Persediaan yang Rapi—Kunci kepada Kunjungan Kembali yang Berkesan
1 Yesus membantu murid-muridnya untuk membuat persediaan rapi supaya mereka dapat menjadi penyebar berita baik Kerajaan Tuhan yang berkesan. (Mat. 4:23; 9:35) Dia melatih mereka semasa menjalankan kerja penyebaran di kawasan Palestin sahaja. Walau bagaimanapun, sebelum Yesus naik ke syurga, dia memaklumkan bahawa aktiviti penyebaran Kristian akan disebarkan secara meluas supaya orang daripada ‘semua bangsa di seluruh dunia dijadikan pengikutnya.’—Mat. 28:19, 20.
2 Kerja penyebaran merangkumi usaha mengunjungi individu yang telah menunjukkan minat terhadap berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan mengajar mereka untuk mentaati segala perkara yang telah diperintahkan oleh Kristus. Bagi membuat kunjungan kembali dengan berkesan, kita perlu membuat persediaan yang baik.
3 Perancangan Awal: Sesetengah penyiar berikhtiar untuk mengemukakan satu soalan pada penghujung kunjungan pertama dan kemudian berjanji untuk kembali dan membincangkan jawapan kepada soalan itu. Mereka telah mendapati bahawa mereka dapat memulakan pembelajaran Bible dengan serta-merta dengan menggunakan maklumat dalam buku Bible Teach semasa membuat kunjungan kembali.
4 Setiap bulan, kita hanya mempunyai satu set majalah untuk ditawarkan. Namun begitu, hal ini tidak bererti bahawa kita patut menunggu sehingga kita menerima terbitan majalah yang terkini barulah hendak membuat kunjungan kembali. Kita mungkin boleh merangsang minat dengan membincangkan maklumat yang terkandung dalam majalah yang telah ditawarkan kepada orang yang kita kunjungi.
5 Mempunyai Satu Objektif: Sebelum anda kembali, ambil beberapa minit untuk mengkaji semula rekod anda untuk mengenal pasti objektif yang ingin dicapai. Sebagai contoh, bincangkan satu isi daripada bahan bacaan yang telah anda tinggalkan pada kunjungan yang lalu. Anda juga boleh meninggalkan bahan bacaan tambahan yang berkaitan dengan subjek yang telah anda bincangkan pada kunjungan sebelum itu. Jika anda telah mengemukakan satu soalan dahulu, anda tentu ingin menjawab soalan tersebut semasa kunjungan kembali. Semasa menyoroti satu ayat Bible yang menyokong perkara yang sedang dibincangkan, berikhtiar untuk membaca ayat tersebut terus daripada Bible.
6 Matlamat Kita: Sudah pasti, kita bermatlamat untuk memulakan satu pembelajaran Bible. Seorang saudara telah menawarkan satu pembelajaran Bible semasa membuat kunjungan kembali, tetapi lelaki tersebut enggan menerima tawarannya. Saudara tersebut kembali dengan majalah-majalah terbaru dan berkata, “Hari ini kami ingin membantu penghuni di kawasan ini untuk mendapat jawapan kepada satu soalan Bible.” Selepas memperoleh maklum balas daripada lelaki itu, saudara tersebut membaca satu ayat Bible dan sebuah perenggan yang sesuai daripada sebuah bahan bacaan yang digunakan untuk pembelajaran Bible. Hasilnya, satu pembelajaran Bible yang tetap telah diadakan.
7 Mengambil masa bagi membuat persediaan untuk kunjungan kembali amatlah berbaloi. Perasaan sukacita kita akan bertambah, dan kita mungkin mempunyai peluang istimewa dalam membantu orang yang lurus hati untuk menempuh jalan yang menuju ke kehidupan kekal.—Kis. 13:48.
[Soalan Pembelajaran]
1. Setakat manakah aktiviti penyebaran orang Kristian abad pertama akan berkembang?
2. Apakah yang terlibat dalam mentaati perintah Yesus untuk menjadikan orang muridnya?
3. Bagaimanakah anda dapat membuka jalan untuk membuat kunjungan kembali semasa kunjungan pertama?
4. Mengapakah kita tidak patut menangguhkan kerja kunjungan kembali sehingga kita menerima terbitan majalah yang baru?
5. Apakah faedah yang diperoleh daripada memiliki satu objektif semasa membuat kunjungan kembali?
6. Apakah matlamat kita semasa membuat kunjungan kembali?
7. Bagaimanakah persediaan yang rapi telah membantu anda untuk memulakan satu pembelajaran Bible?