Pembelajaran Bible Peribadi dan Keluarga Amatlah Penting!
1 Sama seperti keadaan pada abad pertama, Badan Pimpinan hari ini juga amat prihatin terhadap kesejahteraan umat Yehuwa. (Kis. 15:6, 28) Seraya awan hitam kesengsaraan besar semakin mendekat, amatlah penting untuk setiap penyiar mempunyai hubungan yang kukuh dengan Yehuwa. Bagaimanakah anda akan menggunakan masa yang sebelum ini diperuntukkan bagi Pembelajaran Buku Sidang? Semua digalakkan untuk menggunakan masa ini untuk menyembah Yehuwa sebagai sebuah keluarga. Dengan menggunakan masa ini dengan bijak, kita dapat menggali Firman Tuhan yang terilham dengan lebih mendalam serta menimba air kehidupan yang terkandung dalam Firman itu.—Mzm. 1:1-3; Rm. 11:33, 34.
2 Masa untuk Menyembah sebagai Sebuah Keluarga: Semua ketua keluarga digalakkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka yang diberikan oleh Yehuwa untuk memastikan bahawa program pembelajaran keluarga yang tetap dan bermakna diadakan. (Ul. 6:6, 7) Saudara dan saudari yang belum berkahwin dan yang tidak mempunyai tanggungjawab dalam keluarga boleh menggunakan masa ini untuk pembelajaran Bible peribadi dan untuk membuat penyelidikan. Amatlah penting agar kita semua “membeli” masa untuk pembelajaran Bible dan membuat perenungan supaya dapat mengekalkan kekuatan rohani yang diperlukan pada “masa yang jahat” ini.—Ef. 5:15, 16.
3 Apa yang Boleh Dibincangkan: Indeks Bahan Bacaan Menara Pengawal (Watch Tower Publications Index) atau cakera padat Watchtower Library boleh membantu anda memperoleh maklumat yang akan menjadikan masa pembelajaran Bible anda sesuatu yang menyeronokkan. Seisi keluarga boleh membincangkan rencana-rencana yang diterbitkan secara tetap dalam majalah pembelajaran, seperti “Kunci Kebahagiaan Keluarga,” “Ajarlah Anak-anak Anda,” dan “Khas untuk Kaum Muda.” Selain itu, majalah berita mengandungi siri “Pertanyaan Kaum Muda” dan rencana-rencana yang menarik tentang keindahan penciptaan.
4 Pembacaan Bible yang dibuat dengan tidak tergesa-gesa akan membantu semua dalam keluarga untuk menanam prinsip-prinsip Bible dalam hati dan fikiran mereka. (Ibr. 4:12) Pada masa lain, anda boleh menonton dan membincangkan salah satu video yang diterbitkan oleh organisasi kita. Anda akan berpeluang untuk menggunakan daya kreatif dalam memilih apa yang akan dipelajari dan cara untuk mempelajari bahan itu. Tanyalah ahli keluarga anda apa yang ingin dipelajari oleh mereka.
5 Mengapa Penting Sekarang: Dengan memperkukuh hubungan kita dengan Yehuwa, kita akan bersedia untuk ‘tabah dan memperhatikan penyelamatan daripada Yehuwa.’ (Kel. 14:13) Ibu bapa memerlukan bimbingan daripada Tuhan untuk membesarkan anak-anak mereka ‘dalam kalangan orang yang jahat dan berdosa.’ (Flp. 2:15, 16) Anak-anak memerlukan bantuan untuk menangani keadaan moral yang semakin merosot di sekolah pada masa sekarang. (Ams. 22:3, 6) Pasangan suami isteri harus memperkuat hubungan mereka dengan Yehuwa yang diibaratkan sebagai “tiga utas tali yang dipintal menjadi satu.” (Pkh. 4:12) Oleh itu, marilah kita menggunakan masa yang tinggal dengan bijak untuk ‘membina hidup yang berdasarkan kepercayaan yang sangat suci’!—Yud. 20.
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah perhatian istimewa yang kini diberikan oleh Badan Pimpinan terhadap kita dan mengapa?
2. Bagaimanakah kita boleh mengaturkan masa untuk menyembah Yehuwa sebagai sebuah keluarga?
3, 4. Apakah cadangan-cadangan yang diberikan sehubungan dengan bahan yang boleh kita gunakan? Apakah tumpuan utama kita?
5. Mengapakah pembelajaran Bible peribadi dan keluarga begitu penting dalam kehidupan kita sekarang?