PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w16 Januari ms. 22-27
  • “Kami Juga Mahu Diberkati seperti Kamu”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Kami Juga Mahu Diberkati seperti Kamu”
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • PERLUKAH KITA MENGETAHUI NAMA SEMUA ORANG TERURAP?
  • BAGAIMANAKAH ORANG TERURAP MEMANDANG DIRI MEREKA?
  • BAGAIMANAKAH ANDA PATUT MEMPERLAKUKAN MEREKA?
  • PATUTKAH KITA RISAU TENTANG JUMLAH MEREKA?
  • Kami Hendak Pergi Bersama-Samamu
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • ‘Kuasa Suci Tuhan Memberikan Kesaksian’
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • Daya Aktif dan Hati Kita Memberikan Kesaksian
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Mengapakah Kita Menghadiri Peringatan?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
w16 Januari ms. 22-27
Biri-biri mengikut seorang gembala menuruni bukit

“Kami Juga Mahu Diberkati seperti Kamu”

‘Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.’—ZA. 8:23.

LAGU: 65, 122

BOLEHKAH ANDA JELASKAN?

  • Bagaimanakah Zakharia 8:23 menjadi kenyataan?

  • Bagaimanakah orang terurap patut memandang diri mereka?—1 Kor. 4:6-8.

  • Patutkah kita risau tentang bilangan orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan?—Rm. 9:11, 16.

1, 2. (a) Menurut Yehuwa, apakah yang akan berlaku pada masa sekarang? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

YEHUWA berkata bahawa pada masa sekarang, ‘sepuluh orang asing akan datang kepada satu orang Yahudi dan berkata, “Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”’ (Za. 8:23) Orang Yahudi mewakili mereka yang diurapi Tuhan. Mereka juga dikenali sebagai “Israel milik Tuhan.” (Gal. 6:16) Sepuluh orang pula mewakili mereka yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi selama-lamanya. Mereka tahu bahawa Yehuwa telah memberkati kaum terurap. Mereka menganggapnya suatu penghormatan untuk menyembah Yehuwa bersama kaum terurap.

2 Seperti nabi Zakharia, Yesus berkata bahawa umat Tuhan akan bersatu padu. Dia memanggil orang yang naik ke syurga sebagai “kawanan kecil” dan mereka yang berpeluang hidup selama-lamanya di bumi sebagai “biri-biri lain.” Namun Yesus berkata bahawa dua kumpulan ini merupakan “satu kawanan” di bawah “satu gembala.” (Luk. 12:32; Yoh. 10:16) Memandangkan terdapat dua kumpulan, kita mungkin bertanya: (1) Perlukah biri-biri lain mengetahui nama semua orang terurap hari ini? (2) Bagaimanakah orang terurap patut memandang diri mereka? (3) Bagaimanakah saya harus memperlakukan seseorang dalam sidang yang mula makan roti dan minum wain semasa Peringatan? (4) Patutkah saya berasa risau jika jumlah orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan semakin bertambah? Rencana ini akan membahaskan soalan-soalan ini.

PERLUKAH KITA MENGETAHUI NAMA SEMUA ORANG TERURAP?

3. Mengapakah mustahil untuk mengetahui nama semua orang terurap hari ini?

3 Perlukah biri-biri lain mengetahui nama semua orang terurap hari ini? Tidak. Mengapa? Kerana adalah mustahil untuk mengetahui sama ada mereka akhirnya akan menerima ganjaran di syurga.[1] Walaupun Tuhan telah menjemput mereka ke syurga, mereka hanya akan menerima ganjaran ini jika mereka tetap setia. Syaitan tahu tentang hal ini dan dia menggunakan “nabi palsu” untuk “menyesatkan” mereka. (Mat. 24:24) Kaum terurap hanya mendapat ganjaran mereka setelah menerima pemeteraian terakhir daripada Yehuwa. Hal ini akan berlaku sama ada sebelum mereka meninggal atau sebelum “kesengsaraan besar” bermula.—Why. 2:10; 7:3, 14.

4. Bagaimanakah biri-biri lain dapat mengikut orang terurap hari ini jika tidak mengetahui nama mereka?

4 Bagaimanakah biri-biri lain dapat mengikut orang terurap hari ini jika tidak mengetahui nama mereka? Bible menyatakan bahawa 10 orang itu akan ‘datang kepada satu orang Yahudi dan berkata, “Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”’ Bible menyebut tentang satu orang Yahudi. Namun, perkataan “kamu” yang digunakan merujuk kepada lebih daripada satu orang. Hal ini bermaksud bahawa satu orang Yahudi mewakili semua orang terurap sebagai satu kumpulan. Biri-biri lain tahu tentang hal ini dan mereka menyembah Yehuwa bersama kumpulan ini. Biri-biri lain tidak perlu tahu nama setiap ahli dalam kumpulan ini dan mengikut setiap seorang daripada mereka. Yesus merupakan Pemimpin kita, dan Bible memberitahu kita untuk mengikut dia sahaja.—Mat. 23:10.

BAGAIMANAKAH ORANG TERURAP MEMANDANG DIRI MEREKA?

5. Apakah amaran yang harus difikirkan kaum terurap, dan mengapa?

5 Kaum terurap harus memikirkan amaran di 1 Korintus 11:27-29. (Baca.) Bagaimanakah seorang terurap mungkin menjadi “tidak layak” untuk makan roti dan minum wain semasa Peringatan? Hal itu berlaku jika dia tidak mengekalkan hubungan baik dengan Yehuwa dan tidak setia kepada-Nya. (Ibr. 6:4-6; 10:26-29) Amaran ini mengingatkan kaum terurap untuk tetap setia jika mereka ingin ‘Tuhan memanggil mereka melalui Kristus Yesus untuk menerima kehidupan di syurga.’—Flp. 3:13-16.

6. Bagaimanakah orang terurap memandang diri mereka?

6 Paulus memberitahu orang Kristian terurap, “Hendaklah jalan hidup kamu sesuai dengan jalan hidup orang yang dipanggil oleh Tuhan.” Bagaimanakah mereka dapat melakukan hal ini? Paulus menjelaskan, “Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Biarlah kasih mendorong kamu untuk bersabar terhadap satu sama lain, dan hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh daya aktif Tuhan tetap terpelihara.” (Ef. 4:1-3) Daya aktif Yehuwa membantu kita untuk bersikap rendah hati dan bukannya sombong. (Kol. 3:12) Maka, kaum terurap tidak menganggap diri lebih baik daripada orang lain. Mereka tahu bahawa Yehuwa tidak semestinya memberi mereka lebih banyak daya aktif daripada hamba-Nya yang lain. Mereka juga tidak berasa bahawa pemahaman Bible mereka lebih baik daripada sesiapa pun. Selain itu, mereka tidak akan menjemput orang lain untuk makan roti dan minum wain semasa Peringatan kerana menganggap bahawa orang itu diurapi. Sebaliknya, mereka dengan rendah hati sedar bahawa hanya Yehuwa yang boleh menjemput seseorang naik ke syurga.

7, 8. Apakah yang tidak diharapkan oleh kaum terurap, dan mengapa?

7 Walaupun kaum terurap berasa bahawa jemputan ke syurga merupakan suatu penghormatan, mereka tidak mengharapkan layanan istimewa daripada orang lain. (Ef. 1:18, 19; baca Filipi 2:2, 3.) Mereka juga tahu bahawa ketika Yehuwa mengurapi mereka, Dia tidak memberitahu semua orang. Maka, orang terurap tidak rasa terkejut jika sesetengah orang tidak mempercayai bahawa dia diurapi. Dia sedar bahawa Bible memberitahu kita untuk tidak terus mempercayai orang yang berkata bahawa Tuhan memberinya tugas istimewa. (Why. 2:2) Oleh sebab orang terurap tidak mengharapkan terlalu banyak perhatian, dia tidak akan memperkenalkan dirinya sebagai orang yang diurapi. Dia mungkin bahkan tidak menyebutkan hal tersebut. Dia juga tidak akan bercakap besar tentang apa yang akan dilakukannya di syurga.—1 Kor. 1:28, 29; baca 1 Korintus 4:6-8.

8 Orang terurap tidak berasa bahawa mereka hanya patut meluangkan masa dengan orang terurap yang lain, seolah-olah mereka merupakan ahli sebuah persatuan. Mereka tidak akan berkumpul untuk bercakap tentang pelantikan mereka atau mempelajari Bible bersama. (Gal. 1:15-17) Sidang tidak akan bersatu jika mereka berbuat demikian, kerana tindakan sebegitu menentang daya aktif Tuhan yang membolehkan sidang berdamai dan bersatu.—Baca Roma 16:17, 18.

BAGAIMANAKAH ANDA PATUT MEMPERLAKUKAN MEREKA?

9. Mengapakah kita harus berhati-hati dengan cara kita memperlakukan orang terurap? (Lihat kotak “Kasih ‘Tidak Bersikap Biadab.’”)

9 Bagaimanakah anda patut memperlakukan saudara atau saudari terurap? Yesus memberitahu pengikutnya, “Kamu semua bersaudara.” Selain itu, dia berkata, “Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.” (Mat. 23:8-12) Maka kita tidak harus memuja seseorang yang merupakan saudara terurap Kristus. Mengenai para penatua, Bible menggalakkan kita untuk meniru iman mereka, bukannya menjadikan seorang manusia sebagai pemimpin kita. (Ibr. 13:7) Memang Bible menyebut tentang orang yang “dianggap layak untuk menerima lebih banyak penghormatan.” Hal ini adalah kerana mereka “mengambil pimpinan dengan cara yang baik” dan “bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan,” bukannya kerana mereka terurap. (1 Tim. 5:17) Jika kita memberikan terlalu banyak pujian dan perhatian kepada orang terurap, dia mungkin berasa tidak selesa. Atau lebih teruk lagi, dia mungkin menjadi sombong. (Rm. 12:3) Sudah tentu kita tidak ingin menyebabkan orang terurap tersandung.—Luk. 17:2.

Seorang Saksi-Saksi Yehuwa makan roti semasa Peringatan

Bagaimanakah anda patut memperlakukan saudara atau saudari terurap? (Lihat perenggan 9-11)

10. Bagaimanakah kita menunjukkan hormat kepada orang terurap?

10 Bagaimanakah kita menunjukkan hormat kepada orang yang diurapi Yehuwa? Kita tidak perlu menanya bagaimana dia diurapi. Itu merupakan hal peribadi dan kita tidak berhak mengetahuinya. (1 Tes. 4:11; 2 Tes. 3:11) Kita tidak harus menganggap suami atau isteri, ibu bapa, atau ahli keluarganya juga terurap. Seseorang tidak mewarisi harapan tersebut daripada keluarganya. (1 Tes. 2:12) Kita juga harus mengelak daripada menanya soalan yang dapat menyakitkan hati orang. Contohnya, kita tidak akan menanya isteri seorang saudara terurap tentang perasaannya apabila dia harus hidup di bumi buat selama-lamanya tanpa suaminya. Kita boleh pasti bahawa di dunia baru, Yehuwa akan memenuhi ‘keperluan makhluk ciptaan-Nya sehingga tidak berkekurangan.’—Mzm. 145:16.

11. Mengapakah kita dapat melindungi diri jika kita tidak “mengampu orang lain”?

11 Jika kita tidak meninggikan orang terurap, kita sebenarnya melindungi diri. Mengapa? Bible memberitahu bahawa mungkin terdapat “saudara-saudara palsu” di sidang yang mengaku sebagai kaum terurap. (Gal. 2:4, 5; 1 Yoh. 2:19) Selain itu, sesetengah orang terurap mungkin tidak setia kepada Yehuwa. (Mat. 25:10-12; 2 Ptr. 2:20, 21) Jika kita mengelak daripada “mengampu orang lain,” kita tidak akan terikut-ikut dengan mereka yang terurap, yang dikenali ramai, atau mereka yang sudah lama berkhidmat kepada Yehuwa. Sekiranya mereka tiba-tiba berhenti menyembah Yehuwa, kita tidak akan hilang iman atau meninggalkan Yehuwa.—Yud. 16.

PATUTKAH KITA RISAU TENTANG JUMLAH MEREKA?

12, 13. Mengapakah kita tidak patut risau tentang bilangan orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan?

12 Selama bertahun-tahun, jumlah mereka yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan semakin menurun. Namun baru-baru ini, jumlah itu semakin meningkat setiap tahun. Patutkah kita berasa risau tentang hal ini? Tidak. Mari kita lihat sebabnya.

13 “Yehuwa mengenal mereka yang merupakan milik-Nya.” (2 Tim. 2:19) Tidak seperti Yehuwa, saudara yang mengira jumlah orang yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan tidak dapat memastikan siapa yang sebenarnya terurap. Maka jumlah itu termasuk mereka yang menganggap diri mereka terurap tetapi sebenarnya tidak. Contohnya, sesetengah orang dahulunya makan roti dan minum wain, tetapi kemudiannya berhenti. Ada pula yang mempunyai masalah mental atau emosi dan percaya bahawa mereka akan memerintah bersama Kristus di syurga. Jelaslah, kita tidak tahu dengan tepat jumlah orang terurap yang masih berada di bumi.

14. Apakah yang dikatakan Bible mengenai jumlah orang terurap yang masih berada di bumi apabila kesengsaraan besar bermula?

14 Kaum terurap berada di merata tempat di seluruh bumi apabila Yesus membawa mereka naik ke syurga. Mengenai Yesus, Bible berkata, “Trompet akan dibunyikan dengan kuat dan dia akan mengutus malaikat-malaikatnya ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari satu hujung langit ke hujung yang lain.” (Mat. 24:31) Bible juga menunjukkan bahawa pada hari-hari terakhir, terdapat saki-baki orang terurap yang masih berada di bumi. (Why. 12:17) Namun, Bible tidak mengatakan jumlah orang terurap yang berada di bumi apabila kesengsaraan besar bermula.

15, 16. Apakah yang harus kita fahami tentang 144,000 orang yang diurapi Yehuwa?

15 Yehuwa memutuskan bila Dia akan memilih kaum terurap. (Rm. 8:28-30) Yehuwa mula memilih kaum terurap selepas Yesus dibangkitkan. Nampaknya pada abad pertama, semua Kristian sejati telah diurapi. Selama ratusan tahun selepas itu, kebanyakan orang yang mengaku diri Kristian sebenarnya tidak mengikut Kristus. Walaupun demikian, Yehuwa telah mengurapi beberapa orang yang merupakan Kristian sejati. Yesus berkata bahawa mereka bagaikan gandum yang tumbuh di antara lalang. (Mat. 13:24-30) Pada hari-hari terakhir, Yehuwa masih memilih orang yang akan menjadi sebahagian daripada 144,000 orang terurap.[2] Jika Tuhan hendak memilih beberapa di antara mereka sejurus sebelum akhir datang, kita tidak akan meragui kebijaksanaan-Nya. (Yes. 45:9; Dan. 4:35; baca Roma 9:11, 16.)[3] Kita harus berhati-hati agar tidak menjadi seperti pekerja yang bersungut-sungut terhadap tuan mereka kerana cara dia memperlakukan pekerja yang datang lambat.—Baca Matius 20:8-15.

16 Bukan semua orang yang mempunyai harapan untuk naik ke syurga merupakan “hamba yang setia dan bijaksana.” (Mat. 24:45-47) Pada abad pertama, Yehuwa dan Yesus mengedarkan makanan rohani melalui beberapa orang. Contohnya, hanya beberapa orang Kristian terurap diilhami untuk menulis Kitab Yunani Kristian. Begitu juga, hanya beberapa orang Kristian terurap hari ini bertanggungjawab untuk memberi umat Tuhan “makanan pada masa yang sesuai.”

17. Apakah yang anda pelajari daripada rencana ini?

17 Apakah yang kita pelajari daripada rencana ini? Yehuwa telah memilih siapa yang akan tinggal selama-lamanya di bumi dan siapa yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada semua umat-Nya, iaitu “satu orang Yahudi” dan “sepuluh orang asing.” Dia ingin mereka mentaati perintah yang sama dan tetap setia. Mereka juga harus bersikap rendah hati. Mereka harus menyembah-Nya dengan bersatu padu dan memupuk kedamaian dalam sidang. Memandangkan akhir sistem semakin mendekat, marilah kita tetap menyembah Yehuwa dan mengikut Kristus sebagai satu kawanan.

^ [1] (perenggan 3) Menurut Mazmur 87:5, 6, pada masa depan, Tuhan mungkin akan menyingkapkan nama semua orang yang memerintah bersama Yesus di syurga.—Rm. 8:19.

^ [2] (perenggan 15) Walaupun Kisah 2:33 menunjukkan bahawa daya aktif dicurahkan melalui Yesus, Yehuwalah yang sebenarnya memilih orang yang terurap.

^ [3] (perenggan 15) Untuk maklumat lanjut, sila lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam Menara Pengawal, 1 Mei 2007, muka surat 30-31 dalam bahasa Indonesia.

Sepasang suami isteri dikelilingi sekumpulan orang yang mengambil gambar mereka

Kasih “Tidak Bersikap Biadab”

Rasul Paulus menulis, “Kasih itu sabar dan baik hati. Kasih tidak cemburu, tidak bercakap besar, tidak menjadi angkuh, tidak bersikap biadab, tidak mementingkan diri sendiri.” (1 Kor. 13:4, 5) Kita “bersikap biadab” jika kita kasar, berkelakuan buruk, dan tidak menghormati orang lain. Sebaliknya, jika kita mengasihi saudara saudari, kita akan memikirkan perasaan mereka sebelum bercakap atau melakukan sesuatu.

Kita boleh menunjukkan kasih kepada saudara yang mengambil pimpinan dalam organisasi Yehuwa melalui cara kita memperlakukan mereka. Ada kalanya, saudara yang dikenali ramai mungkin melawat sidang atau konvensyen kita. Mereka mungkin merupakan penyelia litar, ahli Bethel, ahli Jawatankuasa Cawangan, ahli Badan Pimpinan, atau pembantu Badan Pimpinan. Sudah tentu kita ingin menghormati mereka dan isteri mereka. Kita tidak mahu menjadi seperti Diotrefes yang enggan menghormati dan menyambut saudara yang melawat sidangnya. (3 Yoh. 9, 10) Walaupun kita menyambut saudara-saudara ini, kita mungkin tidak menunjukkan hormat kepada mereka. Bagaimanakah hal ini mungkin terjadi?

Kita gemar bertemu dan bercakap dengan saudara saudari yang melawat kita. Namun, kita tidak menunjukkan hormat jika kita memperlakukan mereka seperti orang terkenal. Adakah kita menghormati mereka jika kita mengambil gambar tanpa pengetahuan mereka, contohnya semasa mereka makan atau melakukan hal lain? Adakah kita akan meminta mereka untuk autograf buku atau Bible kita? Adakah kita akan berebut-rebut untuk mengambil gambar bersama mereka? Jika kita melakukan hal sebegini, apakah kesannya terhadap orang yang menghadiri konvensyen buat kali pertama? Sudah tentu, kasih akan mendorong kita untuk menghindari perbuatan sebegini. Kita ingin menghormati mereka kerana kita faham tujuan lawatan mereka dan kerja keras mereka demi kita.

Apakah yang membantu kita untuk mengetahui cara memperlakukan saudara kita? Pertama, ingatlah bahawa kita harus memuliakan Yehuwa. (Why. 4:11) Kedua, kita ingin menghormati saudara kita dan isteri mereka. Namun, kita tidak memperlakukan mereka seperti orang terkenal. Mereka ingin diperlakukan seperti saudara saudari kita. (Mat. 23:8) Ketiga, ingatlah ajaran Yesus: “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.” (Mat. 7:12) Jika kita ingat semua perkara ini, kita menunjukkan kasih yang “tidak bersikap biadab.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi