‘Hendaklah Cahayamu Bersinar’
1. Apakah anugerah Tuhan yang dapat kita kongsi dengan orang lain?
1 Dari subuh hingga senja, sinaran cahaya yang indah membawa pujian kepada Tuhan Yehuwa. Namun, Yesus mengundang muridnya untuk memiliki cahaya yang lain—“cahaya yang memberikan hidup.” (Yoh. 8:12) Seseorang yang dianugerahi cahaya rohani ini mempunyai tanggungjawab yang serius. Kata Yesus, “Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang” supaya mereka memperoleh manfaat. (Mat. 5:16) Hari ini, orang diselubungi kegelapan rohani. Mereka amat memerlukan cahaya, maka cahaya rohani kita patut bersinar di hadapan mereka! Bagaimanakah cahaya kita dapat bersinar, seperti Kristus?
2. Bagaimanakah Yesus menunjukkan pentingnya membiarkan cahaya rohani kita bersinar?
2 Menerusi Kerja Penyebaran: Yesus menggunakan masa, tenaga, dan apa yang dimilikinya supaya cahaya kebenaran dapat menerangi orang di rumah, di tempat awam, di atas bukit—di mana sahaja terdapat orang. Dia sedar bahawa cahaya rohani yang sejati membawa manfaat yang kekal. (Yoh. 12:46) Agar dapat menyinari lebih banyak orang, Yesus mengajar pengikutnya untuk menjadi “cahaya bagi dunia.” (Mat. 5:14) Mereka “bersinar” dengan berbuat baik terhadap orang lain dan menyebarkan kebenaran rohani.
3. Bagaimanakah kita dapat memperlihatkan penghargaan yang sejati terhadap cahaya kebenaran?
3 Umat Tuhan memandang berat tanggungjawab mereka untuk “hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya.” Oleh itu, mereka menyebarkan berita baik di mana sahaja adanya orang. (Ef. 5:8) Dengan hanya membaca Bible atau bahan bacaan kita di tempat awam semasa waktu rehat di tempat kerja atau di sekolah, kita mungkin berpeluang untuk memulakan perbincangan Bible. Dengan cara ini, seorang saudari muda telah memulakan satu pembelajaran Bible dan memberikan buku kita kepada 12 orang rakan kelasnya!
4. Mengapakah tingkah laku yang baik diperlukan agar ‘cahaya kita bersinar’?
4 Menerusi Perbuatan Baik: Cahaya kita juga bersinar menerusi kelakuan seharian kita. (Ef. 5:9) Tingkah laku baik orang Kristian sering diperhatikan di tempat kerja, di sekolah, dan di kawasan umum. Hal ini membuka peluang untuk berkongsi kebenaran Bible. (1 Ptr. 2:12) Misalnya, tingkah laku baik seorang budak lelaki yang berusia lima tahun menggerakkan gurunya untuk berkata kepada ibu bapanya, “Tak pernah saya menemui anak muda yang begitu teguh pendirian moralnya!” Sememangnya, kerja penyebaran dan perbuatan baik kita menarik minat orang ke “cahaya yang memberikan hidup” dan membawa pujian kepada Tuhan kita.