Kita Membawa Berita Baik tentang Sesuatu yang Lebih Baik
1 Kini, orang di serata dunia berasa bahawa mereka sedang lemas dalam arus berita buruk. Namun, betapa leganya kita kerana mengetahui berita baik dalam Bible. Penubuat Yesaya memberikan gambaran indah tentang berita yang kita sebarkan. Katanya, “Betapa baiknya melihat kedatangan utusan, dia datang melintasi pergunungan, dan membawa berita baik, berita kedamaian! Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion, ‘[Tuhanmu] memerintah!’”—Yes. 52:7.
2 Ungkapan penting dalam ayat itu, “[Tuhanmu] memerintah,” mengingatkan kita tentang berita yang wajib kita sebarkan, iaitu berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Mrk. 13:10) Perhatikan juga bahawa ayat ini memperlihatkan nada positif berita kita. Yesaya menggunakan istilah seperti “penyelamatan,” “berita baik,” dan “kedamaian.” Ratusan tahun selepas zaman Yesaya, pada abad pertama Masihi, Yesus Kristus menggenapi nubuat ini dengan cara yang menakjubkan. Dengan semangat yang berkobar-kobar, Yesus telah memberikan teladan dalam menyebarkan berita tentang sesuatu yang lebih baik, iaitu kedatangan Kerajaan Tuhan. (Luk. 4:43, nota kaki) Pada zaman moden, terutamanya sejak 1919, Saksi-Saksi Yehuwa telah mencontohi Yesus. Mereka dengan semangat yang berkobar-kobar menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan yang telah ditubuhkan dan berkat-berkat yang akan dibawa olehnya.
3 Apakah kesan berita baik Kerajaan Tuhan ke atas mereka yang menyambutnya? Seperti zaman Yesus, berita baik juga memberi sinar harapan dan kelegaan hati dewasa ini. (Rm. 12:12; 15:4) Berita ini memberi harapan kepada mereka yang berhati jujur kerana mereka belajar tentang bukti-bukti kukuh yang menunjukkan bahawa masa yang lebih baik akan tiba. (Mat. 6:9, 10; 2 Ptr. 3:13) Harapan sebegini banyak membantu mereka yang takut akan Tuhan untuk mengekalkan pandangan yang positif. Penulis mazmur mengatakan bahawa mereka “tidak takut menerima berita buruk.”—Mzm. 112:1, 7.
4 Berita yang akan “Memulihkan Orang yang Hancur Hati”: Selain itu, mereka yang mendengar berita baik yang kita sebarkan sedang menikmati kelegaan dan berkat pada masa sekarang. Bagaimana? Penubuat Yesaya telah menyatakan beberapa berkat ini, “Kuasa [Yehuwa] Raja ada padaku, [Yehuwa] telah memilih aku dan mengutus aku untuk mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin, untuk memulihkan orang yang hancur hati, untuk mengumumkan kemerdekaan kepada orang tawanan, dan pembebasan kepada orang di dalam penjara. Dia telah mengutus aku untuk mengisytiharkan ketibaan masa bagi [Yehuwa] untuk menyelamatkan umat-Nya, dan mengalahkan musuh-musuh mereka. Dia telah mengutus aku untuk menghiburkan orang yang berduka.”—Yes. 61:1, 2; Luk. 4:16-21.
5 Menurut nubuat tersebut, Yesus akan “memulihkan orang yang hancur hati” dengan menyebarkan berita baik. Menurut sebuah kamus Bible, perkataan Ibrani “memulihkan,” yang juga diterjemahkan sebagai “membalut,” “sering digunakan dalam konteks ‘membalut’ luka dengan kain; mengubati atau menyembuhkan orang yang cedera.” Sememangnya, gambaran Yesaya itu berkesan sekali! Seorang jururawat yang penyayang mungkin “menyokong” bahagian tubuh mangsa yang tercedera dengan membalutkan kain pada bahagian tersebut. Sama seperti itu, mereka yang menderita mendapat sokongan daripada para penyiar yang penyayang apabila mereka menyambut berita Kerajaan Tuhan. Dengan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan, kita mencerminkan keprihatinan Yehuwa. (Yeh. 34:15, 16) Berkenaan Tuhan, penulis mazmur berkata, “Dia menyembuhkan orang yang hancur hati, dan membalut luka mereka.”—Mzm. 147:3.
[Soalan Pembelajaran]
1, 2. (a) Bagaimanakah Yesaya menggambarkan berita yang kita sebarkan? (b) Bagaimanakah Yesus membawa berita baik tentang sesuatu yang lebih baik? Bagaimanakah umat Tuhan pada zaman moden mencontohi Yesus?
3. Apakah kesan berita baik Kerajaan Tuhan ke atas mereka yang menerimanya?
4. Bagaimanakah penubuat Yesaya menggambarkan berkat yang sedang dinikmati oleh mereka yang menyambut berita baik?
5. (a) Apakah yang dapat kita pelajari tentang berita Kerajaan Tuhan melalui ungkapan “memulihkan orang yang hancur hati”? (b) Bagaimanakah kita mencerminkan keprihatinan Yehuwa terhadap mereka yang hancur hati?