Dapatkah Anda Menikmati Kehidupan yang Lebih Baik?
KEHIDUPAN sekarang sangat berbeza daripada kehendak Tuhan. Bumi sepatutnya dipenuhi orang yang menghormati pemerintahan Pencipta, mematuhi bimbingan-Nya, dan mencerminkan kasih serta sifat-sifat-Nya yang lain. Mereka sepatutnya hidup bahagia dan bekerjasama sambil menjaga keluarga sendiri, menerokai hal-hal baharu, dan menjadikan seluruh bumi sebuah firdaus.
TUHAN BERJANJI UNTUK MENGUBAH KEHIDUPAN DI BUMI MENJADI KEADAAN YANG DIINGINI-NYA DAHULU
“Tuhan menghentikan peperangan di seluruh dunia.”—Mazmur 46:9.
“Inilah masanya Engkau membinasakan orang yang merosakkan bumi.”—Wahyu 11:18.
“Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’”—Yesaya 33:24.
“Umat pilihan-Ku akan menikmati hasil kerja mereka dengan sepuas-puasnya.”—Yesaya 65:22.
Bagaimanakah semua janji itu akan ditunaikan? Tuhan sudah mendirikan sebuah kerajaan yang sempurna di syurga, yang akan memerintah seluruh bumi. Itulah Kerajaan Tuhan yang disebut dalam Bible. (Daniel 2:44) Tuhan telah memilih Anak-Nya Yesus sebagai Raja kerajaan tersebut. Bible menyatakan, “Tuhan Yehuwa akan memberinya [Yesus] takhta . . . Dia akan memerintah sebagai Raja.”—Lukas 1:32, 33.
Semasa di bumi, Yesus melakukan banyak mukjizat. Hal itu menunjukkan bahawa semasa dia menjadi Raja, dia akan memberi manusia kehidupan yang jauh lebih baik.
YESUS PERNAH MENUNJUKKAN BAGAIMANA DIA AKAN MEMBANTU MANUSIA
Dia menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Hal itu menunjukkan bahawa dia akan memberi manusia kesihatan yang sempurna.—Matius 9:35.
Dia menenangkan ribut. Hal itu menunjukkan bahawa dia akan mengawal kuasa alam untuk melindungi manusia.—Markus 4:36-39.
Dia menyediakan makanan untuk ribuan orang. Hal itu menunjukkan bahawa dia akan menjaga keperluan hidup manusia.—Markus 6:41-44.
Dia mengubah air menjadi wain di majlis perkahwinan. Hal itu menunjukkan bahawa dia akan membolehkan manusia menikmati kehidupan.—Yohanes 2:7-11.
Bagaimanakah anda dapat menikmati kehidupan yang disediakan oleh Tuhan bagi orang yang mengasihi-Nya? Terdapat satu “jalan” yang harus anda ikuti. Bible menggambarkannya sebagai ‘jalan yang menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.’—Matius 7:14.
MENEMUI JALAN KEHIDUPAN
Apakah jalan itu? Tuhan berfirman, “Aku, Yehuwa, ialah Tuhan kamu. Aku mengajar kamu apa yang bermanfaat bagi kamu. Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.” (Yesaya 48:17) Apabila kita mengikut nasihat Tuhan, kita sedang menempuh jalan hidup yang terbaik.
Yesus berkata, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan.” (Yohanes 14:6) Jika kita mempercayai ajaran Yesus dan mengikut teladannya, kita dapat menghampiri Tuhan dan menikmati kehidupan yang lebih baik.
Bagaimanakah anda dapat menemui jalan kehidupan? Terdapat banyak agama di dunia, tetapi Yesus berkata, “Bukan semua orang yang berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan,’ akan masuk dalam Kerajaan di syurga. Hanya mereka yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga akan memasukinya.” (Matius 7:21) Yesus juga berkata, “Kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka.” (Matius 7:16) Bible dapat membantu anda membezakan agama yang benar daripada agama yang palsu.—Yohanes 17:17.
Bagaimanakah anda dapat mengikut jalan yang menuju kehidupan? Anda perlu mengenali Tuhan yang memberi kita kehidupan. Anda perlu tahu jawapan kepada soalan seperti: Siapakah Dia? Siapakah nama-Nya? Apakah sifat-sifat-Nya? Apakah yang sedang dilakukan-Nya? Apakah yang diingini-Nya daripada kita?a
Tuhan bukan sahaja ingin manusia bekerja, makan, berseronok, dan berumah tangga. Dia juga mahu kita mengenali-Nya dan menjadi sahabat-Nya. Kita juga dapat menunjukkan kasih kita kepada Pencipta kita dengan melakukan kehendak-Nya. Yesus berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, . . . maka mereka mendapat kehidupan kekal.”—Yohanes 17:3.
MELALUI BIBLE, TUHAN MENGAJAR ANDA ‘APA YANG BERMANFAAT BAGI ANDA.’—YESAYA 48:17
MENGORAK LANGKAH YANG PERTAMA
Anda mungkin perlu membuat perubahan untuk menggembirakan satu-satunya Tuhan yang benar. Hal itu nampaknya mencabar, tetapi apabila anda mengorak langkah yang pertama untuk mengikut jalan yang menuju kehidupan, anda akan menikmati kehidupan yang lebih baik. Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan pembelajaran Bible untuk membantu anda mengenali Tuhan. Pembelajaran itu percuma dan boleh diadakan pada masa dan di tempat yang sesuai bagi anda. Untuk menghubungi kami, sila layari laman web kami di www.pr2711.com/ms.
a Lihat Menara Pengawal, No. 1 2019.