“Berilah Kami Lebih Banyak Iman”
“Bantulah aku untuk menguatkan imanku!”—MRK. 9:24.
1. Mengapakah iman itu penting? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
PERNAHKAH anda menanya diri, “Adakah Yehuwa akan menyelamatkan saya semasa kesengsaraan besar?” Rasul Paulus mengatakan bahawa iman sangat penting untuk mengharungi kesengsaraan besar. Dia berkata, “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan.” (Ibr. 11:6) Anda mungkin berfikir bahawa hal ini senang. Tetapi sebenarnya “iman bukanlah milik semua orang.” (2 Tes. 3:2) Dua ayat Bible ini membantu kita memahami betapa pentingnya untuk menguatkan iman kita.
2, 3. (a) Menurut Petrus, mengapakah iman penting? (b) Apakah yang akan dibincangkan?
2 Rasul Petrus mengatakan tentang mutu iman yang “telah diuji.” (Baca 1 Petrus 1:7.) Kesengsaraan besar semakin mendekat, dan kita harus menjadi “orang yang beriman, kerana nyawa orang sedemikian akan terpelihara.” (Ibr. 10:39) Maka kita perlu berusaha menguatkan iman kita. Kita ingin mendapat ganjaran apabila Yesus Kristus, raja kita, disingkapkan. Oleh itu, seperti orang yang merayu agar Yesus memberinya lebih banyak iman, kita juga boleh berkata, “Bantulah aku untuk menguatkan imanku!” (Mrk. 9:24) Seperti para rasul, kita juga boleh memohon, “Berilah kami lebih banyak iman.”—Luk. 17:5.
3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan isi-isi yang berikut: Bagaimanakah kita dapat membina iman kita? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempunyai iman yang kuat? Mengapakah kita boleh yakin bahawa Tuhan akan memberi kita lebih banyak iman?
MEMBINA IMAN MENYENANGKAN HATI TUHAN
4. Apakah contoh-contoh yang dapat mendorong kita untuk menguatkan iman kita?
4 Iman sangat penting. Oleh itu, Yehuwa memberikan banyak contoh dalam Bible yang “ditulis untuk mengajar kita.” (Rm. 15:4) Contoh Abraham, Sara, Ishak, Yakub, Musa, Rahab, Gideon, Barak, dan banyak lagi dapat mendorong kita untuk menguatkan iman. (Ibr. 11:32-35) Selain itu, contoh-contoh daripada saudara saudari pada masa kini juga dapat menggalakkan kita.a
5. Bagaimanakah Elia menunjukkan bahawa dia memiliki iman yang teguh, dan apakah yang boleh kita tanya diri?
5 Salah satu contoh daripada Bible ialah nabi Elia. Semasa anda merenungkan teladannya, perhatikan cara dia menunjukkan iman yang teguh terhadap Yehuwa dalam lima situasi. (1) Semasa Elia memberitahu Raja Ahab bahawa Yehuwa akan mendatangkan kemarau, dia dengan yakin berkata, ‘Demi Yehuwa yang hidup, hamba memberitahu tuanku bahawa tidak akan ada embun ataupun hujan, sehingga hamba mengatakan ada hujan.’ (1 Raj. 17:1) (2) Elia yakin bahawa Yehuwa akan memberikan apa yang dia dan orang lain perlukan semasa kemarau. (1 Raj. 17:4, 5, 13, 14) (3) Elia yakin bahawa Yehuwa dapat membangkitkan anak seorang balu. (1 Raj. 17:21) (4) Elia yakin bahawa Yehuwa akan mengirim api untuk membakar persembahannya di Gunung Karmel. (1 Raj. 18:24, 37) (5) Walaupun hujan belum turun, Elia dengan yakin berkata kepada Ahab, “Pergilah makan, kerana hamba mendengar deru hujan yang segera datang.” (1 Raj. 18:41) Maka tanyalah diri: “Adakah iman saya sekuat iman Elia?”
CARA MEMBINA IMAN
6. Apakah yang diperlukan untuk membina iman kita?
6 Kita tidak dapat membina iman dengan keupayaan sendiri. Sebaliknya, kita memerlukan daya aktif Tuhan. Mengapa? Kerana iman ialah salah satu aspek buah daya aktif. (Gal. 5:22) Maka adalah bijak untuk mengikut nasihat Yesus dan memohon lebih banyak daya aktif. Yesus berjanji bahawa Yehuwa akan “memberikan daya aktif-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.”—Luk. 11:13.
7. Bagaimanakah kita boleh mengekalkan iman yang kukuh?
7 Selepas iman kita menjadi kukuh, kita harus mengekalkannya. Iman boleh disamakan dengan api. Pada mulanya, nyala daripada api yang baru dihidupkan sangat kuat. Tetapi jika kayu tidak ditambah, api itu akan malap dan hanya tinggal abu sahaja. Namun jika kayu ditambah dengan kerap, api itu akan terus menyala. Begitu juga dengan iman. Jika kita membaca dan mempelajari Firman Tuhan setiap hari, kita akan lebih mengasihi Bible dan Yehuwa. Hasilnya, iman kita akan tetap kukuh.
8. Apakah yang dapat membantu anda untuk mengekalkan iman yang kukuh?
8 Janganlah berasa bahawa perkara yang kita pelajari sebelum dibaptis sudah cukup. (Ibr. 6:1, 2) Contohnya, anda boleh terus mengkaji nubuat-nubuat yang sudah menjadi kenyataan. Hal ini akan membantu anda untuk mengekalkan iman yang kukuh. Anda juga boleh menggunakan Firman Tuhan untuk memeriksa sama ada iman anda kuat atau tidak.—Baca Yakobus 1:25; 2:24, 26.
9, 10. Bagaimanakah iman kita dibina melalui (a) pergaulan baik? (b) perjumpaan? (c) kerja menginjil?
9 Paulus memberitahu orang Kristian, “Kamu dapat menggalakkan aku melalui iman kamu, dan aku dapat menggalakkan kamu melalui iman aku.” (Rm. 1:12) Apakah maksudnya? Kita dapat membina iman satu sama lain. Apabila kita meluangkan masa bersama saudara saudari, terutamanya mereka yang mempunyai iman yang sudah “diuji,” iman kita pun akan dibina. (Yak. 1:3) Pergaulan buruk akan menghakis iman kita, manakala pergaulan baik akan membina iman kita. (1 Kor. 15:33) Itulah sebabnya kita digalakkan untuk menghadiri perjumpaan secara tetap. Di sana kita dapat “menggalakkan satu sama lain.” (Baca Ibrani 10:24, 25.) Selain itu, bimbingan yang diberikan di perjumpaan dapat membina iman kita. Bible menyatakan, “Orang hanya dapat beriman selepas mendengar perkhabaran.” (Rm. 10:17) Maka, adakah kita selalu menghadiri perjumpaan?
10 Kita juga dapat membina iman dengan mengongsi berita baik kepada orang lain. Seperti orang Kristian masa awal, kita beriman kepada Yehuwa dengan sepenuhnya. Oleh itu, kita menginjil dengan berani tidak kira apa jua situasi.—Kis. 4:17-20; 13:46.
11. Mengapakah Kaleb dan Yosua mempunyai iman yang kuat? Bagaimanakah kita dapat meniru mereka?
11 Apabila kita melihat cara Yehuwa membantu kita dan menjawab doa kita, iman kita menjadi kuat. Hal ini berlaku kepada Kaleb dan Yosua. Mereka beriman kepada Yehuwa apabila mengintip Tanah yang Dijanjikan. Iman mereka juga bertambah kuat apabila mereka melihat cara Yehuwa membantu mereka. Maka Yosua dapat memberitahu orang Israel dengan yakin, ‘Setiap janji Tuhan telah ditepati; tiada satu pun yang dimungkiri-Nya.’ Kemudian, dia berkata lagi, ‘Hormatilah Yehuwa dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada Yehuwa.’ (Yos. 23:14; 24:14, 15) Apabila kita melihat cara Yehuwa membantu kita secara peribadi, iman kita juga akan bertambah kukuh.—Mzm. 34:9.
MENUNJUKKAN IMAN KITA
12. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempunyai iman yang kuat?
12 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita mempunyai iman yang kuat? Yakobus berkata, “Aku akan menunjukkan imanku menerusi perbuatanku.” (Yak. 2:18) Melalui perbuatan, kita dapat menunjukkan bahawa kita mempunyai iman yang kuat. Mari kita membincangkan hal ini.
Mereka yang meluaskan khidmat mereka membuktikan bahawa iman mereka kukuh (Lihat perenggan 13)
13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan iman melalui kerja penyebaran?
13 Kerja penyebaran merupakan cara yang terbaik untuk menunjukkan iman kita. Mengapa? Apabila kita menginjil, kita menunjukkan bahawa kita percaya akhir dunia semakin mendekat dan “tidak akan ditangguhkan.” (Hab. 2:3) Untuk mengetahui sama ada iman kita kuat atau tidak, tanyalah diri: “Adakah kerja penyebaran penting bagi saya? Adakah saya berusaha untuk memberitahu orang tentang Tuhan? Adakah saya berusaha untuk meluaskan khidmat saya kepada Yehuwa?” (2 Kor. 13:5) Marilah kita menunjukkan iman kita dengan “mengisytiharkan perkhabaran,” iaitu berita baik.—Baca Roma 10:10.
14, 15. (a) Bagaimanakah kita dapat menunjukkan iman dalam kehidupan seharian? (b) Ceritakan satu pengalaman tentang cara menunjukkan iman yang kuat.
14 Kita juga menunjukkan iman kepada Yehuwa jika kita tabah menghadapi cabaran dalam hidup. Apabila kita miskin, sakit, kecewa, murung, atau menghadapi masalah lain, kita mesti beriman bahawa Yehuwa dan Yesus akan membantu kita “semasa kita memerlukan bantuan.” (Ibr. 4:16) Kita menunjukkan iman terhadap Yehuwa apabila kita meminta bantuan-Nya. Yesus berkata bahawa kita boleh meminta Yehuwa untuk memberikan ‘makanan yang diperlukan setiap hari.’ (Luk. 11:3) Kisah-kisah dalam Bible membuktikan bahawa Yehuwa dapat memberikan apa sahaja yang kita perlukan. Contohnya, semasa Israel dilanda kemarau, Yehuwa memberikan makanan dan air kepada Elia. Bible berkata, “Dia minum dari sungai kecil itu, dan burung gagak membawa roti dan daging kepadanya setiap pagi dan petang.” (1 Raj. 17:3-6) Maka kita juga boleh yakin bahawa Yehuwa akan memenuhi keperluan kita.
Kita menunjukkan iman jika kita tabah menghadapi cabaran dalam hidup (Lihat perenggan 14)
15 Kita yakin bahawa jika kita menerapkan prinsip-prinsip Bible, kita dapat menjaga keperluan keluarga kita. Rebecca, seorang saudari di Asia, menjelaskan bagaimana dia dan keluarganya menerapkan prinsip di Matius 6:33 dan Amsal 10:4. Suaminya berasa bahawa pekerjaannya akan membahayakan kerohanian keluarga. Oleh itu, dia berhenti bekerja. Tetapi mereka harus menyara empat orang anak mereka. Jadi mereka menyediakan makanan yang dapat dijual. Oleh sebab mereka bekerja keras, mereka selalu mempunyai wang yang cukup untuk menjaga keperluan keluarga. Rebecca berkata, “Kami berasa bahawa Yehuwa tidak pernah mengabaikan kami. Kami tidak pernah kelaparan.” Pernahkah anda mempunyai pengalaman serupa yang menguatkan iman anda?
16. Apakah hasilnya jika kita percaya kepada Tuhan?
16 Kita patut yakin bahawa Yehuwa akan membantu kita jika kita mengikut arahan-Nya. Paulus memetik kata-kata Habakuk dengan berkata, “Orang yang melakukan apa yang benar akan hidup kerana dia beriman.” (Gal. 3:11; Hab. 2:4) Itulah sebabnya kita harus mempunyai iman yang kuat terhadap Tuhan yang dapat membantu kita. Paulus mengingatkan kita bahawa “melalui kuasa [Tuhan] yang bekerja dalam diri kita, Tuhan dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.” (Ef. 3:20) Walaupun umat Yehuwa mempunyai keterbatasan, mereka tetap percaya kepada Tuhan dan berusaha untuk melakukan kehendak-Nya. Kita amat bersyukur kerana Tuhan memberkati usaha kita.
KITA DIBERI IMAN
17. (a) Bagaimanakah Yesus mengabulkan permintaan para rasulnya? (b) Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan memberi kita lebih banyak iman?
17 Daripada apa yang telah dibincangkan, kita mungkin berasa seperti para rasul yang berkata kepada Yesus, “Berilah kami lebih banyak iman.” (Luk. 17:5) Pada Pentakosta 33 M, Yesus mengabulkan permintaan para rasulnya dalam cara yang istimewa. Mereka menerima daya aktif dan mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang kehendak Tuhan. Hal ini menguatkan iman mereka. Apakah hasilnya? Mereka meluaskan aktiviti penyebaran pada masa itu. (Kol. 1:23) Jika kita meminta lebih banyak iman, adakah Yehuwa akan mengabulkan permohonan itu? Yehuwa berjanji bahawa Dia akan mengabulkan permohonan kita “yang selaras dengan kehendak-Nya.”—1 Yoh. 5:14.
18. Bagaimanakah Yehuwa memberkati orang yang membina iman mereka?
18 Yehuwa berasa senang hati apabila kita percaya kepada-Nya dengan sepenuh hati. Dia akan memberi kita lebih banyak iman. Iman kita akan bertambah kukuh dan kita akan “dianggap layak untuk mewarisi Kerajaan Tuhan.”—2 Tes. 1:3, 5.
a Lihat pengalaman Ella dalam Menara Pengawal 15 April 2014, muka surat 9-10, perenggan 7, dan Trophim R. Nsomba dalam Menara Pengawal 15 April 2015, muka 14-18.