Meningkatkan Usaha dalam Aktiviti Penyebaran Kita
1 Hawari Paulus menggalakkan orang Kristian untuk mengikut haluan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan terus “berbuat lebih daripada hal itu,” yakni dengan lebih bersungguh-sungguh. (1 Tes. 4:1) Selaras dengan kata-kata Paulus, apakah yang harus kita lakukan? Kita harus berikhtiar untuk melaksanakan aktiviti penyebaran kita “dengan sebaik-baiknya.” Maka, kita harus sentiasa mencari jalan bagi meningkatkan usaha untuk melakukan lebih banyak kegiatan rohani.—2 Tim. 4:5.
2 Niat Hati: Kita meningkatkan usaha dalam aktiviti penyebaran kerana hati kita digerakkan oleh hasrat untuk berkhidmat kepada Pencipta kita dengan sepenuh jiwa raga. Kita ingin maju secara rohani dan mencari jalan untuk memperbaik aktiviti penyebaran kita. Rutin yang baik serta niat hati yang betul akan membantu kita untuk mencapai matlamat teokratik kita.—Mzm. 1:1, 2; Flp. 4:6; Ibr. 10:24, 25.
3 Dalam usaha untuk memperkembangkan aktiviti penyebaran kita, kita perlu memupuk semangat suka memberi dan semangat rela mengorbankan diri. Semangat seperti ini boleh dipupuk dengan berdoa serta merenungkan suri teladan Yesus. (Mat. 20:28) Yesus telah mendapat kegembiraan daripada usahanya untuk membantu orang lain sepanjang aktiviti penyebarannya. (Kis. 20:35) Kita dapat meniru teladan Yesus dengan menunjukkan minat peribadi kepada orang lain dan merebut peluang untuk meningkatkan usaha dalam aktiviti penyebaran kita.—Yes. 6:8.
4 Peranan Ibu Bapa: Keinginan untuk membantu orang lain dan memperkembangkan aktiviti penyebaran dapat ditanam dalam jiwa anak-anak sewaktu mereka masih kecil lagi. Anak-anak akan memerhatikan ahli-ahli keluarga bekerja dengan tekun dan aktif untuk memperkembangkan aktiviti penyebaran mereka. Seorang saudara yang telah bekerja bersama-sama datuknya dalam pelbagai aktiviti teokratik telah mendapat dorongan untuk meningkatkan usahanya walaupun dia masih kecil lagi. Dengan melihat ketekunan dan kegembiraan datuknya, dia telah mendapat dorongan supaya mencari kesempatan untuk membantu saudara saudari rohaninya. Kini dia merupakan seorang pembantu sidang.
5 Saudara-saudara Diperlukan: “Seseorang yang ingin [meningkatkan usahanya], . . . menginginkan pekerjaan yang sangat baik.” (1 Tim. 3:1) Kata-kata ini menggalakkan saudara-saudara untuk meningkatkan usaha mereka agar dapat melayakkan diri untuk memikul lebih banyak tanggungjawab teokratik dalam organisasi Yehuwa. Untuk berbuat demikian, mereka tidak perlu memiliki kemahiran yang istimewa atau bakat semula jadi yang menonjol. Seseorang saudara yang sedang meningkatkan usahanya akan mengutamakan kepentingan Kerajaan Tuhan dan mengambil bahagian dalam aktiviti penyebaran dengan penuh bersemangat. (Mat. 6:33; 2 Tim. 4:5) Dia akan berikhtiar untuk menjadi teladan yang baik kepada orang lain.
6 Di Serata Dunia: Yehuwa sedang mempercepat kerja penuaian. (Yes. 60:22) Semua orang yang sedang mengikut teladan Yesus perlu bertindak dengan segera untuk melaksanakan aktiviti penyebaran mereka dengan lebih bersungguh-sungguh. Laporan sedunia untuk tahun aktiviti penyebaran 2006 menunjukkan bahawa seramai 248,327 orang telah dibaptiskan. Maka, secara purata, lebih daripada 680 orang baru dibaptiskan setiap hari! Semoga kita semua terus mencari jalan untuk melaksanakan aktiviti penyebaran kita dengan lebih bersungguh-sungguh.