Anda Boleh Menjadi Seorang Pengajar!
1 Salah satu aspek aktiviti penyebaran yang membawa paling banyak kepuasan ialah kerja mengajar seseorang tentang kebenaran. Apabila kita melihat dia menyambut berita Kerajaan Tuhan dan membantunya mendekat kepada Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat, hal ini sesungguhnya suatu pengalaman yang menyukacitakan. (Yak. 4:8) Setiap penyiar Kerajaan Tuhan patut bermatlamat untuk mengajar seseorang yang mendahagakan kebenaran dan melihatnya membuat perubahan yang ketara dalam keperibadian, pandangan, dan kelakuannya.—Mat. 28:19, 20.
2 Bergantunglah pada Yehuwa: Hamba-hamba Yehuwa pada masa lampau berasa tidak layak untuk menyempurnakan amanah mereka. Oleh sebab Musa, Yeremia, Amos, dan orang biasa yang lain bergantung pada Tuhan Yehuwa, mereka dapat mengatasi keraguan atau perasaan tidak yakin dan melaksanakan tugas yang penting. (Kel. 4:10-12; Yer. 1:6, 7; Am. 7:14, 15) Hawari Paulus juga telah mengerahkan keberanian untuk mengkhabarkan berita baik. Apakah sumber keberaniannya? Katanya, “[Tuhan] kita mengurniai kami keberanian.” (1 Tes. 2:2) Sememangnya, kita boleh yakin bahawa Yehuwa akan memberi kita bantuan, kebijaksanaan, dan kekuatan yang diperlukan untuk mengadakan pembelajaran Bible yang berkesan.—Yes. 41:10; 1 Kor. 1:26, 27; 1 Ptr. 4:11.
3 Terimalah Latihan: Tuhan Yehuwa, Pendidik Agung kita, melatih kita menerusi program pendidikan rohani yang tetap supaya kita dapat menjadi pengajar yang cekap. (Yes. 54:13; 2 Tim. 3:16, 17) Terimalah latihan ini dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang untuk mendalami pemahaman anda tentang Bible dan mengasah kebolehan anda untuk mengajarkan kebenaran Bible. Meskipun Sekolah Penyebaran Teokratik dan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran diadakan terutamanya untuk tujuan ini, namun semua perjumpaan dapat melatih kita untuk mengajar berdasarkan Firman Tuhan.
4 Berusahalah mempelajari cara mengajar yang mudah, biarpun semasa mengajar kebenaran Bible yang dalam. Buku “Sekolah Penyebaran” (Benefit From Theocratic Ministry School Education), muka surat 227, menjelaskan, “Anda sendiri mesti jelas memahami subjek anda. Dengan itu, barulah anda dapat menjelaskannya kepada orang lain.” Apabila kita memberi komen semasa di perjumpaan, kita dibantu untuk mengingati isi-isi penting yang dapat digunakan pada masa depan. Oleh itu, buatlah persiapan rapi. Dengan ini, anda akan bertambah yakin akan kebolehan anda untuk mengajar.
5 Sejak para penyebar Kristian mula bergiat dalam kerja menjadikan orang murid Yesus, mereka sudah tentu belajar daripada satu sama lain. (Luk. 10:1) Jika boleh, ikutlah penyiar-penyiar yang berpengalaman, termasuk para perintis, penatua, dan penyelia lawatan semasa mereka mengadakan pembelajaran Bible. Perhatikan bagaimana mereka cekap menggunakan perumpamaan yang mudah dan alat bantu mengajar lain yang terdapat dalam bahan bacaan kita untuk menjelaskan kebenaran Bible. Mintalah cadangan mereka tentang caranya anda boleh menjadi seorang pengajar yang lebih mahir. (Ams. 1:5; 27:17) Hargailah semua latihan ini sebagai latihan yang disediakan oleh Tuhan.—2 Kor. 3:5.
6 Bergantunglah pada Yehuwa dan manfaatkan latihan yang disediakan oleh-Nya. Berdoalah supaya anda dapat membuat kemajuan. (Mzm. 25:4, 5) Anda juga boleh bersukacita apabila membantu seseorang untuk menjadi pengajar Firman Tuhan seperti anda!
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah peluang istimewa yang terbuka kepada setiap penyiar Kerajaan Tuhan?
2. Mengapakah sesetengah orang mungkin teragak-agak untuk mengadakan pembelajaran Bible? Apakah yang dapat membantu mereka untuk mengatasi masalah ini?
3, 4. Apakah latihan yang disediakan untuk membantu kita mengajarkan Firman Tuhan?
5. Apakah latihan-latihan lain yang disediakan menerusi sidang bagi membantu meningkatkan kemahiran kita untuk mengajar?
6. Secara ringkas, apakah yang diperlukan agar kita dapat menjadi pengajar Firman Tuhan?