyakiti hati orang lain. Tetapi hal ini bukanlah alasan untuk memalukan atau mengeluarkan kata-kata yang kasar terhadap teman anda, atau mencederakannya secara fizikal.—Baca Amsal 17:27; 31:26.
17. Bagaimanakah suami dapat menerapkan prinsip di Lukas 6:31?
17 Dalam budaya tertentu, para lelaki membuli atau memukul isteri untuk menunjukkan bahawa mereka lebih kuat. Tetapi Bible menyatakan, “Lebih baik orang bersabar daripada berkuasa. Lebih baik orang tahu menahan diri daripada menguasai seluruh kota.” (Ams. 16:32) Lelaki yang benar-benar kuat dapat mengawal diri, seperti Yesus. Lelaki yang lemah membuli atau memukul isteri dan dia merosakkan hubungannya dengan Yehuwa. Raja Daud, seorang lelaki yang gagah dan berani berkata, “Ketika kamu marah, jangan berdosa. Renungkanlah hal itu sambil berdiam diri.”—Mzm. 4:5.
“HENDAKLAH KAMU MENGENAKAN KASIH”
18. Mengapakah penting untuk terus menunjukkan kasih?
18 Baca 1 Korintus 13:4-7. Kasih ialah sifat yang paling penting dalam perkahwinan. Bible berkata: “Hendaklah kamu mengenakan kasih, belas kasihan, kebaikan hati, kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran. Selain daripada hal-hal ini, hendaklah kamu mengenakan kasih, kerana kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kol. 3:12, 14) Suami isteri tidak harus mementingkan diri, tetapi menunjukkan kasih seperti Yesus yang rela mengorbankan diri untuk orang lain. Walaupun suami atau isteri mempunyai tabiat tertentu, masalah kesihatan, krisis kewangan, atau salah faham dengan mentua, kasih akan membantu mereka mengatasi hal-hal ini.
19, 20. (a) Bagaimanakah suami isteri dapat membina perkahwinan yang kukuh dan bahagia? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
19 Kasih, kesetiaan, dan usaha diperlukan agar perkahwinan anda berjaya. Apabila menghadapi cabaran, suami isteri tidak harus putus asa. Mereka harus bertekad untuk mengeratkan hubungan mereka. Suami isteri yang mengasihi Yehuwa dan satu sama lain akan bertekad untuk menyelesaikan masalah kerana “kasih itu abadi.”—1 Kor. 13:8; Mat. 19:5, 6; Ibr. 13:4.
20 Zaman sekarang merupakan “masa genting yang sukar dihadapi.” Jadi memang susah untuk membina perkahwinan yang kukuh dan bahagia. (2 Tim. 3:1) Tetapi dengan bantuan Yehuwa, kita akan berjaya. Walau bagaimanapun, suami isteri haruslah mengelakkan pandangan dunia tentang seks. Rencana seterusnya akan membincangkan cara suami isteri dapat terus menguatkan perkahwinan mereka.
a Walaupun suami isteri digalakkan untuk saling mengampuni dan menyelesaikan masalah bersama, Bible mengatakan bahawa individu yang tidak bersalah berhak memutuskan sama ada dia mahu mengampuni atau menceraikan temannya yang telah berlaku curang. (Mat. 19:9) Lihat buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, muka surat 251, perenggan 2 di bawah tajuk “Pandangan Bible tentang Perceraian dan Perpisahan.”