Adakah Anda Menjuarai Firman Tuhan?
1 Dalam dunia yang sering mempersoalkan dan meremehkan kewibawaan Bible, orang Kristian sejati menyokong Firman Tuhan dengan semangat yang berkobar-kobar. Oleh sebab kita percaya bahawa “semua yang tertulis di dalam [Bible] diilhami oleh [Tuhan],” kita sependirian dengan Yesus Kristus yang memberikan keterangan ini dalam doanya kepada Yehuwa, “Firman-Mu selalu benar.” (2 Tim. 3:16; Yoh. 17:17) Bagaimanakah kita dapat menjuarai Firman Tuhan secara efektif?
2 Pelajari Ayat-ayat Bible: Sudah pasti bahawa Yesus telah mempelajari Firman Tuhan dengan tekun. Hal ini membolehkannya mengajar berdasarkan Bible sepanjang aktiviti penyebarannya. (Luk. 4:16-21; 24:44-46) Bagaimanakah kita dapat menyimpan wadah pengetahuan yang berisi dengan ayat-ayat Bible dalam minda kita? Kita dapat berbuat demikian dengan membaca Bible setiap hari dan merenungi satu ayat yang kita dapati amat menggalakkan atau berguna dalam aktiviti penyebaran. Semasa membuat persiapan untuk perjumpaan, kita patut mencari dan membaca ayat rujukan terus daripada Bible. Kita juga boleh menyediakan komen bagi ayat-ayat tersebut. Semasa menghadiri perjumpaan, kita harus membuka Bible dan mengikuti pembacaan ayat Bible oleh penceramah. Dengan mempelajari ayat-ayat Bible, kita dibantu bersiap sedia untuk “mengajar ajaran benar daripada [Bible] dengan betul.”—2 Tim. 2:15.
3 Biarkan Bible Bercakap: Sewaktu bergiat dalam aktiviti penyebaran, kita harus membiarkan Bible bercakap. Misalnya, jika keadaan mengizinkan, kita patut cuba membaca dan membincangkan satu ayat Bible dengan penghuni rumah. Jika dia menanyakan soalan atau mengemukakan bantahan, gunakan Bible untuk menjawabnya. Inilah cara yang terbaik. Jika penghuni rumah sedang sibuk, kita masih dapat menyoroti satu gagasan Bible dengan berkata, “Sebelum saya minta diri, izinkan saya untuk menunjukkan satu ayat daripada Bible.” Seboleh-bolehnya, bacakan ayat itu terus daripada Bible dan biarkan pendengar melihat ayat yang anda bacakan.
4 Setelah ditunjukkan ayat-ayat Bible yang menyangkal ajaran Tritunggal, seorang penghuni rumah berkata, “Sepanjang hidup saya, saya telah pergi ke gereja. Namun, saya memang tak tahu bahawa perkara ini dinyatakan dalam Bible!” Dia telah menerima pembelajaran Bible dengan senang hati. Yesus berkata bahawa domba-dombanya akan mendengarkan suaranya. (Yoh. 10:16, 27) Cara yang terbaik untuk membantu mereka yang berhati jujur supaya mengenal kebenaran adalah dengan membuka Bible dan menggalakkan mereka untuk melihat kebenaran daripada Bible dengan mata sendiri. Oleh itu, marilah kita menjuarai Firman Tuhan yang mengandungi kebenaran!