Adakah Anda Bersedia untuk Menghadapi Bencana Alam?
1 Setiap tahun, jutaan orang di serata dunia termasuk ramai saudara saudari kita, terjejas akibat gempa bumi, tsunami, monsun, ribut taufan, tornado, dan banjir. Oleh sebab bencana alam berlaku tanpa diduga dan boleh menjejaskan sesiapa pun di antara kita, tindakan yang bijak adalah untuk bersedia. —Ams. 21:5.
2 Sebelum Bencana Berlaku: Kadangkala pihak berkuasa dapat memberi amaran tentang bencana yang mendatang. Adalah penting untuk memberi perhatian kepada amaran-amaran tersebut. (Ams. 22:3) Dalam situasi sedemikian, para penatua akan cuba menghubungi semua orang dalam sidang untuk membantu mereka membuat persediaan yang sepatutnya. Selepas berlakunya sesuatu bencana, para penatua juga akan berusaha untuk menghubungi semua dalam sidang bagi memastikan mereka selamat dan untuk mengenal pasti jenis bantuan yang mungkin diperlukan. Masa yang berharga akan terbuang jika para penatua tidak mempunyai maklumat berhubung yang terkini. Maka, adalah penting bagi para penyiar untuk memaklumkan alamat dan nombor telefon yang terkini kepada setiausaha sidang dan penyelia kumpulan pembelajaran buku mereka.
3 Jika sidang berada dalam kawasan yang sering dilanda bencana, para penatua boleh meminta penyiar menyediakan nama dan nombor telefon saudara-mara atau sahabat yang menetap di luar kawasan bencana dan yang dapat dihubungi sekiranya berlaku kecemasan. Maklumat ini akan membolehkan para penatua mencari mereka yang telah berpindah. Para penatua juga boleh menyediakan suatu rancangan luar jangkaan bagi sidang. Rancangan ini harus merangkumi perkara-perkara seperti senarai bekalan kecemasan yang diperlukan, aturan pemindahan, dan rancangan untuk membantu mereka yang mempunyai keperluan khas. Kerjasama kita dengan aturan penuh kasih ini adalah penting.—Ibr. 13:17.
4 Selepas Bencana Berlaku: Apakah yang patut anda lakukan jika bencana melanda kawasan anda? Pastikan keperluan fizikal keluarga anda yang terpenting diberikan perhatian. Jika anda mampu, hulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang lain. Cuba hubungi penyelia kumpulan pembelajaran buku anda atau penatua lain secepat mungkin. Hal ini patut dilakukan walaupun anda selamat dan tidak memerlukan bantuan. Jika anda memerlukan bantuan, yakinlah bahawa saudara saudari anda sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu anda. (1 Kor. 13:4, 7) Ingatlah bahawa Yehuwa sedar akan keadaan anda; bernaunglah pada-Nya untuk menjaga anda. (Mzm. 37:39; 62:9) Beri perhatian kepada peluang untuk memberi sokongan rohaniah dan emosi kepada yang lain. (2 Kor. 1: 4) Mulakan semula rutin teokratik anda secepat mungkin.—Mat. 6:33.
5 Walaupun ancaman bencana amat membimbangkan dunia, kita boleh menanti masa depan dengan penuh keyakinan. Tidak lama lagi, semua bencana akan tinggal kenangan. (Pny. 21:4) Sementara itu, kita boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk bersiap sedia menghadapi waktu yang susah. Pada masa yang sama, kita harus mengekalkan semangat yang berkobar-kobar ketika menyebarkan berita baik kepada orang lain.
[Soalan Pembelajaran]
1. Mengapakah bijak untuk bersedia menghadapi bencana?
2. Mengapakah kita harus memaklumkan para penatua tentang alamat rumah dan nombor telefon kita yang terkini?
3. Bagaimanakah kita dapat bekerjasama dengan para penatua jika kita tinggal di kawasan yang sering dilanda bencana?
4. Apakah yang patut kita lakukan jika bencana melanda kawasan kita?
5. Bagaimanakah ancaman bencana mempengaruhi kita sebagai orang Kristian?