PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w18 September ms. 8-11
  • Orang Kristian yang Berusia—Yehuwa Menghargai Kesetiaanmu

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Orang Kristian yang Berusia—Yehuwa Menghargai Kesetiaanmu
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • SEORANG LELAKI YANG RENDAH HATI DAN REALISTIK
  • MERANCANG UNTUK MASA DEPAN
  • PELUANG LAIN UNTUK MENYUMBANG
  • YEHUWA MENGHARGAI KESETIAANMU
  • Hargailah Orang Muda dalam Sidang
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Barzilai—Seorang yang Rendah Hati
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2022
  • “Amanahkanlah Perkara-Perkara Itu kepada Orang yang Setia”
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • Hargailah Warga Emas Kita yang Setia
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
Lihat Selanjutnya
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2018
w18 September ms. 8-11
Seorang saudara yang lebih tua menggalakkan seorang saudara yang lebih muda

Orang Kristian yang Berusia​—Yehuwa Menghargai Kesetiaanmu

PARA penatua di serata dunia menghargai peluang mereka untuk berkhidmat, dan mereka memang berkat yang besar kepada umat Tuhan! Namun, belakangan ini, aturan organisasi telah diubah. Penatua yang berumur telah diminta untuk menyerahkan sesetengah tanggungjawab mereka yang berat kepada penatua yang lebih muda.

Dalam aturan ini, tugas penyelia litar dan pengajar sekolah teokratik di luar Bethel akan dihentikan semasa mereka berumur 70 tahun. Selain itu, penatua yang mencecah umur 80 tahun akan menyerahkan tugas seperti koordinator Jawatankuasa Cawangan atau koordinator badan penatua, kepada penatua yang lebih muda. Apakah reaksi para penatua yang lebih tua terhadap perubahan ini? Mereka telah menunjukkan kesetiaan yang menakjubkan!

“Saya menyambut keputusan itu dengan tangan terbuka,” kata Ken, yang telah berkhidmat sebagai koordinator Jawatankuasa Cawangan untuk kira-kira 49 tahun. “Sebenarnya, pada pagi sebelum saya mengetahui keputusan itu, saya telah memohon kepada Yehuwa agar tugas sebagai koordinator dijaga oleh seorang penatua yang lebih muda.” Ramai saudara yang lebih tua juga mempunyai perasaan sedemikian. Namun, memandangkan mereka suka berkhidmat, mereka juga berasa sedikit kecewa pada mulanya.

“Saya agak sedih,” kata Esperandio, yang pernah berkhidmat sebagai koordinator badan penatua. Namun dia mengaku, “Saya perlu lebih banyak masa untuk jaga kesihatan diri.” Kini, Esperandio masih setia kepada Yehuwa dan merupakan berkat bagi sidangnya.

Bagaimana pula dengan mereka yang telah lama berkhidmat sebagai penyelia lawatan, tetapi diberikan tugasan lain? Allan, yang telah melakukan kerja lawatan selama 38 tahun, mengaku, “Saya terkejut semasa mengetahuinya.” Namun, dia sedar bahawa melatih saudara yang lebih muda untuk kerja ini mendatangkan manfaat, dan dia masih menyembah Yehuwa dengan setia.

Russell, yang telah berkhidmat sebagai penyelia lawatan dan pengajar sekolah teokratik di luar Bethel selama 40 tahun, mengatakan bahawa pada mulanya dia dan isterinya berasa kecewa. “Kami sangat menghargai tugas ini dan berasa bahawa kami masih mampu melakukannya.” Kini, para penyiar di sidang Russell dan isterinya sangat gembira kerana dapat belajar daripada latihan dan pengalaman mereka.

Biarpun anda tidak mengalami perasaan saudara-saudara yang disebut tadi, sebuah kisah di 2 Samuel dapat membantu anda menyelami perasaan mereka.

SEORANG LELAKI YANG RENDAH HATI DAN REALISTIK

Semasa Absalom, putera Raja Daud, memberontak, Daud melarikan diri dari Yerusalem ke Mahanaim di sebelah timur Sungai Yordan. Ketika Daud dan para pengikutnya kekurangan barang keperluan, apakah yang terjadi?

Tiga orang penduduk di situ telah menyediakan tikar, makanan, dan perkakas yang diperlukan. Salah seorang daripada mereka bernama Barzilai. (2 Sam. 17:27-29) Setelah pemberontakan Absalom digagalkan, Barzilai menemani Daud dalam perjalanan ke Yerusalem. Semasa di Sungai Yordan, Daud menjemputnya untuk tinggal di Yerusalem dan berjanji akan menyediakan makanan untuknya. Sebenarnya, Barzilai “seorang lelaki yang sangat kaya” dan tidak memerlukan jagaan Daud. (2 Sam. 19:31-33) Namun, Daud mungkin mahu Barzilai mengikutnya kerana dia menghargai sifat dan pengalaman Barzilai. Sudah pasti, menetap dan berkhidmat di istana raja merupakan penghormatan yang istimewa!

Dengan rendah hati, Barzilai menjawab, “Sekarang hamba sudah berusia 80 tahun. Dapatkah hamba menilai apa yang baik dan apa yang buruk?” Apakah maksudnya? Barzilai pasti sangat berpengalaman dan dapat memberikan nasihat yang bernas, seperti para “orang tua” yang menjadi penasihat Raja Rehabeam. (1 Raj. 12:6, 7; Mzm. 92:12-14; Ams. 16:31) Kata-kata Barzilai itu mungkin merujuk kepada keterbatasan fizikal yang disebabkan usianya. Dia mengaku bahawa pendengaran dan deria rasanya sudah tumpul. (Pkh. 12:4, 5) Maka Barzilai mengesyorkan agar Kimham yang lebih muda, yang mungkin ialah anaknya, mengikut Daud ke Yerusalem.​—2 Sam. 19:35-40.

MERANCANG UNTUK MASA DEPAN

Perubahan aturan organisasi yang disebut di awal rencana mencerminkan pandangan Barzilai. Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan bukan sahaja melibatkan situasi dan kebolehan seseorang, seperti dalam kes Barzilai. Kita juga perlu berpandangan realistik agar dapat merancang aturan yang terbaik untuk para penatua yang setia di serata bumi.

Saudara-saudara Kristian yang lebih tua sedar bahawa organisasi Yehuwa akan diteguhkan dan dapat berkembang maju sekiranya tugas yang sudah lama dipikul oleh mereka dijaga oleh saudara-saudara yang lebih muda. Sering kali, merekalah yang telah melatih saudara-saudara muda itu, sepertimana Barzilai melatih anaknya dan Paulus melatih Timotius. (1 Kor. 4:17; Flp. 2:20-22) Para saudara yang lebih muda itu telah membuktikan bahawa mereka ialah “kurnia berupa manusia” yang dapat “menguatkan tubuh Kristus.”​—Ef. 4:8-12; bandingkan Bilangan 11:16, 17, 29.

Seorang saudara yang lebih tua menggalakkan seorang saudara yang lebih muda

Bantulah Saudara yang Lebih Muda untuk Mencapai Potensi Mereka

  • Galakkan mereka untuk menetapkan matlamat rohani yang spesifik, dan bantulah mereka untuk mencapainya.

  • Pujilah mereka kerana pujian daripada orang Kristian yang matang dapat menguatkan mereka dan memberi mereka keyakinan.

  • Latihlah mereka untuk bergantung pada Firman Tuhan dan arahan yang diberikan melalui sidang.

PELUANG LAIN UNTUK MENYUMBANG

Ramai antara umat Tuhan yang telah menyerahkan tanggungjawab mereka kini berpeluang meluaskan khidmat mereka atau menceburi bidang baharu dalam kerja Yehuwa.

“Perubahan ini membolehkan saya membantu suami-suami yang tidak seiman dalam sidang kami,” kata Marco, seorang penyelia lawatan selama 19 tahun.

“Kami menetapkan matlamat baharu, termasuk membantu mereka yang tidak aktif dan mengadakan lebih banyak pembelajaran Bible,” kata Geraldo yang telah melakukan kerja lawatan selama 28 tahun. Setakat ini, dia dan isterinya mengadakan 15 pembelajaran Bible dan berjaya menggalakkan sejumlah orang yang tidak aktif untuk menghadiri perjumpaan.

Allan, yang disebut tadi, berkata, “Sekarang kami dapat meluangkan lebih banyak masa untuk pelbagai aspek kerja penyebaran, seperti kesaksian awam dan kesaksian di kawasan perniagaan. Kami juga menginjil kepada jiran, dan dua antara mereka pernah datang ke Dewan Perjumpaan.”

Jika anda seorang saudara yang setia dan cekap, yang diberi tugas rohani baharu, terdapat satu lagi cara untuk menyokong kerja Yehuwa: Kongsilah pengalaman anda dengan saudara-saudara yang lebih muda. Russell, yang disebut tadi, berkata, “Yehuwa sedang melatih dan menggunakan orang muda yang berbakat. Mereka mengajar dan menggembala dengan bersemangat, dan persaudaraan kita sedang meraih manfaatnya!”​—Lihat kotak “Bantulah Saudara yang Lebih Muda untuk Mencapai Potensi Mereka.”

Bagaimanakah orang Kristian yang lebih tua memberikan bantuan?

  • Seorang saudara yang lebih tua menjemput suami seorang saudari ke perjumpaan

    Membantu teman hidup yang tidak seiman

  • Seorang saudara yang lebih tua dan isterinya mengadakan pembelajaran Bible

    Membantu mereka yang tidak aktif dan mengadakan pembelajaran Bible

  • Seorang saudara yang lebih tua menikmati kesaksian awam

    Meningkatkan usaha dalam kerja penyebaran

YEHUWA MENGHARGAI KESETIAANMU

Jika anda baru sahaja menyertai bentuk khidmat yang baharu, teruslah bersikap positif. Usaha anda yang bersungguh-sungguh selama ini telah membantu ramai orang, maka teruskanlah usaha anda. Anda amat dikasihi dan akan terus dikasihi.

Yang terpenting, usaha anda telah diabadikan dalam hati dan ingatan Yehuwa. “Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya dengan menolong umat suci-Nya, baik dahulu mahupun sekarang.” (Ibr. 6:10) Ingatlah, anda sangat berharga di mata Yehuwa. Dia bukan sahaja mengenang kerja keras anda dahulu, tetapi Dia juga tidak akan melupakan usaha yang anda curahkan sekarang demi-Nya.

Bagaimana pula jika anda tidak mengalami perubahan yang digambarkan tadi? Apakah yang dapat anda pelajari daripadanya?

Jika anda mengenali seorang saudara yang lebih tua, yang diberi tugasan baharu, belajarlah daripada kematangan dan pengalamannya. Tanyalah pendapat dan cadangannya, dan perhatikan bagaimana dia menggunakan pengalamannya untuk terus berkhidmat dengan setia.

Jika anda sudah berusia dan diberi tugasan baharu, atau jika anda dapat belajar daripada mereka yang mengalami perubahan itu, ingatlah bahawa Yehuwa menghargai mereka yang telah lama berkhidmat kepada-Nya dan yang masih berbuat demikian dengan setia.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi