KISAH HIDUP
‘Melakukan Apa Sahaja untuk Membantu Segala Macam Orang’
“Jika kamu dibaptis, aku akan tinggalkan kamu!” Itulah kata-kata bapa kepada ibu saya pada tahun 1941. Walaupun begitu, ibu tetap membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis. Oleh itu, bapa meninggalkan kami. Saya hanya berumur lapan tahun pada masa itu.
SEBELUM itu, saya sudah pun berminat dalam kebenaran Bible. Ibu menerima bahan bacaan Bible dan saya suka kandungannya, terutamanya gambar-gambar. Bapa tidak ingin ibu memberitahu saya tentang kebenaran Bible. Namun saya ingin tahu dan tanya banyak soalan. Jadi apabila bapa tiada di rumah, ibu mengajarkan Bible kepada saya. Hasilnya, saya juga ingin membaktikan diri kepada Yehuwa. Saya dibaptis pada tahun 1943 semasa berumur 10 tahun di Blackpool, England.
MULA BERKHIDMAT KEPADA YEHUWA
Sejak itu, saya dan ibu menyertai aktiviti penyebaran secara tetap. Kami menggunakan peti nyanyi untuk memperkenalkan mesej Bible. Peti itu besar dan beratnya lebih kurang 4.5 kg. Bayangkan saya, seorang budak kecil, perlu mengheret peti nyanyi itu!
Apabila saya berumur 14 tahun, saya ingin merintis. Ibu menyuruh saya untuk memberitahu keinginan itu kepada penyelia litar. Saudara itu mencadangkan supaya saya belajar kemahiran agar dapat menampung kehidupan semasa merintis. Jadi saya melakukannya. Selepas bekerja selama dua tahun, saya meminta cadangan daripada penyelia litar yang lain mengenai khidmat merintis. Saudara itu menggalakkan saya dengan berkata, “Cubalah!”
Maka, pada April 1949, saya dan ibu menjual dan memberikan perabot-perabot kami kepada orang lain dan berpindah ke Middleton, berdekatan Manchester. Di sana, kami mula merintis. Selepas empat bulan, saya memilih seorang saudara untuk menjadi rakan perintis. Pejabat cawangan mencadangkan kami untuk berpindah ke sebuah sidang baharu di Irlam. Ibu pula merintis dengan seorang saudari di sidang lain.
Sidang baharu itu kekurangan saudara yang layak. Jadi walaupun saya hanya berumur 17 tahun, saya dan rakan perintis diberi tanggungjawab untuk mengendalikan perjumpaan. Kemudian, saya dijemput untuk berpindah ke sidang Buxton. Sidang itu mempunyai bilangan penyiar yang sedikit dan memerlukan bantuan. Saya selalu menganggap pengalaman masa muda sebagai latihan bagi tugas masa depan.
Mengiklankan ceramah umum dengan saudara saudari di Rochester, New York, tahun 1953
Pada tahun 1951, saya mengisi borang untuk menghadiri Sekolah Latihan Gilead. Namun, pada Disember 1952, saya dikerah menyertai khidmat tentera. Saya cuba mendapatkan pengecualian kerana berkhidmat sebagai penginjil sepenuh masa. Tetapi mahkamah tidak mengiktiraf hal itu dan saya dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan. Semasa di penjara, saya menerima jemputan untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-22. Maka pada Julai 1953, saya menaiki kapal Georgic untuk ke New York.
Semasa saya tiba, saya dapat menghadiri Perhimpunan New World Society di New York pada tahun 1953. Kemudian saya menaiki kereta api ke Lansing Selatan, New York, tempat terletaknya Sekolah Gilead. Oleh sebab saya baru keluar dari penjara, saya mempunyai sedikit wang. Selepas turun daripada kereta api, saya perlu menaiki bas ke Lansing Selatan. Saya terpaksa meminjam 25 sen daripada seorang penumpang untuk membayar tambang saya.
TUGAS DI LUAR NEGARA
Latihan di Sekolah Gilead membantu kami “melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang.” (1 Kor. 9:22) Saya, Paul Bruun, dan Raymond Leach ditugaskan ke Filipina sebagai mubaligh. Kami telah menunggu beberapa bulan untuk mendapatkan visa. Kemudian kami menaiki kapal yang melalui Rotterdam, Laut Mediterranean, Terusan Suez, Lautan Hindi, Malaysia, dan Hong Kong. Akhirnya selepas 47 hari di laut, kami sampai di Manila pada 19 November 1954.
Saya dan rakan mubaligh, Raymond Leach, menaiki kapal selama 47 hari untuk sampai ke Filipina
Di sana, kami menyesuaikan diri dengan orang, tempat, dan bahasa baharu. Pada mulanya kami ditugaskan ke sebuah sidang di Quezon City di mana ramai orang bertutur bahasa Inggeris. Selepas enam bulan, kami hanya tahu beberapa perkataan Tagalog. Namun situasi itu berubah kerana tugas kami yang seterusnya.
Suatu hari, pada bulan Mei 1955, kami pulang dari menginjil. Saya dan Saudara Leach menjumpai beberapa pucuk surat di bilik kami. Kami telah ditugaskan sebagai penyelia litar. Pada masa itu, saya hanya berumur 22 tahun. Tetapi tugas ini membolehkan saya mencari cara baharu untuk “melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang.”
Menyampaikan ceramah umum dalam bahasa Bicol semasa perhimpunan litar
Contohnya, ceramah umum pertama yang saya berikan sebagai penyelia litar adalah di depan sebuah kedai di kampung. Nampaknya, adalah kebiasaan di Filipina untuk mengadakan ceramah umum di tempat umum! Seraya saya melawat sidang-sidang, saya telah memberikan ceramah di pondok kecil, pasar, di depan dewan bandar raya, gelanggang bola keranjang, taman, dan di kaki lima di bandar. Pernah sekali di San Pablo, hujan lebat menghalang saya daripada memberikan ceramah di pasar. Jadi saya mencadangkan kepada saudara yang bertanggungjawab untuk mengadakan ceramah di Dewan Perjumpaan. Kemudian mereka menanya saya jika mereka boleh melaporkannya sebagai penjumpaan umum memandangkan perjumpaan itu tidak diadakan di tempat umum!
Saya selalu tinggal di rumah saudara saudari. Walaupun sederhana, rumah mereka bersih. Tempat tidur saya biasanya ialah tikar yang terletak di atas lantai papan. Memandangkan tempat mandi tidak tertutup, saya perlu mandi dengan pakaian. Saya membuat perjalanan dengan menggunakan jeepney, bas, dan kadangkala bot untuk pergi ke pulau-pulau lain. Sepanjang khidmat sebagai penyelia litar, saya tidak pernah memiliki kereta.
Saya telah belajar bahasa Tagalog melalui kerja penyebaran dan semasa melawat sidang-sidang. Walaupun saya tidak menghadiri kursus bahasa Tagalog, saya belajar dengan mendengar saudara saudari bercakap semasa menginjil dan di perjumpaan. Mereka telah membantu saya, dan saya menghargai kesabaran dan komen mereka yang jujur.
Seraya masa berlalu, saya perlu membuat penyesuaian untuk menangani tugas baharu. Pada tahun 1956, saya ditugaskan untuk mengurus perhubungan awam bagi konvensyen nasional apabila Saudara Nathan Knorr melawat. Memandangkan saya tidak berpengalaman, saudara lain membantu saya. Kurang setahun kemudian, satu lagi konvensyen nasional diaturkan dan Saudara Frederick Franz dari ibu pejabat sedunia datang melawat. Pada masa itu, saya berkhidmat sebagai penyelia konvensyen dan saya sedar bahawa Saudara Franz rela menyesuaikan diri mengikut budaya tempatan. Saudara saudari sangat gembira apabila Saudara Franz memakai barong Tagalog, iaitu pakaian tradisional orang Filipina, semasa memberikan ceramah umum.
Apabila saya ditugaskan sebagai penyelia distrik, saya masih perlu membuat penyesuaian. Pada masa itu, kami biasa menayangkan filem The Happiness of the New World Society di kawasan terbuka. Ada kalanya, kami dikerumuni serangga. Serangga tersebut tertarik dengan lampu projektor dan terperangkap pada projektor. Memang susah untuk membersihkan projektor itu. Mengaturkan tayangan sebegini tidaklah senang, tetapi setelah melihat reaksi orang yang mula mengenali organisasi Yehuwa sedunia, hal ini membawa kepuasan.
Paderi Katolik cuba mempengaruhi pihak berkuasa untuk tidak memberikan kami permit untuk mengadakan perhimpunan. Jika ceramah kami diadakan berdekatan gereja, mereka akan membunyikan loceng gereja supaya orang tidak dapat mendengar penceramah. Walaupun begitu, kerja penyebaran masih maju dan ramai di kawasan tersebut sekarang menyembah Yehuwa.
TUGAS YANG MEMERLUKAN LEBIH BANYAK PERUBAHAN
Pada tahun 1959, saya menerima surat mengenai tugas untuk berkhidmat di pejabat cawangan. Khidmat ini membantu saya mendapat lebih banyak pengalaman. Seraya masa berlalu, saya diminta untuk membuat lawatan zon ke negara lain. Oleh itu, saya mengenali seorang mubaligh di Thailand yang bernama Janet Dumond. Sejak itu, kami saling berhubung dan kemudiannya berkahwin. Sebagai pasangan, kami telah menikmati kerja yang memuaskan selama 51 tahun.
Bersama Janet di salah sebuah pulau di Filipina
Secara keseluruhan, saya telah melawat umat Yehuwa di 33 negara. Saya sangat bersyukur kerana tugas-tugas yang saya terima semasa muda membantu saya untuk berurusan dengan orang daripada pelbagai latar belakang. Hal ini memperluas pandangan saya dan membantu saya melihat bahawa kasih Yehuwa mencapai semua orang.—Kis. 10:34, 35.
Kami memastikan bahawa kami menyertai kerja penyebaran secara tetap
MASIH MEMBUAT PERUBAHAN
Betapa gembiranya saya kerana dapat berkhidmat bersama saudara saudari di Filipina! Bilangan penyiar sekarang adalah 10 kali ganda berbanding masa saya mula berkhidmat di sini. Saya dan Janet masih berkhidmat di pejabat cawangan Filipina di Quezon City. Walaupun saya telah berkhidmat lebih daripada 60 tahun di luar negara, saya masih perlu rela membuat penyesuaian demi kehendak Yehuwa. Perubahan dalam organisasi Yehuwa baru-baru ini menunjukkan bahawa kita perlu terus menyesuaikan diri dalam khidmat kita kepada Tuhan dan saudara saudari.
Peningkatan dalam bilangan Saksi mendatangkan sukacita
Kami telah berusaha untuk menerima apa jua kehendak Yehuwa dan hal ini menyebabkan kami berasa puas hati. Kami juga rela membuat penyesuaian dan berusaha untuk berkhidmat kepada saudara saudari. Ya, kami yakin bahawa selagi itu merupakan kehendak Yehuwa, kami akan “melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang.”
Kami masih berkhidmat di pejabat cawangan di Quezon City