PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w19 Mac ms. 29-31
  • Yehuwa Menghargai “Amin” yang Anda Ucapkan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Yehuwa Menghargai “Amin” yang Anda Ucapkan
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “SELURUH UMAT HARUS BERKATA, ‘AMIN!’”
  • “SEMUA ORANG PUN BERKATA, ‘AMIN!’ DAN MEREKA MEMUJI YEHUWA”
  • SEBABNYA “AMIN” ANDA PENTING
  • Menghampiri Tuhan Melalui Doa
    Apakah Sebenarnya Ajaran Bible?
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
w19 Mac ms. 29-31
Saudara saudari di sidang menundukkan kepala semasa berdoa

Yehuwa Menghargai “Amin” yang Anda Ucapkan

YEHUWA menghargai ibadat kita. Apabila kita berusaha memuji-Nya, bahkan dalam hal yang kecil, Dia “mendengar dengan penuh perhatian.” (Mal. 3:16) Fikirkan satu perkataan kecil yang mungkin telah kita sebut banyak kali, iaitu “amin.” Yehuwa menghargai setiap “amin” yang kita ucapkan. Mengapa? Untuk mengetahui sebabnya, mari kita mengkaji maksud perkataan itu dan cara umat Tuhan menggunakannya pada zaman kuno.

“SELURUH UMAT HARUS BERKATA, ‘AMIN!’”

Perkataan “amin” bermaksud “semoga begitu” atau “pasti.” Perkataan ini berasal daripada kata dasar Ibrani yang bermakna “setia” dan “dapat dipercayai.” Ada kalanya, “amin” diucapkan semasa perbicaraan. Selepas mengangkat sumpah, seseorang akan berkata “amin” untuk mengesahkan bahawa kata-katanya itu benar, dan untuk menunjukkan bahawa dia rela menanggung akibat daripada kata-katanya. (Bil. 5:22) Dengan mengucapkan “amin” di depan umum, dia mempunyai sebab yang lebih kukuh untuk menepati kata-kata sendiri.​—Neh. 5:13.

Satu contoh menarik tentang cara “amin” digunakan terdapat di Ulangan bab 27. Selepas orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, mereka disuruh berkumpul di antara Gunung Ebal dan Gunung Gerizim untuk mendengar pembacaan Hukum. Mereka bukan sahaja perlu mendengar, tetapi juga harus berkata “amin” untuk menunjukkan bahawa mereka menerima Hukum yang dibacakan. Bayangkan suasananya apabila ribuan lelaki, wanita, dan kanak-kanak mengucapkan “amin” semasa mendengar bahawa orang yang melanggar hukum akan dikutuk! (Ul. 27:15-26; Yos. 8:30-35) Orang Israel pasti ingat akan kata-kata itu seumur hidup mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga menepati janji itu, kerana Bible menyatakan, “Selama Yosua masih hidup, umat Israel terus menyembah Yehuwa. Mereka juga tetap menyembah-Nya setelah Yosua meninggal dan sepanjang hayat para pemimpin yang mengetahui segala perbuatan Yehuwa untuk umat Israel.”​—Yos. 24:31.

Yesus juga berkata “amin” untuk mengesahkan bahawa kata-katanya benar. Namun, cara yang digunakan oleh Yesus agak istimewa. Dia tidak berkata “amin” selepas mendengar suatu pernyataan, tetapi sebelum menyatakan sesuatu yang benar. Ada kalanya, dia akan mengulangi “amin” sebanyak dua kali (diterjemahkan sebagai “sesungguhnya” dalam bahasa Melayu) untuk meyakinkan pendengarnya bahawa kata-katanya seratus peratus benar. (Yoh. 1:51) Yesus dapat berucap dengan begitu yakin kerana dialah yang dilantik untuk menunaikan semua janji Tuhan.​—2 Kor. 1:20; Why. 3:14.

“SEMUA ORANG PUN BERKATA, ‘AMIN!’ DAN MEREKA MEMUJI YEHUWA”

Orang Israel juga berkata “amin” semasa berdoa dan memuji Yehuwa. (Neh. 8:6; Mzm. 41:13) Dengan berkata “amin” selepas doa diucapkan, para pendengar menunjukkan bahawa mereka mengambil bahagian dalam doa itu dan menyetujui apa yang diucapkan. Cara ini menjadikan ibadat mereka lebih bermakna. Perhatikan apa yang terjadi semasa Raja Daud membawa tabut perjanjian Yehuwa ke Yerusalem. Semasa mengadakan perayaan bersama rakyat, Daud telah menggubah sebuah lagu dalam bentuk doa, seperti yang tercatat di 1 Tawarikh 16:8-36. Doanya begitu ikhlas dan menyentuh hati, sehingga “semua orang pun berkata, ‘Amin!’ dan mereka memuji Yehuwa.” Reaksi mereka telah membuat hari yang mulia itu bertambah seri.

Orang Kristian abad pertama juga berkata “amin” untuk memuji Yehuwa. Para penulis Bible sering menggunakan perkataan ini dalam surat mereka. (Rm. 1:25; 16:27; 1 Ptr. 4:11) Buku Wahyu juga menggambarkan bagaimana para malaikat di syurga memuliakan Yehuwa dengan berkata, “Amin! Pujilah Yah!” (Why. 19:1, 4) Orang Kristian zaman dahulu biasanya mengucapkan “amin” selepas doa di perjumpaan. (1 Kor. 14:16) Namun, mereka tidak menyebut perkataan itu dengan sembarangan.

SEBABNYA “AMIN” ANDA PENTING

Selepas mengkaji latar dan sejarah perkataan “amin,” kita sedar betapa pentingnya ungkapan itu. Apabila kita mengakhiri doa sendiri dengan “amin,” kita menunjukkan bahawa doa kita benar-benar ikhlas. Pada akhir doa yang diucapkan di depan umum, apabila kita tergerak untuk berkata “amin” secara lantang atau dalam hati, hal itu menunjukkan bahawa kita setuju dengan doa itu. Terdapat beberapa sebab lain “amin” kita penting.

Menunjukkan bahawa kita memberikan perhatian semasa beribadat. Semasa berdoa, kita menyembah Yehuwa bukan hanya dengan berkata “amin,” tetapi juga dengan menjaga kelakuan sendiri. Oleh sebab kita ingin berkata “amin” dengan ikhlas, kita akan memelihara sikap yang betul dan menumpukan perhatian ketika doa diucapkan.

Kita disatukan sebagai penyembah Tuhan. Semasa doa umum, semua ahli sidang mendengar hal yang sama. (Kis. 1:14; 12:5) Apabila kita berkata “amin” bersama saudara saudari, perpaduan kita bertambah kukuh. “Amin” yang kita ucapkan sebagai satu sidang, sama ada dengan lantang atau dalam hati, dapat menggerakkan Yehuwa untuk mengabulkan permintaan kita.

Seorang saudari yang mendengar perjumpaan melalui telefon menundukkan kepala semasa doa

Mengucapkan “amin” merupakan satu cara untuk memuji Yehuwa

Kita memuji Yehuwa. Yehuwa memerhatikan setiap usaha kita untuk menyembah-Nya, biarpun usaha kita nampaknya kecil. (Luk. 21:2, 3) Dia dapat melihat niat dan isi hati kita. Walaupun kita hanya dapat mendengar perjumpaan melalui telefon, yakinlah bahawa Yehuwa juga menghargai “amin” kita dan menganggap kita sedang memuji-Nya bersama saudara saudari di perjumpaan.

“Amin” kita mungkin nampaknya tidak penting, tetapi sebenarnya sangat berharga. Sebuah ensiklopedia Bible menyatakan bahawa “melalui satu perkataan ini,” hamba-hamba Tuhan dapat meluahkan “keyakinan, persetujuan yang kuat, dan harapan yang sungguh-sungguh dalam hati mereka.” Semoga setiap “amin” yang kita ucapkan menyenangkan hati Yehuwa.​—Mzm. 19:14.

HARUSKAH ANDA SELALU BERKATA “AMIN”?

“Amin” ialah perkataan yang penting. Tetapi bagaimana pula jika seseorang yang mengucapkan doa tersilap kata? Haruskah kita mengelak daripada berkata “amin”? Tidak semestinya. Yehuwa tahu bahawa kita ada kalanya terlanjur kata, dan Dia rela memaafkan kita. Maka, daripada terlalu bertumpu kepada kesilapan itu, lebih baik kita berfokus kepada maksud sebenar yang hendak disampaikan. Dengan itu, kita mungkin berasa bahawa kita masih dapat berkata “amin” selepas doanya.

Namun begitu, kita tidak akan berkata “amin,” sama ada dengan lantang atau dalam hati, jika orang yang berdoa itu tidak seiman. Bagaimana pula jika kita kebetulan hadir semasa doa sebegini diucapkan? Contohnya, kita mungkin menghadiri suatu majlis dan ada orang dijemput untuk berdoa, atau bapa atau suami kita yang bukan penyembah Yehuwa mungkin ingin berdoa bagi pihak keluarga. Apakah yang patut kita lakukan?

Dalam situasi sebegini, kita boleh tetap berdiam diri dan bersikap hormat. Kita tidak akan mengambil bahagian dalam doa itu dengan berkata “amin,” dan kita juga tidak akan berpegang tangan dengan orang lain semasa doa, kerana perbuatan itu menunjukkan bahawa kita sedang mengikut serta dalam doa itu. Kita boleh mengucapkan doa sendiri dalam hati, tetapi kita tidak akan berkata “amin” dengan lantang, supaya orang lain tidak berfikir bahawa kita menyertai doa mereka. Jika semua orang berdiri untuk berdoa, kita boleh memutuskan sama ada kita akan berdiri bersama mereka atau tidak. Berdiri atau menundukkan kepala tidak semestinya bermaksud kita turut serta dalam ibadat. Setiap orang Kristian harus membuat keputusan sendiri tentang apa yang akan dilakukan dalam situasi sebegini, dan orang lain tidak patut menghakimi keputusan mereka.

Daripada situasi sebegini, kita dapat lebih memahami sebabnya “amin” kita penting di mata Yehuwa.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi