Hendaklah Kita “Berbelas Kasihan”
1. Dewasa ini, orang di serata dunia amat memerlukan apa?
1 Keadaan dunia yang semakin merosot menyebabkan jutaan orang di serata bumi berdukacita, murung, dan putus harapan. Mereka amat memerlukan bantuan dan belas kasihan orang lain. Sebagai orang Kristian, kita berpeluang menunjukkan belas kasihan dan keprihatinan terhadap mereka. (Mat. 22:39; Gal. 6:10) Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?
2. Apakah cara yang terbaik bagi kita untuk menunjukkan belas kasihan?
2 Tunjukkan Belas Kasihan: Hanya Tuhan yang dapat membawa kelegaan hati yang sejati dan kekal. (2 Kor. 1:3, 4) Yehuwa menyeru kita agar “berbelas kasihan” seperti-Nya dan menugaskan kita untuk menyebarkan berita baik Kerajaan-Nya kepada orang lain. (1 Ptr. 3:8) Cara yang terbaik untuk mengubati “orang yang hancur hati” adalah dengan bergiat dalam kerja ini, kerana Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penawar sejati bagi segala masalah manusia. (Yes. 61:1) Yehuwa berbelas kasihan kepada umat-Nya, maka Dia akan menghapuskan kejahatan dan menubuhkan dunia baru yang adil benar tidak lama lagi.—2 Ptr. 3:13.
3. Bagaimanakah kita boleh memupuk pandangan Yesus terhadap orang lain?
3 Pupuklah Pandangan Yesus: Biarpun ketika Yesus menyebarkan berita baik kepada orang ramai, dia prihatin terhadap keperluan rohani setiap individu. Dalam matanya, mereka seperti bebiri yang tiada bimbingan gembala, maka dia didorong untuk mengajar mereka dengan sabar. (Mrk. 6:34) Jika kita memupuk pandangan Yesus, hati kita akan tergerak untuk menunjukkan belas kasihan kepada setiap orang. Nada suara dan raut wajah kita akan mencerminkan pandangan kita. Kita akan mengutamakan kerja menginjil, dan menyesuaikan kata-kata kita dengan keperluan setiap orang.—1 Kor. 9:19-23.
4. Mengapakah kita patut terus menunjukkan belas kasihan?
4 Umat Tuhan menyebarkan berita baik Kerajaan-Nya dan menunjukkan keprihatinan kepada semua. Hasilnya, sekumpulan besar orang dari pelbagai bangsa sedang menyambut baik usaha mereka. Apabila kita terus menunjukkan belas kasihan, kita dapat memuliakan dan menyenangkan hati Yehuwa, Tuhan yang berbelas kasihan.—Kol. 3:12.