Aktiviti Penyebaran Mencerminkan Kasih Kita pada Tuhan
1. Kasih Yesus pada Tuhan telah mendorongnya untuk berbuat apa?
1 Kasih mendorong Yesus untuk melaksanakan aktiviti penyebaran. Seluruh aktiviti penyebaran Yesus merupakan bukti yang kukuh akan kasihnya pada Yehuwa. Yesus berkata, “Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa aku mengasihi Bapa.” (Yoh. 14:31) Apabila kita mengikut jejak Yesus, kita juga mempunyai peluang yang istimewa untuk memperlihatkan kasih kita yang mendalam kepada Tuhan menerusi aktiviti penyebaran kita.—Mat. 22:37; Ef. 5:1, 2.
2. Bagaimanakah kasih kita pada Yehuwa mempengaruhi aktiviti penyebaran kita?
2 Semoga Nama-Mu Disucikan: Apabila kita menggunakan setiap peluang yang ada untuk bercakap kepada orang lain tentang Yehuwa dan Kerajaan-Nya dengan bersemangat, kita menunjukkan kasih kita pada Tuhan. Dengan berbuat demikian, kita juga sedang menyumbang kepada penyucian nama-Nya. (Mzm. 83:19; Yeh. 36:23; Mat. 6:9) Seperti aktiviti penyebaran Yesus, aktiviti penyebaran kita juga sentiasa menunjukkan bahawa kita sungguh-sungguh ingin agar nama Yehuwa disucikan dan kehendak-Nya dilaksanakan.—Mat. 26:39.
3. Bagaimanakah kasih kita pada Yehuwa membantu kita mengatasi halangan?
3 Kasih Mendorong Kita Mengatasi Halangan: Kasih pada Yehuwa tidak mengenal batas. (1 Kor. 13:4, 7) Yesus pernah menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupan yang mungkin menghalangnya daripada menjalankan aktiviti penyebaran. Namun, kasihnya yang mendalam dan keinginannya untuk melakukan kehendak Yehuwa telah membantunya untuk mengatasi semua cabaran itu. (Mrk. 3:21; 1 Ptr. 2:18-23) Dengan adanya kasih pada Tuhan, cabaran-cabaran yang kita hadapi dapat diatasi. Apabila kita mengikut teladan Yesus, kita dapat berasa yakin dan tidak goyah semasa melaksanakan aktiviti penyebaran. Meskipun tentangan daripada keluarga, masalah kesihatan, usia yang lanjut, atau sikap orang ramai yang tidak ambil peduli mungkin mempengaruhi kita, kita tidak akan berhenti menunjukkan kasih pada Yehuwa. Sebaliknya, kita akan terus menjalankan aktiviti penyebaran dengan sebaik yang mungkin.
4. Dengan adanya kasih pada Yehuwa, apakah peluang istimewa yang terbuka kepada kita?
4 Kasih merupakan pendorong yang kuat. Kita bersyukur kerana berpeluang menunjukkan bahawa kita mengasihi Tuhan dengan sepenuh jiwa menerusi aktiviti penyebaran kita. (1 Kor. 13:13) Tidak lama lagi, nama Yehuwa akan disucikan sekali buat selama-lamanya. Semoga kasih kita “terus bertambah” seraya hari itu semakin mendekat.—Flp. 1:9; Mat. 22:36-38.